saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/04/2009

Keazaman politik bantu kurangkan keresahan rakyat

BANYAK cerita menarik minggu ini terutama melibatkan hal politik. Pelbagai ulasan diberi sama ada melalui media cetak, elektronik dan laman blog. Sembang di coffee house juga hebat.

Ada pandangan membina, sinis dan tidak kurang juga mengutuk. Inilah lumrah manusia yang sentiasa tidak berpuas hati. Maka bagi mengelakkan mana-mana pihak terasa hati, eloklah Selak hari ini lari daripada semua perkara berkaitan politik.

Hasrat hati, memang nak tulis isu kerusi DUN Penanti yang kedudukannya akan ditentukan hari ini, perihal mesyuarat pertama Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan status agama anak ibu bapa yang memeluk Islam.

Namun, isu yang akan diselak ini juga tidak dapat lari daripada politik. Tanpa keazaman politik, isu ini - pengangkutan awam - tidak akan ke mana sehinggalah tahun 2020.

Isu ini tiada kaitan dengan lawatan Perdana Menteri, Najib Tun Razak ke Puduraya dan mencuba LRT pada Sabtu lalu. Namun, keprihatinan Najib amat dialu-alukan. Beliau kurang senang dengan kesesakan lalu lintas dan ketidakcekapan kemudahan awam.

Jika lawatan sejam itu sudah menimbulkan rasa kurang senang, apatah lagi perasaan mereka yang saban hari menunggu sekurang-kurangnya sejam untuk mendapatkan pengangkutan awam.

Sejak kebelakangan ini, pengangkutan awam mendapat perhatian melalui forum dan SMS yang dihantar kepada Utusan Malaysia. Isu pengangkutan awam terutama sistem rel pernah diselak di ruangan ini pada 26 Januari lalu di bawah tajuk 'Ikan sardin di dalam tin lebih selesa'.

Ia susulan tidak banyak perubahan selepas tinjauan mengejut Abdullah Ahmad Badawi (ketika menjadi Perdana Menteri) ke atas perkhidmatan rel di ibu negara iaitu komuter, LRT dan monorel pada 21 Ogos 2008.

Sehingga sekarang, tidak ada perkembangan yang boleh melegakan pengguna. Andaian ini dibuat berdasarkan rungutan yang terus diterima daripada para pengguna serta pengalaman sendiri.

Komuter: Sardin dalam oven

Penulis telah menemui beberapa orang pegawai KTMB berhubung isu 'sardin dalam tin'. Penulis faham masalah yang melanda perkhidmatan komuter, antaranya kekurangan koc. Kekurangan koc mengganggu sistem pengangkutan tersebut. Maknanya, selagi koc tidak cukup masalah ini tidak akan selesai.

KTMB yang tidak untung tentunya mengharapkan kerajaan memberi peruntukan segera bagi mengatasi masalah ini. Koc yang kurang menyebabkan jadual perjalanan tidak tepat sedangkan jumlah penumpang terus bertambah. KTMB juga tidak dapat merancang perjalanan pada waktu berlaku kesesakan. Contohnya, Sabtu dan Ahad (semalam) yang merupakan hari cuti, orang mendapat gaji, ada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Perlawanan Akhir Piala FA dan macam-macam lagi yang menyebabkan Kuala Lumpur menggamit orang ramai.

Kasihan melihat penumpang bertolak-tolak menyusun diri mereka supaya lebih ramai dapat masuk ke perut komuter. Maka di dalam komuter, ada pelbagai rupa manusia dan warna kulit dari seluruh dunia - dari Indonesia, Myanmar, Thailand, India, Bangladesh, Pakistan, Afrika, Filipina, Arab dan macam-macam lagi. Suasana di dalamnya bertukar panas dengan kehangatan badan manusia serta pendingin hawa yang tidak berfungsi.

Maka berkipaslah manusia yang bagaikan berada dalam oven itu. Malahan ada yang berkata, mahu melompat keluar atau memecahkan cermin komuter supaya udara luar dapat masuk. Mungkin dalam keadaan begitu, berlaku kes raba-meraba, seluk-menyeluk dan pelbagai perkara yang kurang enak. Entahlah, sampai bila keadaan ini akan berlarutan. Sebelum ini, ada khidmat kereta api shuttle antara Kuala Lumpur - Seremban tetapi mungkin disebabkan tersilap waktu, tidak mendapat sambutan. Maka jalan penyelesaiannya hanya satu iaitu menambah koc.

Teksi: Sampan ada, pengayuh tiada

Kisah hidup pemandu teksi dan keluhan penumpang juga menjadi isu yang tidak pernah selesai. Sebelum pembentukan Kabinet baru, hampir 3,000 pemandu teksi mendapat permit persendirian. Pada peringkat awalnya ia disampaikan sendiri oleh Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya disampaikan oleh Noh Omar yang ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang kini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Gembira tidak terkata pemandu-pemandu teksi apabila mendapat permit sendiri.

Menteri memberi jaminan kerajaan memperuntukkan RM60 juta kepada Mara sebagai dana untuk memudahkan pemandu membeli teksi. Malangnya, penerima permit mendakwa dana Mara sudah habis dan pinjaman tidak diluluskan. Apa sudah jadi? Menteri kata ada duit tetapi agensi kata tidak ada? Apabila MeCD dimansuhkan, menteri bertukar tangan, pemandu teksi semakin resah.

Mereka ingin tahu ke mana perginya Mara dan LPKP. Namun dilema itu berakhir apabila kedua-duanya diserap ke kementerian lain. Tetapi isu pinjaman belum selesai.

Tanpa pinjaman, bagaimana mahu membeli kereta baru untuk dijadikan teksi? Ketiadaan pinjaman ini boleh diibaratkan sudah ada sampan tetapi tidak ada pengayuh atau pun sudah ada pengayuh, sampan tidak ada.

Maka terdengar cerita, jika Mara gagal memberi pinjaman, kaedah paling mudah ialah memajakkan permit kepada syarikat teksi. Jika ini berlaku, matlamat kerajaan mahu menjadikan pemandu teksi usahawan tidak akan berjaya. Lebih mendukacitakan sekiranya penerima permit ini meminjam ah long.

Niat kerajaan memberi permit persendirian sudah baik tetapi ia rosak akibat masalah sampingan lain. Jika mulanya pemandu teksi berterima kasih kepada kerajaan tetapi penyudahnya kerajaan dipersalahkan.

Selagi masalah pemandu teksi ini tidak selesai, selama itulah disiplin pemandu sukar dibentuk. Mereka tidak guna meter dan terus membebankan pengguna. Mereka lupa penumpang juga bukan mudah mendapatkan wang untuk bayar lebih.

Kenalilah masalah rakyat

Dua isu rakyat ini perlu diselesaikan. Masih ramai yang tinggal di Kuala Lumpur kekal sebagai pengundi di Permatang Pauh, Kuala Terengganu atau di Bukit Gantang. Mereka tidak puas hati di Kuala Lumpur dan melepaskan perasaan itu kepada ibu bapa, saudara mara di kampung. Maka kerajaan menjadi mangsa. Kesesakan jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang tidak baik bukanlah perkara baru. Malahan Najib pernah mencadangkan sistem pengangkutan awam secara bersepadu bagi mengatasi kesesakan.

Satu retreat memperkasakan sistem pengangkutan awam juga pernah dipelopori oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique pada awal tahun lalu. Beliau juga mencadangkang teori pengurusan bandar raya moden yang digunakan di bandar raya maju. Tetapi sejauh mana perkembangan cadangan ini semua.

Apa tindakan susulan yang diambil? Sudah lama pengguna berdepan masalah ini. Sepuluh kali berulang-alik ke tempat kerja seminggu, penggunalah yang lebih terasa keperitannya. Tetapi apa daya mereka?

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hanya yang menggunakan perkhidmatan ini akan terasa bebannya. Mereka yang bertaraf menteri mungkin tidak terasa. Contoh mudah apabila bekas menteri begitu terasa beban tol. Baca kenyataan bekas menteri Kabinet, Azmi Khalid mengenai tol lebuh raya.

''Dulu ketika jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tinggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu,'' kata Azmi.

Mungkin selepas ini, ramai lagi bekas menteri akan menyuarakan rintihan rakyat. Maka ada baiknya orang politik diberi kesempatan merasai nikmat seketika kemudian nikmat itu ditarik balik untuk merasai pula 'nikmat' kehidupan rakyat biasa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.