VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 27/04/2009

Pengasih kembalikan kehidupan penagih dadah


Azmi Rahman (berkemeja-T) dan Mohd. Arshad Shafie giat menternak ikan keli, salah satu program kendalian Rumah Pengasih.


MEMANG mudah menuding jari apabila berdepan isu penagihan dadah yang semakin berkudis dan bernanah dalam masyarakat.

Tetapi siapakah yang sudi menghulur bantuan apabila si penagih tegar itu sendiri ingin kembali ke pangkal jalan dan hidup normal seperti orang lain?

Sanggupkah menolong si malang itu apabila dia meraung, mengerekot menanggung sakit yang dikatakan menyamai sembilan kali ganda keperitan ibu bersalin akibat kesan ketagihan najis dadah selama bertahun-tahun.

Penagihan dadah merupakan keadaan patologi atau gangguan mental disebabkan rentetan ketagihan dadah yang teruk sehingga menimbulkan tingkah laku ganjil, mudah berbalik dan akhirnya gagal respons terhadap rangsangan normal.

Terdapat tiga kategori penagihan iaitu keasyikan atau ternanti-nanti, mengikut nafsu atau kemabukan dan menyisihkan diri atau kesan negatif.

Ketiga-tiga peringkat penagihan itu dikategorikan mengikut ketagihan berterusan dan sering menghabiskan masa mencari bahan rangsangan, menggunakan lebih daripada diperlukan untuk merasai kesan khayal, toleran terhadap dadah yang banyak, simptom penyisihan dan kurang motivasi menjalani aktiviti normal.

Atas sebab itu, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) ditubuhkan 22 tahun lalu bagi mengembalikan golongan penagih ini ke jalan yang benar dan menggalakkan mereka hidup berdikari. Lebih menarik lagi, Pengasih menjadi satu-satunya pusat pemulihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh bekas penagih dadah di negara ini.

Pengurus Program Rumah Pengasih, Sohaimi Ahmad berkata, bermula sebagai persatuan kecil, Pengasih kini menyediakan khidmat rawatan untuk mangsa ketagihan dadah, bahan kimia dan alkohol.

"Kami aktif dalam Persekutuan Komuniti Terapeutik Sedunia (WFTC) dan Asia (AFTC) serta sering bekerjasama dengan organisasi dari Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Thailand, Maldives, Sri Lanka, Afrika Selatan, Korea Selatan, Singapura, Filipina, Pakistan dan India.

"Bahkan Presiden Pengasih, Mohd Yunus Pathi merupakan Naib Presiden Kedua WFTC New York dan Naib Presiden Pertama AFTC.

"Pendekatan komuniti terapeutik (TC) yang kami gunakan dalam membakar semangat untuk kembali kehidupan asal para penagih diaplikasikan oleh rakan-rakan di Indonesia dan Maldives," katanya ketika ditemui di Pengasih, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menggunakan pendekatan TC sejak tahun 1993, Pengasih berjaya membina semula kehidupan lebih 3,500 bekas penagih alkohol dan dadah tegar tanpa kaedah kekerasan atau paksaan untuk bebas daripada ketagihan tersebut.

Menurut Sohaimi, TC merupakan pendekatan berasaskan aktiviti dalam kumpulan untuk merawat penagihan dadah tegar di samping gangguan mental dan personaliti.

Ia dilakukan menerusi sistem residen dengan klien dan ahli terapi tinggal bersama, berpandukan prinsip terapi milieu (psikoterapi berkumpulan) dan aktiviti praktikal.

"Justeru aktiviti harian kami banyak melibatkan sesi berkumpulan, kaunseling, ceramah dan interaksi positif sesama residen.

"Oleh kerana Rumah Pengasih dikendalikan sepenuhnya oleh bekas penagih, semua mempunyai tugas masing-masing untuk menjaga kebersihan, keindahan sekitar dan menternak ikan keli untuk mencungkil minat keusahawanan dalam diri mereka," jelasnya.

Pengasih amat mementingkan aspek kekeluargaan, galakan rakan sebaya, model contoh, terapi berstruktur dan pembangunan moral serta kerohanian dalam usaha memulihkan bekas penagih tegar.

Katanya, ia penting bagi melaksanakan program rawatan yang memberi fokus kepada empat elemen perubahan utama dalam diri bekas penagih iaitu:

-Transformasi tingkah laku;
-Kemahiran mengendalikan emosi;
-Pertumbuhan intelektual; dan
-Pembangunan kemahiran hidup.

Ketika kunjungan wartawan Mega ke Rumah Pengasih baru-baru ini, seramai 57 residen, majoritinya lelaki menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan tersebut.

Hari ini, hampir 80 peratus residen berjaya pulih sepenuhnya daripada ketagihan dadah, malah ada yang kembali bergelar juruterbang, chef restoran dan hotel serta ramai di antaranya kini merupakan kaunselor bertauliah di Pengasih.

Kisah tiga generasi penagih dadah

Mereka menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Bangun pagi, pergi kerja, balik kerja. Tetapi golongan ini sebenarnya ada agenda rahsia di sebalik rutin yang kelihatan seperti normal pada pandangan masyarakat itu.

Golongan ini adalah penagih pelbagai jenis dadah yang terdiri di kalangan semua peringkat masyarakat. Murid dan pelajar sekolah, penuntut universiti, budak penghantar barang, kakitangan kerajaan, pekerja makmal, pengurus bank malah pegawai polis.

Hobi masa lapang

Azmi Rahman, 48, (bukan nama sebenar) mula menagih dadah jenis ganja pada usia 19 tahun tetapi tiga tahun kemudian bertukar kepada dadah lebih berat, heroin tiga.

"Ketika itu saya bekerja sebagai budak penghantar surat di bank dan menghisap dadah sekadar suka-suka atas pengaruh rakan sebaya.

"Pada mulanya, saya mengambil heroin pada masa lapang, lepas kerja tetapi lama kelamaan saya jadi ketagih dan khayal pada bila-bila masa," katanya yang menanggung ketagihan dadah selama lebih 28 tahun.

Menurutnya, dia menyembunyikan derita ketagihan daripada pengetahuan keluarga meskipun tinggal sebumbung dengan mereka sehinggalah saudaranya mengesyaki dia terjebak dengan dadah.

Akhirnya, dia dihantar menjalani rawatan di hospital dan ketika itu Azmi bergelut dengan kesakitan akibat rasa gian teramat sangat sehingga tubuhnya langsung tidak merasai kesan ubat.

Bagaimanapun rawatan demi rawatan tidak berjaya menghalang Azmi daripada terus mencari najis dadah itu sehingga ke bawah jambatan, lorong gelap dan kawasan hitam seperti Lorong Haji Taib yang digelar Shooting Gallery oleh penagih heroin tegar.

Sehinggalah tanggal 5 September tahun lalu, adiknya membawa Azmi ke Rumah Pengasih yang menawarkan kaedah rawatan TC khusus untuk memulihkan penagih dadah tegar.

Hari ini, Azmi berjaya pulih sepenuhnya daripada gejala ketagihan.

Kekecewaan anak sulung

Lain pula halnya dengan Danny Halim, 20 (bukan nama sebenar) yang tidak mempunyai sejarah penagihan panjang. Sebaliknya, baru empat hari 'belajar' menghidu gam, bapanya mendapat tahu lalu menghantar remaja itu ke Rumah Pengasih, kira-kira tiga bulan lepas.

"Saya juga mengambil pil ubat batuk, Nospan, yang menjadi pilihan ramai budak-budak untuk khayal selain (hidu) gam kerana murah dan mudah diperoleh.

"Atas rasa kecewa dan benci pada bapa kerana tidak mengendahkan saya, ibu dan adik-adik selepas berkahwin lain, saya menelan 15 biji pil Nospan sehari untuk menyembunyikan perasaan itu," katanya.

Anak sulung daripada tujuh adik- beradik ini puas bergelumang rasa kecewa atas kegagalan membanggakan bapanya terutama dari segi akademik.

Keputusan peperiksaan saban tahun pula semakin menghampakan apabila dia mendapat semua E dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pun begitu, Danny menyimpan hasrat untuk mengikuti kursus kemahiran di Pusat GiatMara apabila tamat tempoh pemulihannya di Rumah Pengasih tidak lama lagi.

Lapan kali OD

Sohaimi Ahmad, 51, juga merupakan Pengurus Program Rumah Pengasih dan perjalanan hidupnya kini menemui arah baru setelah tergerak hati untuk menjalani pemulihan pada 16 Mei 1995.

Derita penagihan dadahnya selama 22 tahun bermula sekitar 1970-an, sewaktu Sohaimi bekerja sebagai budak pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ironinya, pada tahun 1980, dia memasuki Pusat Latihan Ulu Kinta, Perak dan kemudiannya berjaya menjadi anggota polis sebelum dibuang kerja selepas 'aktiviti sampingannya' diketahui pihak atasan.

"Saya pernah mengambil dadah berlebihan (over dose atau OD) sebanyak lapan kali, keluar masuk penjara dan Pusat Serenti kerana asyik ditahan ketika khayal, mana sempat lari.

"Selepas saya memasuki Rumah Pengasih, barulah saya sedar dosa terhadap diri dan keluarga terutama bapa.

"Saya pernah mencuri duitnya, berdendam dan akhir sekali meninggikan suara padanya pada pagi dia meninggal dunia akibat serangan jantung," ujarnya.

Kini, Sohaimi bukan sahaja membantu memberikan sokongan moral, terapi dan kaunseling kepada residen Rumah Pengasih.

Malah, beliau dipertanggung jawab membangunkan program TC yang merupakan antara pendekatan alternatif paling efektif untuk memulihkan penagih tegar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.