saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/04/2009

Nabil janji tidak lupa diri


NABIL berkongsi kemenangan bersama buah hati kesayangannya, Irma Hasmie.


PERJALANAN seni anak muda ini boleh dianggap suatu keajaiban. Masakan tidak, memulakan kariernya hanya sebagai seorang penghantar surat, kini namanya menjadi begitu gah.

Tidak keterlaluan dikatakan, aura dan pesonanya sebagai seorang pelakon komedi cukup menyerlah dan mampu menjadi pelakon komedi nombor satu negara.

Mungkin terlalu awal untuk membuat telahan dan andaian itu tetapi malam Ahad lalu, puncak tertinggi Genting Highlands, Pahang, menjadi saksi kepada kata-kata itu.

Mengalahkan nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Aznil Nawawi, Faizal Tahir dan Meet Uncle Hussain untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008), Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil tidak pernah menyangka gelaran itu berpihak kepadanya.

Juara Raja Lawak musim kedua bagaikan itu tergamam apabila gelaran idaman ramai artis itu menjadi milik mutlaknya apabila menerima 127,524 undian daripada peminatnya.

Dengan kemenangan itu, Nabil berjaya membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 termasuk sebuah kereta Nissan Sylphy 2.0L (A) berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., selain barang kemas, perabot dan pakej penginapan.

Bukan itu sahaja, Nabil turut membawa pulang dua lagi anugerah iaitu Artis Baru Lelaki Popular selain Artis Komedi Lelaki Popular yang menyaksikannya menewaskan nama-nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak 1.

Kejayaan Nabil itu sememangnya tidak mampu dinafikan kerana sepanjang tahun 2008, memang namanya menjadi sebutan dan rebutan ramai pihak yang mengagumi bakatnya itu.

Bertemu dengan anak jati Negeri Sembilan ini selepas majlis berlangsung, ternyata Nabil masih bagaikan terapung di awangan dengan tiga anugerah yang berada di dalam genggamannya.

"Jujurnya, apabila nama saya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, saya rasa macam bermimpi.

"Tidak pernah saya membayangkan nama saya untuk berada di atas pentas yang pernah menobatkan nama-nama besar seperti Siti, Mawi, Rosyam Nor dan Saiful Apek.

"Apa pun, kejayaan saya miliki malam ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana semuanya memerlukan kerja keras. Malah, saya akui, selepas menjadi juara Raja Lawak, kehidupan saya telah berubah secara total. Terima kasih kepada Allah atas segala-galanya," katanya dalam nada kesyukuran.

Mengakui kehidupannya kini lebih bahagia lebih-lebih lagi selepas bercinta dengan aktres tinggi lampai, Irma Hasmie, Nabil menyifatkan kekasihnya itu banyak membantunya di kala dia susah.

"Sebagai manusia, kita tidak akan melalui kehidupan kita dengan lancar. Kita pasti berdepan dengan situasi yang mampu membuatkan kita sedih dan sebagainya.

"Kehadiran Irma telah menjadikan saya seorang yang lebih baik. Dia banyak memberikan sokongan serta dorongan untuk saya lakukan yang terbaik dalam kerjaya seni saya," jelasnya sambil memandang manja Irma di sisinya.

Kasih sayang Nabil terhadap Irma dapat dilihat dengan jelas apabila dia memeluk kekasihnya apabila namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular.

Gelagatnya itu sedikit sebanyak mencetuskan perasaan kurang selesa kepada mereka yang melihatnya tetapi Nabil mempunyai pandangan tersendiri.

"Saya tidak menyesal memeluk Irma. Sebaliknya, perasaan itu datang sendiri dan ia menunjukkan betapa saya gembira dengan kemenangan dan saya mahu berkongsi dengan Irma.

"Biarlah apa orang nak kata sedangkan kalau kita tak buat pun orang akan mengata. Saya tidak mahu fikirkan sangat tentang hal ini kerana saya tahu apa yang saya lakukan," jelas Nabil yang bersikap defensif terhadap perlakuannya itu.

Apabila berjaya memenangi kemenangan berganda dalam satu malam lebih-lebih lagi untuk artis baru sepertinya, ia berupaya untuk menjadikan seseorang itu lupa diri dan mula mendabik dada.

Bukan sekadar itu, istilah demanding atau meletakkan harga mula timbul dan melihatkan senario itu, Nabil berikrar ia tidak akan terjadi pada dirinya.

"Saya berjanji tidak akan menjadi seorang yang lupa diri.

"Saya masih lagi kekal dengan harga yang sama sebagaimana saya keluar dari Raja Lawak dulu. Saya sedar dengan keadaan ekonomi semasa, kita tidak boleh terlalu demand," ujarnya yang masih lagi tidak putus menerima undangan dan tawaran persembahan.

Jauh di sudut hati Nabil, dia mempunyai perancangan serta visi untuk mengangkat genre komedi negara di persada antarabangsa.

Dia yang cukup mengagumi pelawak terkenal, Jerry Seinfeld sememangnya bercita-cita mahu menerbitkan sebuah rancangan stand-up comedy serta mengadakan persembahan sedemikian di seluruh negara serta dunia.

Katanya, jika Allahyarham Sudirman, Siti Nurhaliza dan Raihan mampu mengalunkan vokal mereka di pentas berprestij dunia, Royal Albert Hall, London, tidak mustahil untuk seorang artis komedi membuat persembahan di sana.

"Memang kedengaran agak mustahil, tetapi, saya percaya dengan kesungguhan dan iltizam, siapa tahu mimpi itu mampu bertukar menjadi realiti. Disebabkan itu juga, saya kini berusaha untuk memperbaiki diri dan komunikasi saya dalam bahasa Inggeris.

"Begitu juga dengan bidang lakonan. Saya mahu menjadi seorang yang versatil dan ingin melihat persembahan saya mampu dinikmati oleh semua kaum di negara ini. Berikan saya masa," tuturnya yang mahu mencuba pelbagai watak dalam filem-filemnya yang akan datang.

12 tahun gemilang Siti Nurhaliza

ABP2008 tidak hanya memperlihatkan kehebatan Nabil menumbangkan Mawi dengan merampas gelaran Bintang Paling Popular yang digenggam kemas juara Akademi Fantasia musim ketiga itu sejak tahun 2005.

Majlis gilang-gemilang itu juga melihat satu lagi rekod cemerlang yang dicipta oleh Siti Nurhaliza. Dia berjaya mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut-turut.

Biarpun penyanyi baru silih berganti serta meraih populariti yang meluas, namun, Siti tetap unggul. Siti tetap menjadi pilihan lantas mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Kata Siti, semuanya adalah berkat doa semua pihak serta kerja keras peminatnya yang tidak pernah henti memberikan sokongan kepadanya.

Namun, kejayaan itu membuatkannya tidak mampu menahan sebak apabila mengenangkan arwah bapanya, Tarudin Ismail yang tidak dapat lagi berkongsi kegembiraan bersamanya.

"Sewaktu menerima anugerah ini, saya memang tidak mampu menahan sebak kerana terkenangkan arwah abah. Setiap kali saya menang, saya pasti akan menelefonnya dan menerima ucapan tahniah daripadanya. Kini, semua tinggal kenangan," jelasnya yang mengenakan dua persalinan rekaan Rizman Ruzaini pada malam itu.

Episod baru Jamal Abdillah

Apabila nama Raja Pop Malaysia ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, ia dilihat sebagai keputusan yang cukup tepat.

Masakan tidak, sepanjang tiga dekad bergelar penghibur, terlalu banyak suka, duka, pahit dan manis telah dilalui oleh biduan unggul ini.

Biarpun dihimpit dengan episod gelap yang mampu melumpuhkan kehebatannya sebagai seorang penyanyi, tetapi, aura dan pesonanya tetap kebal untuk terus meletakkannya di persada seni.

Luah juara Bintang RTM 1979 ini, dia tidak pernah mengharapkan pengiktirafan dan anugerah apabila melangkahkan kaki ke dunia seni. Sebaliknya kerana minat dan semata-mata mahu menonjolkan bakatnya itu.

"Saya adalah hamba seni dan bidang ini adalah pengabdian sehingga ke akhir hayat saya. Apa yang selalu saya tanamkan agar hasil kerja saya diterima dengan baik oleh peminat.

"Memang sungguh memeranjatkan apabila nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah pada malam ini. Pengiktirafan malam ini menandakan satu lagi episod baru dalam hidup saya.

"Saya percaya apa yang berlaku dan hikmah di sebaliknya. Saya juga menganggap kemenangan ini merupakan rahmat di sebalik duka atas apa yang telah menimpa saya selama ini.

"Saya akan meneruskan perjuangan untuk terus menghiburkan peminat saya tanpa lelah," jelasnya yang kini sibuk mempromosikan album studionya ke-17, Tak Hilang Cinta.

Antara kejayaan lain yang dikecapi oleh anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini adalah Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 1993, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 dan Anugerah Juara Lagu 1997 serta juara kategori Irama Malaysia menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah, nyanyiannya bersama M.Nasir.

Selain itu, Jamal juga melahirkan rasa terharunya apabila tiga penyanyi angkatan baru, Diddy Hirdy, Ayu Damit dan Sarah Raisuddin menyampaikan semula lagu-lagunya dalam segmen tribute kepadanya.

Berbicara tentang keputusan ABP2008, tidak banyak yang mampu diulas memandangkan kemenangan masih lagi berpihak kepada muka-muka lama yang sebelum ini pernah membawa pulang gelaran yang sama.

Cuma kejutan berlaku apabila Noorkhiriah diumumkan sebagai Artis Komedi Wanita Popular serta Que Haidar yang berjaya menewaskan calon favourite, Rosyam Nor untuk dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular.

Malah, si jelita Maya Karin juga mencipta kejutan apabila memenangi Pelakon Filem Wanita Popular untuk kali kedua dengan menewaskan Ratu Filem Melayu, Erra Fazira.

Mengenai persembahan ABP2008 pula, sudah pasti persembahan pembukaan penuh bertenaga oleh Anita Sarawak dan Stacy menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti dan Gagap merupakan antara yang terbaik pada malam itu.

Begitu juga dengan gandingan kumpulan Kristal bersama tiga penyanyi veteran, L.Ramlie, Datuk Jeffrydin dan Datuk A.Rahman Hassan menerusi lagu Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku serta Tak Mengapa.

Siti Nurhaliza juga berjaya memberikan persembahan menawan penuh gemalai saat mendendangkan lagu Di Taman Teman yang memperlihatkan kehebatannya sebagai seorang penghibur.

Cuma kurang manis apabila persembahan Farah Asyikin dicacatkan dengan busananya yang langsung tidak sesuai dengan lagu Hello yang disampaikannya.

Dengan kehadiran VIP yang duduk menyaksikan persembahannya, memang tidak molek apabila pakaiannya itu mampu menampakkan sesuatu yang begitu rahsia untuk dilihat. Apatah lagi, persembahannya itu disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.