saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/04/2009

Apabila demokrasi diperalatkan

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac tahun lalu, sudah ada lima pilihan raya kecil. Dua daripada pilihan raya kecil itu adalah disebabkan kesengajaan pembangkang mengosongkan kerusi sebagai salah satu helah politik.

Tujuan diadakan pilihan raya kecil sudah disalahgunakan dengan sewenang-wenang bagi membolehkan pihak tertentu menyusun strategi politik. Ini telah menyimpang daripada tujuan asasnya untuk menyuburkan semangat dan amalan demokrasi di negara ini.

Rakyat perlu sedar tentang permainan politik yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab seperti ini. Walaupun rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pilihan raya kecil diadakan di kawasan mereka tetapi mereka masih boleh mengubah keadaan. Caranya memilih calon yang boleh berkerja untuk rakyat dan tidak menggunakan pentas demokrasi untuk kepentingan puak tertentu.

Pilihan raya kecil yang sengaja diatur ini menjadi pesta pembangkang kerana mereka memilih kawasan yang selamat. Ini untuk memastikan pilihan raya kecil sebagai pengesahan rasmi menukar penyandang kepada orang lain yang disenangi oleh pucuk pimpinan parti.

Mereka yang selalu melaung-laungkan tidak ada demokrasi di negara ini, padahal merekalah yang memijak demokrasi di bawah kasut politik yang kotor dan menganiaya rakyat.

Pilihan raya kecil sebenarnya memberikan banyak keburukan daripada kebaikan. Kerana itu sewajarnya ia diadakan apabila keadaan sangat memerlukan misalnya penyandang meninggal dunia atau dikenakan tindakan undang-undang. Keadaan begini tidak dapat dielak untuk diadakan pilihan raya kecil.

Statistik menunjukkan perbelanjaan yang ditanggung untuk lima pilihan raya kecil yang sebelum ini ialah RM33.4 juta. Jumlah ini bukanlah kecil dan kalau dibahagikan, belanja untuk dua pilihan raya kecil yang dirancang oleh pembangkang adalah satu pembaziran. Belanja RM33.4 juta ini adalah wang rakyat yang diambil daripada pembayar cukai. Tentu jumlah ini akan berkurangan sekiranya tidak ada dua pilihan raya kecil yang lalu dan satu lagi yang akan menyusul masa terdekat ini.

Pilihan raya kecil bukan saja melibatkan belanja yang besar malah memberikan kesan buruk daripada segi sentimen politik dan sosial. Pilihan raya kecil dengan sendirinya mencipta ketegangan antara parti-parti yang bertanding, antara kaum-kaum dan juga mewujudkan satu momentum politik yang tidak terkawal.

Perpecahan dan ketegangan kalangan rakyat perlu diminimakan. Tetapi dengan wujudnya momentum politik yang hangat sepanjang masa berikutan pilihan raya kecil, ini menyumbangkan kepada ketegangan yang boleh membantutkan pelan pembangunan negara untuk kesejahteraan rakyat.

Apabila berdepan dengan pilihan raya kecil yang sengaja dirancang, yang teraniaya dan diperalatkan ialah rakyat. Mereka menjadi alat semata-mata supaya tujuan pihak tertentu tercapai tanpa memikirkan kepentingan jangka panjang rakyat. Rakyat diperbudak-

budakkan apabila tidak sampai beberapa bulan menduduki kerusi wakil rakyat, penyandang sengaja mengosongkan kerusi. Kerja untuk rakyat belum bermula, kerja untuk kepentingan politik pula yang dilaksana.

Kelima-lima pilihan raya kecil yang telah diadakan ialah Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Permatang Pauh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bukit Selambau dikosongkan dengan sengaja oleh wakil rakyat berkenaan.

Disiasat

Dalam masa yang terdekat, satu lagi pilihan raya kecil iaitu DUN Penanti di Pulau Pinang akan diadakan. Ini berikutan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin yang sebelum ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mohamad Fairus bagaimanapun dibebaskan selepas disiasat kerana tuduhan rasuahnya tidak ada asas yang kukuh.

Tetapi sebelum SPRM memutuskan Mohamad Fairus didakwa atau dibebaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan tekanan kepada Fairus yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang untuk meletakkan kedua-dua jawatan tersebut.

PKR telah memperalatkan demokrasi untuk menyusun strategi politik apabila mendesak Mohamad Fairus mengosongkan kerusi DUN Penanti bagi membolehkan calon lain mengisi kekosongan itu.

Mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Mohamad Fairus boleh terus berkhidmat di DUN Penanti kerana beliau tidak didakwa atau didapati bersalah dalam tuduhan rasuah. Tetapi disebabkan permainan politik dan undang-undang tidak menghalang seseorang wakil rakyat daripada meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah, PKR menggunakan peluang tersebut.

Pilihan raya kecil DUN Penanti adalah permainan politik semata-mata. Tambahan pula Penanti dikatakan sebuah kubu kuat pembangkang dan sekiranya diadakan pilihan raya kecil, kerusi DUN berkenaan tetap diberi semula kepada pembangkang yakni PKR.

Pada 7 April lalu, pilihan raya kecil telah diadakan di DUN Bukit Selambau di Kedah selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya, S. Manikumar dari PKR. Seperti yang dijangka akhirnya kerusi DUN Bukit Selambau kembali kepada PKR dan pilihan raya kecil itu dilihat sebagai acara PKR menukar penyandang yang kurang disenang oleh pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail dari PKR dengan sengaja mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi peluang kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisi kerusi Parlimen berkenaan. Wan Azizah mengosongkan kerusi itu beberapa bulan selepas pilihan raya umum dan kesengajaan ini sangat ketara.

Wajarkah sehingga berlaku begini pun pembangkang masih mempersoalkan ketulenan demokrasi di negara ini? Tanpa semangat dan amalan demokrasi, pembangkang tentu sukar untuk mencapai kemenangan sama ada dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Daripada lima pilihan raya kecil, hanya satu saja yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) iaitu DUN Batang Air, Sarawak. Ini memperlihatkan demokrasi dalam konteks pilihan raya memberi peluang kepada semua calon untuk memenangi pertandingan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) perlu mengambil langkah drastik untuk meminda peraturan-peraturan yang boleh menghalang penyandang mengosongkan kerusi tanpa alasan yang munasabah. Ketika ini tidak ada peraturan yang boleh menghalang mana-mana kerusi sama ada DUN atau Parlimen dikosongkan.

Semua ini bukan bertujuan untuk memberi kelebihan kepada kerajaan, malah kebaikan kepada pembangkang juga yang memenangi mana-mana kerusi dalam pilihan raya. Mereka tidak boleh diberikan tekanan sesuka hati oleh pihak pucuk pimpinan parti supaya mengosongkan kerusi seperti yang berlaku di DUN Penanti.

Sementara BN pula mempunyai kewajaran untuk tidak turut serta dalam pilihan raya kecil Penanti. Biarlah proses pilihan raya itu berlangsung dengan ringkas dan cepat atau PKR akan menang tanpa bertanding. BN perlu memberikan banyak perhatian kepada soal pembangunan untuk rakyat.

Disebabkan ini strategi politik pembangkang, tambahan pula DUN Penanti milik PKR dalam pilihan raya umum yang lalu, BN tidak perlu mengikut rentak pucuk pimpinan PKR yang begitu strategis memperalatkan demokrasi. Ini bukan pilihan raya kecil yang sebenarnya tetapi taktik pembangkang. Jadi, tarian BN kena berbeza.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.