saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/04/2009

Siapa? Masuk, keluar, kekal, naik pangkat

TENGAH malam ini berakhirlah kempen sembilan hari bagi tiga pilihan raya kecil 'dua bukit satu batang' - Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Air. Esok pengundi-pengundi akan membuat pilihan masing-masing bagi menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali dua bukit atau terus kekal kepada Pas dan PKR. Begitu juga dengan Batang Air yang menjadi rebutan antara penyandang kerusi - BN dan PKR.

Masing-masing sudah melakukan yang terbaik bagi memikat pengundi mereka. Macam-macam cara digunakan termasuk perang psikologi seperti yang dilakukan oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim di Bukit Selambau malam kelmarin. Heboh satu negara mengenai 'pengumuman' yang mengejutkan itu tetapi akhirnya habuk pun tak ada. Ia samalah seperti pengumuman peralihan kuasa akan berlaku pada 16 September lalu dari kerajaan BN kepada pembangkang.

Ketika itu, kebanyakan penyokong sudah terbayangkan Anwar melangkah ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri. Tetapi akhirnya yang kekal di situ sebagai Perdana Menteri ialah Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Tun Razak. Tinggallah Anwar antara bekas Timbalan Presiden UMNO yang tidak sempat menduduki kerusi Perdana Menteri.

Di bawah era Dr. Mahathir Mohamad, dua Timbalan Presiden UMNO iaitu Musa Hitam dan Ghafar Baba hanya sempat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Selama sembilan hari berkempen, para pengundi sudah pasti bertekad untuk membuat pilihan yang tepat dan esok, merekalah yang menjadi penentu. Bagi BN, kemenangan menjadi impian lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan baru selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang lalu serta peralihan kuasa tampuk pentadbiran kerajaan daripada Pak Lah kepada Najib.

Walaupun masih terlalu awal untuk mengukur keupayaan sebenar penerimaan peralihan kuasa ini tetapi ia sedikit sebanyak mampu mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat esok. Dan selepas keputusan pilihan raya kecil ini, tumpuan tentulah kepada saf baru Kabinet Najib. Ada yang berkata, saiz Kabinet kali ini kecil tetapi Najib berkata, beliau masih memikirkan mengenainya. Ketika ini Kabinet mempunyai 29 orang menteri di 27 kementerian termasuk di Jabatan Perdana Menteri selain Perdana Menteri dan timbalannya. Ada yang berkata, saiz Kabinet dikurangkan kepada antara 20 dan 24 kementerian.

Jika kecil saiznya, maka sudah pastilah ada yang bakal digugurkan. Sebenarnya tidak timbul soal gugur dan kekal kerana ini adalah saf baru di bawah kepimpinan baru. Tetapi ia mungkin tidak dapat lari daripada Najib melihat sama saf yang diberikan kepadanya dalam UMNO. Rasanya tidak elok untuk diulas mengenai pembentukan Kabinet baru yang menjadi hak Perdana Menteri ini. Bimbang akan ada pula yang terluka atau berkecil hati apabila nama mereka disebut-sebut akan digugurkan atau disebut akan kekal atau naik pangkat tetapi yang berlaku pula adalah di sebaliknya.

Namun apa yang pasti, Kabinet bukan sekadar mengambil kira kemenangan seseorang pada pemilihan parti yang lalu. Selain kuota mengikut negeri, prestasi mereka juga menjadi ukuran. Jika menang kalah menjadi ukuran dalam pembentukan Kabinet ini, maka ramai pemimpin tidak akan ke mana. Pak Lah sendiri pernah menang dan kalah Naib Presiden UMNO. Ada tempohnya beliau tidak memegang sebarang jawatan tetapi akhirnya berjaya juga menjadi orang No. 1 negara. Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin yang pernah kalah jawatan Naib Presiden tetapi dilantik sebagai menteri Kabinet dan kini sudah menjadi Timbalan Presiden UMNO serta sedang menanti untuk menduduki kerusi No. 2 dalam kerajaan. Ramai lagi yang pernah tewas akhirnya berada dalam Kabinet. Begitu juga apa yang berlaku sebaliknya. Menang kalah bukan ukuran untuk berada di dalam atau di luar Kabinet.

Maka dalam erti kata lain, yang kalah tidak akan kalah semua dan yang menang juga tidak menang semua. Namun hakikatnya, terimalah keputusan dengan baik. Yang terpilih memang sudah rezeki mereka. Dan bagi yang tidak terpilih atau mungkin ada yang tidak dikekalkan maka ia sudah tentu disebabkan mahu memberi laluan kepada kepimpinan baru, barisan baru yang lebih muda untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Sekarang adalah masa untuk berubah dan perlunya ada adunan baru dan lama dalam Kabinet ini. Sama ada terpilih atau tidak, terimalah segalanya dengan reda kerana setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya. Berserah dan pasrah! Sebagai pemimpin bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Dalam sebuah keluarga yang jumlahnya kecil pun macam-macam hal berlaku, inikan pula sebuah kerajaan yang di dalamnya ada pelbagai fahaman politik.

Dan bagi Najib atau mana-mana pemimpin sekalipun untuk memuaskan hati semua orang ini bukanlah satu kerja mudah. Dalam membuat keputusan dan pembaharuan, pasti ada yang akan terluka. Sebagai pemimpin, pastinya ada keputusan sukar yang terpaksa dilakukan sehingga menyebabkan orang tertentu akan terasa dilukai.

Sekalipun langkah terbaik adalah umpama menarik rambut dalam tepung tetapi sedikit sebanyak Najib tidak ada pilihan dan perlu berani membuat perubahan sama ada dalam Kabinetnya atau polisi yang ada bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.

Tetapi apabila saf sudah dipilih, maka jadilah makmum yang baik. Jika 'imam' tersilap, beranilah membuat teguran. Di dalam solat pun apabila imam tersalah baca atau tersalah perbuatan, makmum boleh menegurnya dengan kata-kata, bukannya lari meninggalkan saf itu. Kecualilah makmum yang mengikuti di belakang tidak tahu apa-apa kesilapan yang dilakukan atau tahu tetapi pura-pura tidak tahu. Sebagai manusia, tidak ada yang sempurna. Maka saf yang ada perlu sama-sama membantu Najib untuk terus menjana Melayu glokal, memacu minda Melayu, mengangkasa tamadun bangsa dan menakhoda zaman. Selamat bertugas YAB Najib!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.