saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/04/2009

Dilema Pakistan, Amerika


ANGGOTA pasukan keselamatan Pakistan memeriksa kenderaan di Timargarh, wilayah Lower Dir ketika operasi tentera ke atas kubu militan dijalankan Isnin lalu.


Turun naik kejayaan Pakistan dalam usaha membawa kestabilan dalaman negara semakin kritikal apabila pendekatan untuk berkompromi dengan Taliban semakin goyah berikutan puak fundamental, militan dan Taliban di Lembah Swat membatalkan rundingan dengan Islamabad apabila pihak kerajaan melancarkan serangan ke atas puak Taliban.

Dalam masa yang sama, ancaman terhadap keselamatan Pakistan semakin tinggi apabila pada 26 April 2009, Kementerian Dalam Negeri Pakistan mendedahkan terdapat 300 pengebom bunuh diri sedang merancang serangan ke atas bandar dan rakyat Pakistan.

Pakistan kini berada di persimpangan dalam strateginya untuk menghapuskan pengganas dan Taliban dan memulihkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS). Namun di sebalik harapan Pakistan terhadap AS, persoalan yang timbul adalah bagaimana AS melihat Pakistan pada ketika ini?

Penawaran AS kepada Pakistan pada 18 April 2009 yang menjanjikan penyaluran dana sebanyak RM 3.6 bilion dan bantuan-bantuan bukan bersifat kewangan kepada Islamabad telah membayangi dasar Presiden Pakistan Asif Ali Zardari terhadap pengganas dan militan.

Selain itu, AS juga turut bercadang untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya AS$3 bilion (RM11 bilion) dalam tempoh lima tahun untuk melatih dan melengkapkan ketenteraan Pakistan.

Kesediaan AS yang bersetuju untuk menyalurkan dana kewangan dan bantuan ketenteraan kepada Pakistan merupakan satu tindakan yang memberi gambaran secara tidak langsung mengenai kepentingan semasa kerajaan Pakistan dalam dasar baru AS.

Namun dasar ini bukanlah satu dasar yang bersifat konsisten kerana hubungan dan kepentingan Pakistan kepada AS adalah berbeza-beza.

Dengan kemunculan ancaman pengganas secara terang-terangan semenjak awal tahun 2000, Pakistan menjadi semakin penting kepada AS dalam menjadi negara yang bertanggungjawab melaksanakan dasar memerangi keganasan bagi pihak AS ketika Pakistan di bawah pemerintahan Musharraf.

Namun, kekalahan Musharraf dalam pilihan raya menjadi titik tolak kepada kebimbangan AS terhadap pelaksanaan dan perlindungan kuasanya di rantau Asia Selatan. Daripada perspektif AS, Presiden Asif merupakan pemimpin Pakistan yang lebih mengutamakan dasar berlembut terhadap militan dan pengganas.

Ia merupakan satu pendekatan yang bertentangan dengan prinsip AS yang tidak akan berkompromi dan menggunakan kekerasan ketenteraan dalam menangani isu pengganas dan militan. Tindakan AS dan sekutunya yang mengambil keputusan untuk memperluaskan operasi ketenteraan ke dalam wilayah Pakistan walaupun tanpa kebenaran Islamabad semenjak September 2008 telah menunjukkan ketidakyakinan AS terhadap Pakistan.

Malah kegagalan Pakistan dalam menangani isu keganasan antarabangsa termasuk serangan di Mumbai pada 27 November 2008 turut dilihat sebagai kegagalan Pakistan apabila AS bertindak seolah-olah menyebelahi India dalam isu ini.

Ketika era pemerintahan Barack Obama, Pakistan sekali lagi menjadi 'sandaran' kepada AS untuk melindungi kepentingan dan melaksanakan dasar AS di rantau Asia Selatan. Pengamalan dasar ini telah dipengaruhi oleh faktor kepentingan dan kegagalan penguasaan mereka di Afghanistan.

Dengan menyedari kawalan AS terhadap Afghanistan semakin lemah, maka Pakistan telah menjadi 'pilihan utama' dalam memastikan masalah pengganas dapat dihapuskan. Pakistan sekali lagi telah djadikan sebagai 'benteng' kepada perlindungan kepentingan AS di Asia Selatan seperti mana yang pernah digunakan ketika Afghanistan diceroboh oleh Kesatuan Soviet.

Kesungguhan AS dalam menjadikan Pakistan sebagai benteng pertahanan dan membendung pergerakan Taliban, pengganas dan militan dapat dilihat apabila AS bersedia untuk menyediakan bantuan tambahan bernilai AS$1.5 bilion (RM5.4 bilion) setiap tahun dalam tempoh lima tahun kepada Pakistan bagi memperkukuhkan angkatan keselamatan, memulihkan demokrasi, membangunkan sekolah dan menyediakan kemudahan infrastruktur lain.

Isu dan masalah pengganas ini bagaimanapun telah meletakkan Pakistan berada dalam dilema. Ini kerana Pakistan sememangnya memerlukan bantuan daripada AS dalam usaha menangani permasalahan ini dan memastikan hubungan baik AS-Pakistan terus terjalin.

Dalam masa yang sama hubungan baik AS-Pakistan ini turut mampu mengancam keselamatan Pakistan khususnya ancaman daripada Taliban, pengganas dan rakyat Pakistan sendiri.

Harapan AS kepada Pakistan dalam membendung gerakan pengganas Taliban dan pengganas juga dipengaruhi oleh kegagalan rejim Hamid Karzai dalam membasmi ancaman Taliban dan pengganas.

Ini kerana hakikat di sebalik berita penguasaan AS dan sekutunya ke atas Afghanistan yang diuar-uarkan kepada dunia adalah jauh daripada apa yang sebenarnya berlaku di Afghanistan. Pergerakan Taliban masih kukuh termasuk berjaya menguasai beberapa wilayah besar di selatan Afghanistan.

Kawalan AS dan sekutunya hanyalah terhad di kawasan-kawasan bandar sahaja sedangkan mereka gagal menguasai kawasan-kawasan lain khususnya kawasan yang bersempadanan Afghanistan-Pakistan.

AS sememangnya telah menyedari dengan situasi semasa kedudukan kuasa pengawalan ke atas Afghanistan pada ketika ini semakin sukar dikawal. Cadangan Obama untuk menambahkan 17,000 anggota tentera kepada keseluruhan 70,000 orang tentera adalah cadangan yang memaparkan risiko kekalahan di Afghanistan seperti mana yang pernah dilalui AS di Vietnam (1965-1975).

Memandangkan dasar Pakistan pada ketika ini yang mengamalkan dasar untuk 'berlembut' terhadap kumpulan Taliban, militan dan pengganas, maka AS dapat menggunakan kesempatan ini untuk membendung ancaman dan gerakan pengganas.

Kesediaan Presiden Asif yang melonggarkan perbincangan untuk membenarkan pelaksanaan undang-undang Syariah di Lembah Swat yang majoritinya diduduki oleh militan dan Taliban telah menunjukkan kerajaan Asif cuba berkompromi dengan puak Taliban.

Keputusan ini juga sebagai memenuhi tuntutan kumpulan militan tempatan dan Taliban bagi meredakan keganasan di Pakistan. Walaupun keputusan Pakistan ini tidak disenangi oleh AS, namun AS tidak mempunyai pilihan selain 'membenarkan' Islamabad berkompromi dengan kumpulan Taliban dan pengganas.

Keputusan ini juga merupakan satu keputusan yang dibuat berdasarkan keperluan semasa kerajaan Pakistan itu sendiri apabila Taliban dan pengganas telah menjadi salah satu 'kelompok masyarakat' di Pakistan.

Dasar AS yang menggunakan kekerasan ketenteraan terhadap Taliban dan pengganas di Afghanistan dan Pakistan akan menjadi semakin sukar untuk diselesaikan. Dalam sama yang sama tindakan Pakistan yang membuka tangan kepada kemasukan Taliban dan pengganas ke wilayahnya akan memberikan landasan yang luas kepada gerakan keganasan yang berpanjangan.

Kelemahan rejim boneka AS di Afghanistan yang gagal membawa kepada kestabilan akan turut mempengaruhi kepada ancaman keganasan. AS sepatutnya perlu menjadikan kegagalan kuasa besar dunia, Kesatuan Soviet di Afghanistan sebagai model dalam membendung ancaman pada ketika ini.

Namun, apa yang dipraktikkan oleh AS pada ketika ini adalah hampir sama dengan apa yang pernah dilakukan oleh Soviet pada satu ketika dahulu. Sekiranya AS terus gagal mengawal pergerakan Taliban dan pengganas serta tidak berjaya menggunakan kepentingan Pakistan sebaik-baiknya, Afghanistan sekali lagi akan menyaksikan satu lagi kuasa besar dunia bakal ditumbangkan di Afghanistan.

Penulis ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.