saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/04/2009

Politik, perniagaan dan filem di hati Syed Kechik

MUNGKIN ramai yang sudah lupa di sebalik kisah kejayaan tokoh korporat Melayu, Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed, Allahyarham juga mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia perfileman.

Pengasas Yayasan Syed Kechik itu yang meninggal dunia kelmarin kerana sakit tua merupakan Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM).

Beliau terpilih selepas menewaskan Jins Shamsuddin (kini Tan Sri) menerusi pengundian pada 1980.

Bekerja secara langsung dengan Syed Kechik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa PFM ketika itu, Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab dan sangat berdedikasi.

Antara pengalaman yang masih kukuh dalam ingatan beliau ialah pengorbanan yang dilakukan oleh Syed Kechik sewaktu bertindak sebagai Presiden Festival Filem Asia Pasifik Ke-27 pada 1982.

Bagi memastikan festival di mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah ketika itu berjalan lancar, Syed Kechik mengeluarkan perbelanjaan sendiri berjumlah RM250,000.

Menurut Mustapha, pengorbanan Syed Kechik mengejutkan ramai ahli memandangkan jumlah itu sangat besar pada ukuran nilai ketika itu.

"Kami seluruh warga perfileman ketika itu sangat terharu dengan keprihatinan beliau yang sanggup berkorban untuk menjayakan festival tersebut.

"Kerana itu juga, saya menyifatkan pemergian beliau ke rahmatullah merupakan kehilangan yang besar kepada industri perfileman negara," ujar beliau.

Selain memegang jawatan penting dalam organisasi perfileman, Syed Kechik turut mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions.

Filem pertama keluaran syarikat beliau ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979.

Sementara itu antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini.

Bagaimanapun kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selepas itu, Syed Kechik tidak dapat meneruskan tumpuan kepada aktiviti berkaitan perfileman.

Namun pengorbanan Allahyarham dalam usaha memartabatkan perfileman negara sentiasa dikenang oleh karyawan tanah air.

Di kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat, kesungguhan yang ditunjukkan Syed Kechik untuk membawa industri perfileman negara ke satu tahap yang lebih baik bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Sebaliknya semangat itu jugalah yang ditunjukkan sewaktu beliau mendaki tangga kejayaan dalam bidang politik dan perniagaan.

Sebagai seorang veteran UMNO, Syed Kechik mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan sangat dekat dengan tokoh pemimpin utama negara.

Beliau terlibat secara langsung dalam pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Syed Kechik menjadi antara individu penting di sebalik usaha Tun Razak memperteguhkan politik negara pasca peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi antara titik utama sejarah negara.

Beliau menganggotai sebuah jawatankuasa tidak rasmi dan sementara (interim) bagi membincangkan kemungkinan membentuk sebuah parti berasaskan sistem pengkaderan.

Selain beliau yang mewakili parti USNO, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu turut dianggotai oleh Datuk Senu Abdul Rahman, Syed Jaafar Albar, Abdullah Ahmad dan beberapa penasihat undang-undang seperti Prof. Ahmad Ibrahim dan Prof. Nik Abdul Rashid.

Sebelumnya, Syed Kechik pernah bertindak sebagai pengantara kepada kerajaan dalam konflik dengan Singapura pada 1965 dan krisis Perlembagaan Sarawak pada 1966.

Allahyarham juga diminta oleh Tunku Abdul Rahman untuk membantu Tun Datu Mustapha Harun di Sabah menerusi Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) sebagai persediaan menjelang pilihan raya pertama negeri berkenaan pada 1967.

Hasilnya, USNO berjaya memenangi 14 kerusi berbanding pencabar terdekat iaitu Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) dengan 12 kerusi.

Bagaimanapun USNO membentuk kerajaan apabila bergabung dengan Parti Cina Sabah (SCA) yang memenangi empat kerusi.

Pada tahun yang sama juga iaitu pada 15 Jun, Syed Kechik dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah.

Di samping itu, yayasan tersebut turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam USNO menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pada pilihan raya 1976.

Pergolakan dalaman dan bayangan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudiannya membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan.

Bidang yang menjadi tumpuan ialah pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an.

Syed Kechik juga merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd.

Bagaimanapun kejayaan yang dilihat sebagai mercu kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik juga berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar.

Kisah kejayaan Allahyarham muncul sebagai tokoh korporat Melayu di sebalik penguasaan ahli perniagaan Cina terutamanya di Kuala Lumpur mula menarik perhatian ramai.

Antaranya ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Syed Amin Aljefri.

Menurut Syed Amin, di kalangan generasi muda dan anak-anak Melayu ketika itu, Syed Kechik menjadi idola.

Allahyarham katanya, merupakan sumber inspirasi kepada orang Melayu. Allahyarham membuktikan bahawa kaum Bumiputera juga mampu berjaya dalam sektor perniagaan dan korporat.

"Malah tidak keterlaluan dikatakan Syed Kechik merupakan simbolik kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 ketika kerjaya Allahyarham berada di kemuncak," katanya.

Syed Amin menambah, beliau juga sangat beruntung kerana berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan Syed Kechik meskipun secara tidak langsung.

"DPMMKL banyak mendapat manfaat daripada Allahyarham terutamanya menerusi menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary," ujar beliau.

Selain meninggalkan balu, Puan Sri Sofiah Abdullah, Syed Kechik yang meninggal dunia pada usia 81 tahun turut meninggalkan tiga orang anak dan 12 cucu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.