saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/04/2009

Perjuangan rohani Yantzen, Razak

SEBAGAI manusia, ada kalanya kita diduga dengan dugaan yang begitu hebat. Ini menyebabkan ada kalanya kita berfikir sendirian apakah yang berlaku satu hukuman kepada diri kita?

Tetapi, tanpa kita sedari, ia sebenarnya adalah ujian Allah SWT kepada hamba-Nya sebagai menguji sejauh manakah kita mampu bertahan untuk menerima segala ujian-Nya.

Ujian Yang Maha Esa juga sebenarnya mahu membuka mata kita tentang segala kekhilafan diri yang berlaku sepanjang penghidupan kita untuk menjadi seorang insan kamil.

Begitulah diibaratkan dengan bekas penyanyi kumpulan Rusty Blade, Yantzen Juniwan atau nama popularnya, Yantzen yang tidak pernah menyangka masih lagi ada sinar yang menerangi kegelapan hidupnya selama ini.

Bermula dengan episod perceraiannya dengan pelakon, Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Lynn lima tahun lalu, tidak dinafikan laluan seni anak kelahiran Singapura ini bukanlah semudah yang disangka.

Apatah lagi dengan keadaan ekonomi global kini yang tidak menentu ada kalanya menjadikan kehidupan Yantzen tidak secerah yang disangka.

Namun, sebagai hamba-Nya, ternyata Yantzen masih lagi disayangi dan laluan itu dibuka kepadanya apabila dia mula menyertai Karya Hadani Sdn. Bhd., yang memperlihatkan sisi baru Yantzen.

Mengakui kehidupannya lebih tenang dan terurus, bapa kepada Alif Ronan ini selesa dengan apa yang dilakukannya kini.

Jika dulu, alunan irama rock keras menjadi santapannya namun kini ia jauh berubah.

Bukan berubah secara total kata Yantzen, cuma perjuangannya dalam bidang muzik sahaja yang berubah.

Merupakan salah seorang penyanyi yang terlibat dalam album ...Rock Rohani, Yantzen menjelaskan ia merupakan satu pengalaman baru dalam karier seninya sebagai seorang penyanyi.

"Saya masih seperti dulu cuma, apa yang saya lalui kini amat berbeza. Masih lagi mengekalkan irama rock tetapi ia menerapkan unsur kerohanian yang mendamaikan jiwa dan lagu-lagu yang berunsurkan nasihat serta ketuhanan.

"Inilah perjuangan terbaru saya dalam usaha untuk mendidik peminat dan pendengar agar tidak melupakan lagu-lagu seperti ini.

"Ini adalah satu pendekatan baru apabila penyanyi rock seperti saya mengalunkannya. Saya percaya ia mampu memikat peminat yang sedia ada," katanya ketika ditemui di studio Karya Hadani di Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Album ...Rock Rohani memuatkan 10 buah lagu dan ia tidak dijual secara komersial, sebaliknya dijual di pejabat Karya Hadani sahaja.

Selain Yantzen, pelakon dan penyanyi terkenal, Razak Ahmad serta bekas penyanyi kumpulan Akar, Shahiszam Soid atau Ezam juga terlibat menyumbangkan suara masing-masing dalam album ...Rock Rohani ini.

Untuk lagu solo, Yantzen menyumbangkan suaranya menerusi lagu Keindahan Cinta Suci serta berduet dengan Ezam untuk lagu Zat Ilahi.

Selain itu, mereka bertiga juga berkolaborasi menerusi lagu Keinsafan yang dicipta oleh Stone manakala liriknya pula olehUstazHarun Mat Saat.

Untuk pengetahuan, Ustaz Harun merupakan orang penting dalam penerbitan album ...Rock Rohani dan pengasas Karya Hadani.

Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album istimewa ini adalah Suara yang dinyanyikan secara duet oleh Ezam dan Razak, Manis (Ezam) serta Cinta Ilahi dan Kasih Suci (Karya).

Bukan itu sahaja, Ustaz Harun turut menyumbang suaranya menerusi lagu Kaulah Pujaan.

Berbicara lanjut tentang album ini, jelasnya, ia merupakan sebuah projek yang cukup istimewa kerana pengisian lagu-lagunya yang begitu indah.

Walaupun lagu-lagunya berunsurkan nasihat dan kerohanian tetapi muziknya masih lagi berlandaskan rock dan pop.

Selain itu, Yantzen memberitahu, penglibatannya bukan sebagai seorang artis malah dia juga bekerja dengan Karya Hadani sebagai artis residen yang menerima gaji setiap bulan.

Mungkin kedengaran agak mustahil apabila artis menerima gaji tetap setiap bulan tetapi itulah realitinya yang membuatkan Yantzen tidak teragak-agak untuk menerima tawaran Ustaz Harun.

"Ini juga kelebihan Karya Hadani yang telah merubah kehidupan saya untuk menjadi yang lebih baik.

"Penampilan saya juga berubah kerana itulah syaratnya kerana sebagai artis, saya harus memberikan gambaran yang baik kepada masyarakat," ujar penyanyi lagu Insan ini.

Diusik tentang teman hidup, Yantzen sambil ketawa memberitahu, dia masih lagi solo walaupun sudah hampir lima tahun bergelar duda.

"Tiada siapa yang hendakkan saya (ketawa). Saya selesa begini dan kalau ada jodoh saya terima. Malah, hubungan saya dengan Lynn juga baik dan kami masih lagi berkawan serta berhubung antara satu sama lain," ungkap lelaki berusia 51 tahun ini tanpa berselindung.

Bagi Razak pula, sememangnya dia juga tidak pernah menyangka penglibatannya dalam Karya Hadani membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Mengakui menjadi seorang artis, ada kalanya pendapatan tidak menentu, Razak mensyukuri nikmat Allah yang diberikan kepadanya kini.

Malah, sebagai artis residen Karya Hadani membuatkan dirinya lebih tenang dan bahagia tanpa perlu risau tentang masalah kewangan.

Menyingkap sejarah penyertaannya dalam Karya Hadani, penyanyi lagu Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi ini memberitahu, semuanya berlaku atas pelawaan sahabatnya yang juga pelakon komedi terkenal, Isma Alif.

Ketika itu, dia menjalani latihan menyanyi bersama Isma di salah sebuah studio di ibu kota dan kebetulan, Ustaz Harun juga berada di situ.

"Dia sememangnya berminat dengan gaya dan persembahan nyanyian saya dan lantas dia mengajak saya untuk menyertai syarikatnya.

"Setelah dia bercerita tentang apa yang syarikatnya mampu tawarkan dan melihat sendiri perjalanan dan proses bekerja di syarikat tersebut, saya menerima tawarannya," cerita artis berusia 42 tahun ini panjang lebar.

Dengan jujur Razak mengakui, pada mulanya, dia agak kekok tetapi, kerana keyakinan dirinya yang tinggi membuatkan dia semakin selesa dengan majikannya itu.

"Apabila mendapat gaji tetap dan dijanjikan pencen, saya semakin yakin dengan Karya Hadani. Malah, saya tidak perlu risau lagi dengan masalah kewangan yang sering kali saya hadapi sebelum ini.

"Tetapi, semua ini tidak mudah kerana perlu ada kekuatan diri yang cukup tinggi dalam mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Selain itu juga, Razak memberitahu, dia dapat mengekspresi luahan hatinya menerusi lagu ciptaannya kerana selama ini dia tidak berpeluang berbuat demikian.

Luahannya itu dapat dinikmati menerusi lagu Semangat Juang Seorang Isteri yang merupakan ciptaannya yang turut dimuatkan dalam album ...Rock Rohani.

"Ia bagaikan suatu terapi untuk kita merenung dan muhasabah diri kita sebagai manusia dan umat Islam untuk memperbaiki segala kelemahan dalam menjadi seorang insan yang lebih baik.

"Inilah perjuangan saya sekarang bersama barisan artis lain dalam projek album ini untuk memberikan sesuatu yang berguna atas nama kebaikan kepada pendengar," tuturnya penuh makna.

Jika selepas ini, wajah Razak tidak lagi kelihatan di kaca televisyen menerusi drama dan telemovie, ia bermakna, perjuangannya sudah menuju ke arah yang lebih zuhud.

"Namun begitu, saya tidak pernah berubah. Saya tetap saya seperti mana saya muncul dalam industri dulu. Cuma, perjuangan saya kini berbeza," jelas Razak yang memang suka berlawak ini.

Bagi memperkenalkan kepada umum perjuangan muzik yang dipertaruhkan Karya Hadani, sebuah konsert istimewa akan diadakan pada 18 April ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam bermula pukul 8.30 malam.

Selain daripada artis-artis Karya Hadani seperti Yantzen, Razak, Ezam serta Sham (bekas anggota kumpulan Barongan), konsert yang diberi nama Konsert Malam 1000 Karya Rock Rohani juga turut menampilkan nama-nama besar industri yang mampu menarik perhatian para peminat.

Mereka yang dimaksudkan adalah Ramli Sarip, Amy search,Jamal Abdillah, Mawi serta bekas vokalis kumpulan Raihan, Nazrey Johani.

Untuk pembelian tiket konsert berkenaan serta album ...Rock Rohani, bolehlah menghubungi Kit di talian 03-4147 5771 atau 019-200 6788.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.