saya nak baca ..

JENAYAH


ARKIB : 18/04/2009

Ramanathan bebas sementara tunggu rayuan


C. RAMANATHAN


PUTRAJAYA 17 April - Bekas jurulatih olahraga kebangsaan C. Ramanathan, 73, yang sebelum ini dipenjara empat tahun kerana dua kesalahan mencabul kehormatan dua atlet remaja, dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membebaskannya setelah berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa menyemak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan lain.

Ia merupakan penghakiman penting kerana buat pertama kalinya, Mahkamah Rayuan kini boleh menyemak keputusan dan penghakiman Mahkamah Rayuan lain. Sebelum ini, hanya Mahkamah Persekutuan boleh berbuat demikian.

Dengan keputusan itu, Hakim Sri Ram mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang memenjarakan warga emas itu setelah membenarkan rayuan Ramanathan agar penghakiman bertarikh 11 Julai 2008 itu, disemak.

Keputusan sebulat suara itu turut dibuat oleh Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Ramanathan ketika ditanya kesan penghakiman hari ini menyatakan, keputusan itu penting kerana ia akan membuka laluan bagi membolehkan lebih banyak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu disemak.

Hakim Sri Ram dalam penghakimannya mengarahkan Mahkamah Tinggi menyediakan alasan penghakiman bagi membolehkan rayuan terhadap merit kes itu didengar di hadapan panel lain pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

''Mahkamah dengan itu mengetepikan perintah terdahulu dan membebaskan Ramanathan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar,'' ujar Hakim Sri Ram.

Pada 11 Julai tahun lalu, Datuk Zainun Ali yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulong Matjeraie mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Ramanathan atas tuduhan tersebut, 12 tahun lalu.

Panel itu membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskannya daripada kedua-dua tuduhan pada 24 Februari 2005.

Bagi setiap tuduhan, dia dikenakan hukuman penjara empat tahun dan diperintahkan menjalani tempoh pemenjaraan serentak.

Bekas jurulatih tersebut didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 1996 atas tuduhan mencabul kehormatan kedua-dua mangsa yang ketika itu berusia 15 dan 16 tahun.

Dia didakwa pada 4 Oktober 1994 kerana melakukan perbuatan tersebut di antara pukul 9 dan 10 malam, 23 dan 27 Oktober 1992 di Bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), Jalan Hang Tuah di ibu negara.

Pada Isnin lalu, Karpal memohon sabitan dan hukuman terhadapnya diketepikan dan Mahkamah Rayuan mendengar merit rayuan terlebih dahulu kerana ia belum pernah dikemukakan.

Karpal berhujah, ketika di Mahkamah Rayuan sebelum ini, pihaknya tidak berpeluang berhujah mengenai merit kes tetapi hanya mengemukakan alasan mengenai kelewatan penyediaan penghakiman dan beban pembuktian kes.

Sementara itu, Ramanathan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, kehidupan sembilan bulan dalam penjara mengajarnya banyak perkara terutama bagi membantunya menjalani kegiatan harian secara spiritual selain memberinya ruang menulis buku mengenai pengalamannya sebagai jurulatih.

''Tiada apa yang menarik hidup terkurung, tetapi pengurusan penjara melayan saya dengan baik dan membantu saya menyesuaikan diri dengan persekitaran berbeza,'' ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.