saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/04/2009

Najib perjelas gagasan Satu Malaysia

BERIKUT adalah sedutan transkrip sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara, semalam.

- Konsep Satu Malaysia tidak boleh disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu umpama pembangkang kata bahawa ia sama dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Ia tak sama.

- Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.

- Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

- Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep Satu Malaysia.

SAYA telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama pagi ini. Antara perkara yang saya telah tekankan pada mesyuarat pagi ini, supaya barisan Jemaah Menteri yang baru dapat memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi, di mana Jemaah Menteri perlu menepati apa yang diharapkan rakyat.

Saya menggariskan empat perkara. Integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu berteraskan kepada Kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Saya telah nyatakan dalam persekitaran politik hari ini, rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh anggap ini sebagai perkara biasa tetapi mesti mempamerkan barisan kepimpinan yang sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan.

Sehubungan ini, saya telah menyatakan betapa pentingnya Jemaah Menteri untuk berurusan dengan semua lapisan masyarakat. Kita tak boleh anggap kerajaan tahu segalanya. Kita perlu membuka pintu kepada dialog dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti merupakan keputusan yang benar-benar bersandarkan kepada kehendak rakyat.

Saya juga ingatkan ahli Kabinet supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada mana-mana kumpulan istimewa khusus (special interest group) atau mana-mana badan korporat.

Walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra kepada sektor swasta tetapi kesudahannya kita mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat pada keseluruhan.

Saya juga telah menyebut tentang pencapaian yang diharapkan oleh rakyat bahawasanya rakyat tidak mahu mendengar sesuatu yang kita janjikan atau sesuatu diumumkan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin.

Oleh itu, pendekatan KPI akan dilaksanakan di mana pihak Khazanah telah ditetapkan sebagai badan untuk membantu kerajaan menggubal KPI dalam tempoh sebulan. Saya telah berjumpa Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azman Mokhtar untuk menempatkan bilangan tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan penggubalan KPI ini dalam tempoh tersebut.

Di samping itu, KPI ini juga akan melibatkan pembahagian tugas kepada timbalan menteri secara tersusun. Setiap timbalan menteri akan diberi bidang tugas supaya timbalan-timbalan menteri dapat menyumbang kepada tindakan dan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan.

Semua menteri akan dinilai prestasi masing-masing dalam tempoh enam bulan. Saya telah tetapkan pada bulan November nanti kita akan lakukan proses penilaian atas prestasi dan pencapaian setiap menteri dan kementerian.

Ada juga pandangan bahawa sesetengah keputusan itu merupakan keputusan yang merentasi beberapa kementerian yang tak boleh dikhususkan kepada satu kementerian sahaja.

Kita akan ambil kira perkara ini. Yakni kalau kita menentukan KPI, ia akan mengambil kira mana yang boleh kita khususkan kepada sebuah kementerian dan mana yang perlu kita ambil kira peranan yang dimainkan kementerian lain.

Dengan adanya sistem KPI ini, saya percaya prestasi kerajaan, pencapaian kerajaan, insya-Allah akan bertambah baik dan berkesan lagi.

Saya juga mengingatkan, bahawa rakyat hari ini mengharapkan pendekatan yang berbeza. Dan kita tidak perlu kepada pendekatan yang terlalu mementingkan luaran (ritual) ataupun kedudukan kita sebagai anggota pentadbiran. Tetapi kita mesti sensitif dengan pandangan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya bagi contoh, kalau kita hendak promosi pelancongan misalnya Pulau Langkawi. Apabila kita buat papan iklan, tak payahlah kita letakkan gambar Perdana Menteri dan menteri berkenaan sebagai sebahagian daripada kandungan papan iklan tersebut.

Dan kalau ada hari-hari tertentu kita buat sepanduk, banting dan sebagainya, tak payahlah gambar menteri atau Perdana Menteri ditonjolkan.

Kita nak tunjukkan yang kita tak penting kepada perkara seperti ini. Yang penting ialah untuk menunjukkan bahawa kita sebuah kerajaan mesra rakyat dan pentingkan kepentingan rakyat lebih daripada kedudukan dan jawatan yang ada pada kita.

SOALAN: Mengenai penyusunan agensi ada dijelaskan (dalam mesyuarat Kabinet)?

Saya sudah buat keputusan dan JPM akan keluarkan kenyataan. Tidak ada masalah apabila sesuatu kementerian dibubarkan. Misalnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ini kerana agensinya tetap tidak dibubarkan. Ia ditempatkan di bawah kementerian lain yang akan melaksanakan tugas seperti biasa.

Seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga. Ketika zaman Tun Ghafar Baba, Mara di bawah kementerian berkenaan.

Dan, Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal). Takkan dia tak boleh kita harap, untuk laksanakan program Mara umpamanya. Jadi, saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien.

Ada disentuh mengenai Majlis Penasihat Ekonomi?

Ya, saya ada bayangkan. Tapi perincian termasuk mengenai pengerusinya akan saya umumkan kemudian. Saya terangkan kenapa Majlis Penasihat Ekonomi ini diwujudkan. Saya akan pilih hari lain untuk terangkan.

Apa tindakan selanjutnya jika ada menteri yang berada di bawah tahap memuaskan apabila penilaian dilakukan November ini?

Saya percaya menteri-menteri sedar bahawa masa depan kerajaan bergantung kepada pencapaian mereka berdasarkan KPI. Mereka tahu bahawa mereka mesti ambil serius apa yang patut dilakukan.

Jadi, saya berkeyakinan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi. Penilaian itu bukanlah satu kaedah bersifat pemantauan semata-mata tetapi satu cara untuk membantu menteri-menteri berkenaan jika mereka hadapi hambatan yang kerana keputusan dibuat oleh kementerian yang lain umpamanya.

Jadi kita boleh gunakan masa penilaian itu untuk menyelesaikan kekangan dari segi pelaksanaan dan pencapaian kementerian mereka.

Pihak mana akan melakukan penilaian berkenaan?

Penilaian itu akan dibuat oleh sebuah unit di bawah JPM yang akan menilainya bersama-sama ICU. Mereka akan lihat pencapaiannya. Dan, apabila saya bincang dengan menteri berkenaan, menteri berkenaan akan bentang juga apa yang mereka telah buat.

Sama-samalah kita bincang nanti dan kita tengok apa yang mereka lakukan dalam tempoh enam bulan.

Dahulu kerajaan juga ada sistem report card, tapi nampaknya ia tak berkesan?

KPI ini kita ada sistem. Kalau kita buat satu-satu keputusan, ia mesti didokong oleh sistem yang diwujudkan. Jadi kita sudah wujudkan sistem. Ini bukan saja keputusan tapi disokong dengan sistem.

Sistem itu ialah, pertamanya Khazanah mainkan peranan. Saya sudah wujudkan tuntutan menteri berkenaan di bawah JPM dan ICU akan main peranan.

Jadi kita ambil pendekatan bersistematik. Kalau kita hendak buat sesuatu ia mesti berasaskan sistematik. Jika tidak, ia akan dilihat retorik. Ia mesti didokong dengan sistem yang bersesuaian.

Ini bukan seperti biasa tetapi sesuatu yang berbeza sebab saya sudah janjikan pembaharuan. Saya komited kepada rakyat untuk bawa pembaharuan dan saya serius untuk bawa perubahan.

Boleh komen mengenai rasa kecewa masyarakat India mengenai bilangan dalam Kabinet?

Yang paling penting ialah apa yang kerajaan akan buat untuk komuniti India. Kita akan buat apa yang termampu untuk komuniti India, ini bukan satu isu besar.

Boleh gambarkan suasana mesyuarat Kabinet yang pertama dipengerusikan Datuk Seri hari ini?

Saya rasa elok tanya pada menteri lain tentang apa yang mereka rasa (ketawa kecil). Pada saya ia berjalan baik. Maknanya saya kata, saya punya kesimpulan berilah yang terbaik, sumbanglah yang terbaik untuk negara. Itu mesej utama saya.

Selain itu, saya kata penting untuk mereka mendapatkan kepuasan kerja. Kita pun nak bina semangat kerjasama di kalangan barisan Kabinet. Satu keluarga yang boleh sokong antara satu sama lain. Yang penting kita boleh laksanakan dengan jaya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.