saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 27/04/2009

"Bukan selalu Siti menang"


UNGGUL... Siti Nurhaliza bersama sebahagian daripada trofi Anugerah Industri Muzik yang diterimanya sepanjang 12 tahun menyertai anugerah berprestij itu.


DIAM tak diam, acara anugerah Anugerah Industri Muzik (AIM) sudah pun memasuki tahun ke-16. Tahun ini, AIM akan bersiaran pada 2 Mei ini secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menerusi saluran ntv7.

Bermula dengan penganjuran pertama pada tahun 1994, AIM dilihat sebagai pentas dan platform bagi mengiktiraf hasil karya komposer, penulis lirik, penyanyi serta mereka yang terlibat di belakang tabir.

Sehingga kini, AIM masih lagi relevan biarpun ketika industri muzik berhadapan dengan kegawatan.

Apa pun diperkatakan orang tentang AIM, satu perkara yang harus diakui tentang anugerah istimewa ini adalah ia merupakan pembakar semangat serta memotivasi anak seni untuk menghasilkan karya yang lebih baik tahun demi tahun.

Ini diakui sendiri oleh biduanita muda negara, Datuk Siti Nurhaliza yang cukup sinonim dengan AIM.

Sehingga kini, nama dan albumnya belum pernah gagal untuk membolosi tembok kebal AIM.

Pentas AIM pada tahun 1997 membawa kemenangan terindah buat Siti apabila dia membawa pulang dua trofi iaitu Artis Baru Wanita Terbaik dan Lagu Terbaik untuk Jerat Percintaan sebagai mengiktiraf kejayaannya sebagai bakat baru yang cukup menyinar.

Kata Siti, kejayaan pertamanya di AIM itu bukanlah petanda untuk dia terus berasa selesa dengan kedudukannya tetapi ia adalah pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik dalam setiap albumnya.

Bermula detik itu, nama Siti tidak pernah terlepas daripada dicalonkan setiap tahun di AIM sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Rekod cemerlangnya yang berjaya memiliki sembilan trofi Persembahan Vokal Wanita Terbaik serta empat trofi Album Terbaik setakat ini menjadikan dia merupakan calon paling 'digeruni'.

"Saya tidak menafikan setiap tahun saya hasilkan album untuk menyertai AIM tetapi bukan untuk saya seorang. Saya mahu melihat mereka yang bekerja keras menghasilkan album saya diiktiraf oleh juri AIM.

"Kejayaan yang saya miliki sepanjang menyertai AIM tidak hadir dengan sendiri.

"Ia berkat sokongan dan kerja keras semua pihak yang tidak pernah putus memberikan idea kreatif untuk setiap album saya," kata Siti sewaktu sesi fotografi di pejabat urusan Siti Nurhaliza Productions (SNP) yang terletak di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan yang sentiasa berpihak kepadanya saban tahun merupakan rezeki Allah.

"Saya menganggap kemenangan itu satu perkara yang serius untuk saya menggandakan usaha. Lagipun, bukannya selalu saya menang dalam AIM.

"Saya percaya juri bijak menilai dalam mengiktiraf mereka yang dirasakan layak untuk digelar sebagai pemenang," katanya yang pernah pulang dengan tangan kosong pada AIM 1998 biarpun menerima empat pencalonan.

Tetap berkualiti

Biarpun albumnya saban tahun tidak pernah tercicir menerima pencalonan, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini menjelaskan, penghasilan setiap albumnya tetap mementingkan kualiti.

Tambahnya, mungkin kerana, masyarakat melihat albumnya pantas dipasarkan setiap tahun menjadikan mereka skeptikal dengan kualiti karyanya.

Apatah lagi, selepas kejayaan album Transkripsi yang dianggap album terbaik Siti, dua buah album menyusul selepas itu iaitu Hadiah Daripada Hati dan Lentera Timur dikatakan tidak mampu menyaingi kehebatan Transkripsi.

Untuk pengetahuan, Transkripsi yang memuatkan lagu popular Biarlah Rahsia, Destinasi Cinta dan Bisakah itu telah dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Pop Terbaik pada AIM 14 pada tahun 2007.

Dengan nada serius, Siti berkata, setiap tahun, dia dan pihak SNP akan duduk berbincang mengenai mekanisme terbaru untuk menghasilkan album.

"Saya mengambil semua kritikan untuk memperbaiki segala kelemahan demi kepuasan peminat kerana mereka merupakan pengkritik utama saya.

"Dalam pada itu juga, saya melihat AIM sebagai pentas untuk saya belajar dan memperolehi idea baru terutama dari segi teknikal yang boleh saya aplikasikan dalam album saya seterusnya.

"Bukan meniru tetapi ia adalah satu proses pembelajaran," ujarnya yang menyifatkan anugerah Kembara AIM diterimanya sebanyak tiga kali antara kenangan terindah sepanjang bergelar anak seni.

Persaingan sihat

Mengalih topik perbualan kepada tujuh pencalonan yang diterimanya tahun ini menerusi album Lentera Timur, isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini ternyata gembira dan bersyukur dengan pencalonan yang diterimanya.

Apatah lagi, setelah lima tahun tidak tampil dengan album tradisional selepas Sanggar Mustika, Siti melihat ia sebagai satu perkembangan yang positif sementelah lagu-lagu berkenaan agak kurang meriah berbanding sedekad lalu.

Lentera Timur dicalonkan untuk Album Pop Etnik Terbaik manakala dua lagu di dalam album itu, Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman masing-masing dicalonkan untuk Lagu Pop Etnik Terbaik.

Selain itu, Di Taman Teman turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu di samping sebuah lagi lagu nyanyian Siti, Pada Cintanya yang merupakan gubahan Audi Mok.

Vokal emas penghibur berusia 30 tahun ini diiktiraf sekali lagi apabila menerima dua pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman.

Seperti biasa, Siti tidak mahu menaruh harapan yang tinggi untuk membawa pulang gelaran itu buat kali ke-10 walaupun kedua-dua lagu berlainan nuansa dan sentuhan, namun, tidak dinafikan ia cukup mencabar vokalnya.

Ini kerana katanya, pesaingnya tahun ini tidak boleh dipandang enteng kerana mereka mempunyai kehebatan serta kredibiliti tersendiri walaupun mereka jauh lebih muda daripadanya.

Mereka yang dimaksudkan adalah Dina, naib juara Malaysian Idol musim pertama serta juara dan naib juara One In A Million musim kedua, Ayu Damit dan Shila.

"Senario ini adalah satu persaingan yang baik dan sihat. Biarpun AIM tidak lagi menilai vokal dari segi keseluruhan album dan hanya menerusi lagu, tetapi ia adalah satu langkah yang bagus seperti mana yang dilakukan di anugerah Grammy.

"Setidak-tidaknya, ia mampu memberi peluang kepada semua artis yang tidak menghasilkan album untuk dicalonkan biarpun hanya menerusi lagu.

"Menang atau kalah, saya tidak kisah," tuturnya sambil memberitahu dia tidak akan hadir untuk AIM 16 kerana akan mengerjakan umrah bersama keluarganya pada hari acara gilang-gemilang itu berlangsung.

Album kerohanian

Berbicara tentang perancangan masa depannya pula, pemilik vokal lagu Purnama Merindu dan Kau Kekasihku ini berkongsi rancangannya untuk tampil dengan album kerohanian untuk pasaran bulan Ramadan kelak.

Semuanya adalah kerana impak yang terhasil sejak dia terlibat dalam pementasan teater muzikal, Sirah Junjungan Tahajud Cinta baru-baru ini.

"Insya-Allah, perancangan itu dilakukan selepas menerima respons yang baik daripada peminat dan audiens. Kita tengoklah macam mana nanti," ujarnya sambil menguntum senyuman manis.

Dalam pada itu, satu lagi impian anak pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik adalah untuk menghasilkan sebuah album di mana muziknya di mainkan secara live dengan diiringi oleh orkestra.

Bukan itu sahaja, keinginannya untuk melahirkan sebuah album Inggeris tidak pernah pudar dan jika peluang itu hadir kelak, dia mahu melihat album itu tercalon dalam AIM.

"Apa yang saya harapkan rezeki saya akan sentiasa murah untuk terus menghasilkan album berkualiti demi peminat dan pencinta muzik.

"Namun begitu, seandainya di masa hadapan, saya tidak lagi mampu untuk melahirkan sebuah album penuh, itu realiti yang harus diterima," katanya yang bakal mengadakan konsert istimewa di Istana Budaya pada Jun ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.