saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/04/2009

Sidang menentang rasisme gagal?

KRITIKAN terhadap Israel dalam draf deklarasi untuk Persidangan Kajian Semula Durban (DRC) menentang rasisme digugurkan akibat tekanan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Kesatuan Eropah.

Persidangan yang akan diadakan di Geneva pada 20 hingga 24 April nanti adalah ekoran daripada Persidangan Dunia Menentang Rasisme (WCAR) yang diadakan pada 2001 di Durban, Afrika Selatan. Tujuannya ialah untuk mengkaji semula dan menilai pelaksanaan Deklarasi dan Rancangan Tindakan yang dipersetujui oleh peserta-peserta WCAR di Durban.

Pada 2001, AS dan Israel bertindak keluar pada pertengahan persidangan kerana draf deklarasi mengkritik dasar rasis Israel dan menyamakan Zionisme dengan rasisme. Baru-baru ini, sekali lagi, AS keluar meninggalkan mesyuarat persediaan untuk DRC kerana draf deklarasi mengutuk dasar rasis Israel.

Kerajaan Barat, yang menonjolkan diri sebagai juara hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa di merata dunia, melindungi sebuah rejim yang berakar umbi dalam penjajahan penempatan dan mencabuli hak asasi manusia dan mengamalkan aparteid terhadap rakyat Palestin. Mereka menutup mata terhadap sistem diskriminasi kaum dan penjajahan yang diinstitusikan oleh Israel.

Sejak 2006, pengepungan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan ekonominya runtuh dan menjadikan penduduknya bergantung kepada bantuan antarabangsa bagi keperluan asas mereka.

Pengangguran, kemiskinan dan kelaparan telah meningkat kepada paras yang bahaya. Profesor Richard Falk, seorang Yahudi dan pakar terkemuka dalam undang-undang antarabangsa, telah menggelar hukuman kolektif Israel ke atas 1.6 juta penduduk Gaza sebagai “penghapusan bangsa” dan “kemusnahan yang sedang berlaku”.

Sikap hipokrit dan talam dua muka yang diamalkan oleh AS dan Kesatuan Eropah boleh dilihat daripada cara mereka menangani pencabulan hak asasi manusia di Sudan dan Israel. Mereka menggunakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Sudan berdasarkan bukti yang sebahagian besarnya hanya khabar angin. Sebelum ini tindakan sedemikian tidak pernah berlaku. Tetapi dalam kes Israel, yang jenayahnya terhadap rakyat Palestin telah didokumentasikan dengan lengkap oleh pegawai PBB, mereka cuba melindunginya. Walaupun kritikan terhadap Israel di dalam draf deklarasi telah digugurkan, AS tidak mengumumkan penglibatannya dalam persidangan itu. Tekanan telah banyak dibuat terhadap Presiden Barack Obama agar Pentadbiran AS menyertainya.

Negara Dunia Ketiga menganggap persidangan kajian semula itu sebagai acara penting menetapkan agenda bagi menentang rasisme dan menegakkan keadilan terhadap mangsanya, dan mahukan penyertaan penuh negara ahli PBB. Salah satu isu yang menjadi kepentingan utama kepada negara Afrika dan akan dibincangkan ialah pampasan terhadap mangsa perdagangan hamba Trans-Atlantik.

Kumpulan dan aktivis hak asasi manusia dari AS telah menggesa beliau mengkaji semula keputusan awal pentadbirannya memboikot persidangan itu dan turut serta dalam persidangan tersebut dan mesyuarat persediaan yang masih belum berakhir.

Mereka mengingatkan beliau bahawa tindakan memboikot tidak selaras dengan dasarnya untuk melibatkan AS dengan urusan komuniti antarabangsa. Mereka berhujah bahawa dasar itu memerlukan perbincangan dengan kerajaan dan institusi walaupun jika seseorang itu tidak bersetuju dengannya.

Penyokong Israel dan Zionis telah memulakan kempen dengan mensasarkan tekanan ke atas AS dan Kesatuan Eropah untuk memboikot persidangan dengan memfitnah ia sebagai platform bagi anti-Semitisme.

Persidangan Kajian Semula Durban mestilah menghantar mesej yang jelas kepada Israel bahawa dunia tidak lagi akan membiarkan sikap samsengnya yang suka berperang dan menindas penduduk asli Palestin.

Wakil dari negara Dunia Ketiga perlu memastikan bahawa kritikan terhadap jenayah aparteid, penjajahan dan pendudukan rejim Israel terkandung dalam deklarasi persidangan itu dengan menggariskan langkah berkesan dan praktikal untuk mengakhirinya. Mereka seharusnya tidak tunduk kepada tuntutan AS dan Kesatuan Eropah yang tidak berprinsip dan tidak adil.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.