saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/04/2009

Menjelang Pilihan Raya Presiden

TENGAH malam Jumaat lalu dawai kawat yang dipasang di hadapan Istana Presiden telah dibuang dan tiada lagi anggota polis serta tentera berkampung di kawasan itu.

Ini tandanya ketegangan akibat Pilihan Raya Parlimen telah tiada dan situasi lebih aman dan tenteram di Jakarta.

Bagaimanapun bagi para pemimpin politik, belum tiba masanya mereka untuk berehat kerana perlu pula menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 8 Julai ini.

Parti Golongan Karya (Golkar) yang sebelum ini bagaikan tercari-cari arah selepas terkejut dengan penolakan rakyat terhadap parti itu, akhirnya memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan rakan lamanya Parti Demokrat.

Keputusan itu sedikit mengejutkan dan dijangka mengubah peta politik Indonesia kerana sebelum ini banyak pihak menjangkakan Golkar pasti kembali kepada Demokrat walaupun sebelum ini telah mengisytiharkan 'berpatah arang dan berkerat rotan'.

Iaitu selepas Ketua Umum Golkar yang juga Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla memilih haluan sendiri apabila mengumumkan bakal menentang Ketua Dewan Pembina Demokrat yang juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada Pilihan Raya Presiden.

Bagaimanapun, semuanya tidak berjalan seperti yang dirancangkan, Golkar mencatatkan keputusan terburuk pada Pilihan Raya Parlimen lalu, manakala Demokrat mencatatkan peningkatan sehingga 300 peratus undi.

Ramai yang berpendapat Jusuf Kalla akan membatalkan niat untuk bertanding jawatan presiden dan akan kembali mempertahankan jawatan naib presiden bersama-sama Yudhoyono.

Bagaimanapun, setelah melihat Yudhoyono terus 'jual mahal' dan tiada sebarang isyarat diberikan kepada Jusuf Kalla yang kecewa, beliau memutuskan untuk tidak lagi 'melukut di tepi gantang' dan Golkar mengorak langkah sendiri bagi membentuk pakatan lain.

Mandat

Jumaat lalu, Golkar memutuskan untuk memberi mandat kepada Jusuf membuat komunikasi politik dengan parti-parti lain bagi membentuk pakatan menumbangkan kerajaan Demokrat.

Ini adalah kerana Demokrat setakat ini hanya menguasai 20 peratus undi dan masih terdapat 80 peratus lagi undi yang boleh dimanfaatkan oleh Golkar.

Setakat ini yang pasti menyertai pakatan Demokrat adalah Parti Keadilan Sejahtera (PKS), manakala parti lain masih lagi belum sah.

Dalam kemelut Golkar dan Demokrat, Parti Amanat Nasional (PAN) cuba 'menangguk di air yang keruh' apabila mantan pemimpinnya, Amien Rais memaksa PAN mendekati Demokrat.

Sedangkan Ketua Umum PAN, Soetrino Bachir telah mengumumkan bakal bertanding jawatan naib presiden dan bergabung dengan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang meletakkan Ketua Dewan Pembina Gerindra, Prabowo Subianto sebagai calon presiden.

Pakatan itu juga sedang melakukan komunikasi politik untuk turut bergabung dengan sebuah lagi parti baru iaitu Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) yang dipimpin oleh Wiranto.

Bagi Golkar, teman yang paling lunak untuk berdepan dengan Demokrat adalah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang dipimpin oleh mantan presiden Megawati Soekarnoputri.

Kedua-dua parti itu memperolehi kira-kira 14 peratus undi dan jika digabungkan akan mengatasi kekuatan Demokrat. Maka tidak hairanlah Jusuf Kalla terus melakukan komunikasi politik dengan PDIP sebaik menerima mandat daripada partinya.

Bagaimanapun komunikasi itu agak sukar memandangkan Megawati sebelum ini telah meletakkan 'harga mati' bahawa dia akan tetap bertanding jawatan presiden dan pastinya ia tidak dapat diterima oleh Golkar.

Pada masa yang sama Golkar kini juga dilihat mengambil pendekatan dengan membuka bursa pemimpinnya untuk disunting oleh mana-mana parti bagi dijadikan calon naib presiden walaupun Jusuf Kalla tetap bertanding jawatan presiden.

Para pemimpin Golkar seperti Sultan Hamengkubuwono X, Surya Paloh dan Akbar Tandjung masih terbuka untuk dilamar.

Strategi 'serampang pelbagai mata' ini akan meningkatkan peluang parti itu untuk berada di tampuk kepimpinan walaupun Jusuf Kalla gagal memenangi jawatan presiden.

Demokrat yang ketandusan calon sesuai bagi jawatan naib presiden mungkin melamar salah seorang pemimpin Golkar dan PDIP.

Jika salah seorang pemimpin berkenaan menang bermakna Golkar akan tetap berkuasa dan berjaya melalui zaman malapnya dengan jaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.