saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/05/2009

Wajah 'hodoh' di Dewan Undangan Negeri

MACAM-MACAM sambutan pada bulan Mei. Kalaulah semuanya diisytiharkan cuti umum, jenuhlah kita bercuti atau mendapat durian runtuh akibat kerja pada hari cuti.

Nasib baik cuti umum hanya pada Hari Pekerja (1 Mei) dan Hari Wesak (9 Mei). Di sebalik hari tersebut, Mei juga ada Hari Ibu, Hari Guru, Hari Belia dan macam-macam lagi. UMNO pula menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-63 hari ini. Selamat hari jadi UMNO!

Kita tunggu apa amanat Presiden UMNO, Najib Tun Razak pada majlis yang dijadualkan berlangsung malam ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Semoga UMNO di bawah kepimpinan Najib akan terus relevan dan berperanan untuk 1 Malaysia.

Biarlah apa yang akan diperkatakan oleh musuh di luar sana. Walaupun ada yang sinis mengaitkan UMNO dengan ungkapan dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok, arahan P. Ramlee tetapi ia pastinya mempunyai maksud yang lebih mendalam yang perlu dilihat secara positif. Orang Melayu ketika itu benar-benar buta huruf tetapi keadaan hari ini sudah berubah selepas negara mencapai kemerdekaan melalui perjuangan UMNO.

Namun dalam hal ini, menarik juga untuk pembaca merujuk kembali tulisan Dr. Sharifudin Lubis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai dialog yang dituturkan oleh watak Ramli, Sudin dan Ajis (Utusan Malaysia 19 Mac 2009).

Antara dialog yang menarik ialah alif (A) mim (M) nun (N) wau (U/O), alif tendang wau (U/O). Sama ada disedari atau tidak, jika dibunyikan akan disebut AMNU/O (UMNO!).

Jika benar itulah yang tersirat di sebalik dialog tersebut, pada waktu itu lagi P. Ramlee sudah dapat meramalkan, jika orang Melayu gagal; 'membaca' alif mim nun wau, dan apabila alif tendang wau, yang tinggal hanyalah huruf alif (A), mim (M) dan nun (N) yang boleh diterjemahkan sebagai Akhirnya Melayu Nazak.

Bagaimanapun, sebelum sampai ke tahap nazak itu, orang Melayu akan menjadi bahan tontonan seperti dalam persembahan sarkas. Itulah yang dilihat sedang berlaku di kalangan orang Melayu.

Rasanya tidak perlu penulis mengulas lebih lanjut isu ini, kerana tersilap ulas akan diputarbelitkan. Tetapi yang pasti, UMNO perlu memastikan, parti itu terus diterima rakyat Malaysia serta mempunyai pasukan yang benar-benar mantap bagi menjayakan gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sebut pasal sarkas, 7 Mei 2009 juga menarik perhatian penulis. Rakyat Malaysia khususnya di Perak akan ingat bagaimana kecohnya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap mulia itu. Mungkin menyamai mesyuarat Parlimen di Taiwan. Jika kita ketawa melihat aksi cemas di Parlimen luar negara, kini di negara kita juga ada adegan itu.

Sehingga hari ini, nampaknya kekecohan di DUN Perak tidak akan berakhir. Ini kerana V. Sivakumar masih mengaku dirinya sebagai Speaker. Khabarnya, beliau akan memasuki pejabatnya seperti biasa hari ini. Di manakah 'pejabat' itu? Sekalipun mahkamah sudah membuat keputusan mengenai kedudukan Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya tetapi keputusan itu ditolak. Entah undang-undang mana boleh dipakai dan mahkamah mana pula yang boleh diiktiraf.

Betullah kata seorang sahabat dari Perak. Dalam politik ada dua puak - satu puak yang sentiasa mengaku merekalah benar, betul, jujur, bersih, ikhlas, tidak rasuah, bermoral baik, golongan bijak pandai dan macam-macam lagi, sementara satu puak lagi sentiasa silap!

Golongan ini kalau undang-undang memihak kepada mereka, maka betullah institusi itu, tetapi jika tidak, faham-faham sajalah.

Dalam hal ini, penulis teringat titah ucapan Sultan Azlah Shah pada 19 April lalu sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-81.

Titah baginda: ''Raja dan takhta sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat secara terbuka memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan. Perbuatan-perbuatan kumpulan tertentu menyalakan api dalam sekam ini amatlah berbahaya dan boleh memusnah dan menghancurkan negara.

''Betapa perebutan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara; betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan; betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa.

''Pada hemat beta, rakyat negara ini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa''.

Berbalik ke DUN Perak berikutan kekecohan yang ditimbulkan anggota pembangkang, nampaknya krisis politik di negeri itu tidak akan berakhir. Pembangkang enggan mengalah. Apakah BN yang perlu mengalah?

Berdasarkan matematik, budak- budak tadika atau tabika boleh memberi jawapan 28 + 3 > 31 berbanding > 15 + 7 + 6 > 28, melainkan sesuatu yang luar biasa berlaku pada hari ini. Antara 31 dan 28, angka mana yang lebih besar?

7 Mei juga sudah pasti akan diingati sebagai episod yang amat memalukan bagi sebuah negara yang kaya dengan budaya ketimuran dan mengamalkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain.

Jika dibaca daripada apa yang ditulis di dalam blog, nyatalah betapa kemaruknya pembangkang untuk terus berkuasa di Perak. Tiada lagi kemuliaan Dewan. DUN Perak bagaikan sarkas, umpama lokasi yang ditawan dan di dalamnya ada tebusan yang hanya boleh dibebaskan jika tuntutan dipenuhi.

Lebih mendukacitakan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah dibiarkan menunggu begitu lama di Kamar Diraja untuk merasmikan persidangan DUN itu. Alangkah pedih dan sedihnya melihat seorang ketua negeri dibiarkan menanti begitu lama untuk menyempurnakan majlis. Di manakah rasa hormat terhadap raja kita?

Dalam konteks ini, penulis ingin menyelak semula titah ucapan Raja Nazrin pada 19 April lalu yang menyentuh mengenai raja Melayu bukan sekadar simbol. Selakan ini sekadar untuk mengingatkan mereka yang mungkin tidak membaca (buta) titah ucapan itu atau pura-pura tuli (pekak) sehingga tidak mendengar apa yang diucapkan.

Titah Raja Nazrin: ''Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda reda untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyinsing; kerana hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita''.

Pembangkang harus menerima hakikat bagaimana BN telah menerimanya pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Walaupun ketika itu, BN mempunyai 28 kerusi berbanding DAP (16), PKR (9), Pas (6) yang tidak bergabung secara rasmi tetapi Sultan Perak melantik MB daripada kalangan gabungan tidak rasmi parti pembangkang itu.

Dan keadaan itu kembali berulang apabila BN kekal 28 kerusi dan pembangkang 28. Tiga ADUN lagi (2 PKR, 1 DAP) mengisytiharkan sebagai wakil Bebas yang menyokong BN. Maknanya BN 28 + 3 manakala pembangkang 28. Inilah matematik mudah yang harus diakui pembangkang. Tetapi helah akan terus dicari untuk menegakkan 'benang yang basah'.

Tidak mustahil, sidang di bawah pokok akan berulang lagi. Apakah yang harus dilakukan? Maka sekali lagi filem P. Ramlee menjadi rujukan. Memang hebat filem-filem P.Ramlee. Laksamana Do Re Mi akan jadi pilihan yang mengisahkan tiga sahabat menyelamatkan negara Pasir Berdengung yang terpaksa memerintah di bawah pokok. Tetapi sebelum menjadi laksamana, Do Re Mi tinggal di atas pokok, membuat rumah di atas pokok milik orang, bukan di tanah sendiri.

Apabila Do Re Mi berdegil tidak mahu berpindah dari atas pokok itu, pemilik tanah mengancam akan menebang pokok itu dan akhirnya Do Re Mi mengaku kalah dan lari seterusnya menjadi laksamana. Kini Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sudah pun selesai. Begitu juga Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, dan Ali Baba Bujang Lapok sudah berakhir. P. Ramlee juga sudah tiada lagi dan apakah versi baru Do Re Mi atau Bujang Lapok akan kembali? Sama-samalah kita nantikan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.