saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/04/2009

Menangani fenomena mat rempit

SEKURANG-KURANGNYA ada dua teori tentang asal usul istilah 'mat rempit'. Pertama, menurut Kamus Dewan (Edisi Empat), perkataan 'rempit' terdapat dalam dialek Perak yang bermaksud memukul dengan rotan atau menyesah.

Kedua, mantan Pengarah Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Noresah Baharum pernah memberitahu dalam satu penyelidikan yang dilakukannya bahawa 'rempit' berasal daripada gabungan dua perkataan Inggeris, ramp dan it.

Ramp merujuk kepada perasaan marah dan mengancam seperti seekor singa yang berdiri di atas kaki belakang manakala dua kaki hadapan diacu-acukannya ke udara dengan garang.

Mungkin kerana yang terlibat dalam fenomena ini sebahagian besarnya orang Melayu, perkataan 'rempit' didahului dengan singkatan nama 'Mat'.

Maka terciptalah gelaran 'mat rempit' yang hampir secara automatik dikaitkan dengan golongan remaja Melayu. Kita tidak pernah mendengar orang menyebut 'Ahcong Rempit' dan tidak juga 'Samy Rempit'.

Satu lagi penyakit sosial telah bertambah di kalangan masyarakat Melayu. Masalah Mat Rempit mungkin hanya satu sympton (gejala) atau petanda daripada penyakit sosial yang lebih besar di kalangan masyarakat Melayu.

Kerana itu yang lebih penting dilakukan barangkali ialah kajian sosiologi mengenai fenomena itu. Sedangkan kajian etimologi atau kajian asal usul kata 'rempit' itu bolehlah dianggap sebagai nota kaki sahaja.

Sememangnya masyarakat tidak begitu peduli asal usul perkataan 'rempit.' Yang jelas sekarang istilah 'mat rempit' membawa konotasi yang negatif, menimbulkan rasa geram dan marah. Isu ini kini telah menjadi satu punca kerunsingan dan keprihatinan.

Di peringkat awalnya mat rempit hanya dianggap sebagai pengacau lalu lintas kerana keserakahan mereka berlumba motosikal di jalan-jalan raya.

Sekarang kehadirannya dianggap sudah semakin durjana, sudah semakin tinggi kadar jenayahnya. Mereka bukan sekadar mengganggu lalu lintas di jalan-jalan raya yang sibuk, tetapi sudah mulai merampas, meragut dan merogol.

Salah satu cerita terakhir yang semakin menyalakan kemarahan dan rasa benci terhadap mat rempit ialah peristiwa penganiayaan dan kezaliman yang terjadi ke atas seorang perempuan muda yang pekak dan bisu.

Sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris (26 April 2009) melaporkan perihal segerombolan mat rempit mengerumuni seorang perempuan muda berumur 23 tahun di sebuah stesen minyak.

Perempuan muda itu ditendang dan dilempang lalu beg tangannya diragut dan dilarikan. Orang sekeliling hanya memandang tanpa memberi sebarang pertolongan. Mungkin takut, mungkin tak berdaya.

Bila ibu bapa perempuan muda itu membuat pengaduan di balai polis, secara kebetulan satu pengaduan yang lain mengenai jenayah sekumpulan mat rempit di tempat lain juga dibuat oleh dua orang yang lain.

Keesokan harinya (27 April 2009) akhbar yang sama menyiarkan pula satu berita tentang kemarahan meluap-luap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terhadap jenayah mat rempit yang semakin menjadi-jadi itu.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpendapat selama ini pihak berkuasa mengambil pendekatan yang agak lembut terhadap mat rempit. Mungkin kerana berita penganiayaan terhadap OKU (orang kurang upaya) yang dilakukan mat rempit itu, Shahrizat nampaknya sudah kehilangan sabar dan mahu polis mengambil tindakan yang lebih tegas dan keras.

Tetapi betulkah selama ini polis kurang tegas dan kurang keras? Atau adakah polis kurang kuasa dan kurang sumber? Kurang kuasa dalam erti terdapatnya keterbatasan undang-undang yang membolehkan polis bertindak lebih tegas dan keras. Dan kurang sumber dalam erti bahawa memang pihak polis tidak mempunyai tenaga dan kemudahan yang cukup untuk menghadapi masalah tersebut.

Satu soalan lain yang relevan ialah: Sudahkah dipastikan kekurangan-kekurangan lain yang dihadapi pihak polis, seperti kekurangan kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. Bagaimana pula dengan isu kurang penyelarasan?

Kita menanyakan soalan-soalan tersebut kerana pada hari Ahad (26 April), Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan diberitakan berkata seolah-olah selama ini tidak wujud kerjasama yang berkesan antara pihak polis dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mengatasi masalah mat rempit.

Shahrizat juga menyebut tentang kajian (atau barangkali hanya satu survey atau soal selidik) yang mendapati bahawa remaja-remaja yang terlibat dalam kegiatan mat rempit adalah kerana kebosanan. Lalu beliau marah-marah kepada ibu bapa yang dikatakannya lepas tangan mendidik anak-anak mereka hingga terlibat dalam kegiatan mat rempit.

Kita dapat memahami keprihatinan dan kemarahan Shahrizat itu. Tetapi yang lebih penting difahami oleh setiap pihak ialah fenomena mat rempit itu bukanlah satu isu yang terpencil untuk dipertanggungjawabkan kepada satu atau dua pihak tertentu sahaja.

Fenomena mat rempit sudah merupakan satu penyakit sosial yang telah mulai menular dan merebak kepada berbagai-bagai sektor kehidupan.

Oleh kerana itu isu ini perlulah ditangani secara bersepadu yang melibatkan ahli-ahli akademik (terutama ahli-ahli saikologi dan sosiologi) pakar undang-undang dan kriminologi serta penguat kuasa keamanan peraturan lalu lintas.

Semoga kita tidak memerlukan Pusat Serenti mat rempit untuk menambah pusat Serenti Penagih Dadah yang semakin bertambah-tambah itu. Barang dijauhkan Allah.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.