saya nak baca ..

MAHKAMAH


ARKIB : 19/05/2009

Sultan tidak boleh singkir Nizar

KUALA LUMPUR 18 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak boleh menyingkirkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan Menteri Besar memandangkan beliau memegang jawatan tersebut bukan atas perkenan baginda.

Sebaliknya, menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, Menteri Besar yang dilantik bersama barisan Exco kerajaan negeri adalah bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, ini jelas terkandung dalam Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang menyatakan bahawa sekiranya Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota DUN, beliau harus meletakkan jawatan barisan Exco tersebut atau Menteri Besar boleh meminta baginda membubarkan DUN.

''Berdasarkan Perkara 16 subseksyen (2),(5),(6) dan (7) UTKP, adalah jelas bahawa sebaik sahaja Menteri Besar dilantik, beliau bertanggungjawab kepada DUN dan bukan kepada yang lain.

''Maksudnya, dengan pelantikan tersebut, Menteri Besar memimpin negeri melalui barisan Exco dan menasihatkan baginda berhubung hal ehwal negeri seperti yang termaktub di bawah Perkara 18(1) Perlembagaan negeri Perak,'' katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) itu menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis setebal 78 muka surat yang diperoleh pihak media hari ini.

Pada 11 Mei lalu, beliau membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam keputusan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku responden untuk menangguhkan perintah perisytiharan itu sehingga rayuan didengar.

Rayuan Zambry yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan permohonan Mohammad Nizar untuk mengetepikan perintah penangguhan itu dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Khamis ini.

Hakim Abdul Aziz dalam penghakimannya juga menyatakan, walaupun Sultan Perak selepas menemui anggota DUN yang menyokong Barisan Nasional (BN) telah membuat pengadilan yang Zambry mendapat sokongan majoriti, baginda tidak sepatutnya berpendapat bahawa Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

''Satu alasannya ialah pernyataan 'dalam pengadilannya' tidak digunakan dalam Perkara 16(6) perlembagaan tersebut,'' ujar beliau.

Menurut hakim tersebut, pengadilan atau pendapat peribadi Sultan Perak adalah tidak relevan kepada tafsiran Perkara 16(6) UTKP, selain daripada alasan bahawa Exco kerajaan negeri seharusnya bertanggungjawab kepada DUN.

''Ia adalah mengikut logik pada peruntukan Perkara 16(5),16(2)(a) dan 16(6) UTKP malahan Perkara 16(6) memerlukan DUN yang menentukan sama ada mereka mempunyai kepercayaan atau tidak kepada Menteri Besar sebagai ketua Exco kerajaan negeri,'' ujar beliau.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga menyatakan jika dakwaan Zambry mendapat kepercayaan majoriti selepas memperoleh sokongan daripada tiga lagi ADUN adalah benar dan Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran DUN, mengapa Zambry tidak memohon perkara yang sama.

''Mengapa responden (Zambry) yang mewakili BN tidak memohon perkenan baginda untuk mengadakan sidang khas DUN supaya usul undi tidak percaya boleh dibuat dan diterima terhadap pemohon (Mohammad Nizar).

''Dengan cara itu, ia lebih menepati amalan dan prinsip demokrasi,'' kata beliau.

Di akhir penghakimannya, Hakim Abdul Aziz turut membenarkan permohonan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar untuk tidak meneruskan tuntutan ganti rugi, taksiran serta diadakan inkuiri dan perintah kos.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.