saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/05/2009

'Jerat' Anwar tidak mengena

BARISAN Nasional (BN) membuat keputusan bijaksana apabila tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti hujung bulan ini.

Keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN dibuat atas dasar pilihan raya tersebut hanyalah satu permainan politik parti pembangkang. Ia bukan atas keperluan sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan.

Dan orang yang paling kecewa dengan keputusan itu sudah tentulah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. 'Jerat' berumpankan provokasi yang dipasang, tidak mengena kali ini.

Anwar pastinya sangat-sangat berharap BN sebagai parti pemerintah termakan dengan provokasi itu. Beliau mahu melihat parti pemerintah terjerumus sekali lagi dalam siri permainan politik pakatan pembangkang - khususnya PKR.

'Permainan' Anwar pada dua pilihan raya kecil terdahulu kelihatan sedikit menjadi walaupun tembelang sebenar sudah mula kelihatan kini.

Isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail sanggup meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali memburu cita-cita politiknya yang sudah lama terbantut sejak pemecatannya.

Anwar menang di Permatang Pauh dan melihat pilihan raya kecil itu sebagai pembuka jalan kepada cita-cita' yang tidak pernah kesampaian. Bagi meneruskan momentum 'kemenangan', beliau 'mencetuskan' pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Kedah.

V. Arumuguam yang sedang berdepan dengan isu moral meletakkan jawatan bagi membolehkan satu lagi pilihan raya kecil diadakan. Anehnya seorang lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang terang-terangan terlibat dalam isu moral (apabila gambar separuh bogelnya tersebar di Internet) tidak pula diarah meletak jawatan.

Barangkali pilihan raya kecil Bukit Lanjan adalah strategi Anwar seterusnya selepas ini. Pilihan raya kecil ketiga di Penanti pula diadakan hanya kerana prestasi buruk bekas wakil rakyatnya, Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.

Prestasi buruk Fairus sebagai Timbalan Ketua Menteri menjadi buah percakapan penduduk di Penanti dan merosakkan imej PKR.

Parti itu dilabel sebagai parti yang mempunyai wakil rakyat yang tidak berkualiti kerana pemilihannya dibuat sekadar "tangkap muat".

Melihat kepada sebab-musabab ketiga-tiga pilihan raya kecil itu diadakan, ia tidak lain daripada agenda peribadi dan permainan politik terancang Anwar.

Pertamanya, pemimpin PKR itu mahu momentum kemenangan parti itu berterusan sehingga di dibawa ke pilihan raya umum akan datang.

Anwar memperolehi mileage yang cukup besar menerusi kemenangan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Ia seolah-olah menggambarkan bahawa Anwar mendapat sokongan yang cukup kuat daripada rakyat Malaysia walaupun realitinya tidak sedemikian.

Kedua, Anwar mahu terus menjadikan pilihan raya kecil sebagai pentas terbaik "membelasah" BN secara terus-terusan dengan pelbagai dakyah dan fitnah ciptaannya.

Ketiga, pilihan raya adalah strategi terbaik bagi menutup keretakan dan keberantakan 'rumah tangga' pakatan pembangkang yang dibina atas pakatan longgar antara PKR, DAP dan Pas.

Pemimpin PKR itu mahu memberi satu gambaran bahawa pakatan pembangkang semakin bersatu.

Pakatan pembangkang mahu diperlihatkan kepada rakyat sebagai satu pakatan yang semakin kukuh walaupun realitinya mereka sedang berdepan dengan krisis demi krisis yang sudah menjadi rahsia terbuka.

Apa yang paling penting, Julai ini Anwar akan berdepan dengan perbicaraan mahkamah berhubung tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pilihan raya kecil ini pada tanggapan Anwar, sekurang-kurangnya dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada isu kes liwatnya apatah lagi jika calon PKR menang di Penanti.

Ujian paling besar bagi Anwar ialah bagaimana mengalihkan perhatian rakyat daripada isu liwat tersebut.

Melihat kepada faktor-faktor tersebut, BN merasakan ia tidak perlu terikut-ikut apatah lagi terperangkap dengan segala taktik dan perancangan teliti pemimpin PKR itu.

Lagipun pilihan raya keci di Penanti itu diadakan bukan kerana calonnya meninggal dunia atau sebab-sebab yang termaktub dalam Perlembagaan seperti kematian, muflis dan sebagainya. Jadi tidak rugi dan tidak menjadi kudis pun jika BN tidak bertanding.

Pilihan raya Penanti adalah 'proses demokrasi' ciptaan Anwar.

Daripada sisi lain, keputusan BN itu mungkin mengundang pelbagai tanggapan berbeza. Di kalangan penyokong kerajaan, akan ada yang berasa kecewa.

Tanpa kehadiran calon BN, maka pilihan raya kecil kali ini tidak memberi makna kepada mereka. Apatah lagi jentera pilihan raya parti yang sudah bersiap sedia lebih awal.

Bagaimanapun, pendirian BN perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan terbuka.

Apa yang pasti parti-parti pembangkang sudah pasti cuba memanipulasi keputusan BN untuk tidak bertanding.

Peluang ini akan digunakan untuk meniup kebencian bahawa BN sudah tidak lagi mempedulikan nasib penduduk di Penanti.

Kerana itu juga, penjelasan berhubung pendirian untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh dan sampai kepada rakyat.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, rakyat terutamanya penduduk di Penanti perlu memahami pendirian BN untuk memberi fokus kepada ekonomi negara apabila memutuskan untuk tidak bertanding.

Pendirian itu merupakan satu objektif yang dilihat memenuhi sasaran perjuangan untuk semua rakyat Malaysia.

Sesuatu yang pasti, keputusan untuk tidak turut serta dalam pilihan raya kecil Penanti adalah satu mesej jelas BN.

Bahawa kerajaan tidak akan sesekali menjadikan penularan politik jelik yang dipopularkan oleh pembangkang itu sebagai satu trend dalam budaya politik demokrasi di Malaysia.

Anwar dan PKR mungkin menang mudah di Penanti 31 Mei ini. Dan Pulau Pinang pula bakal mendapat Timbalan Ketua Menteri Melayu yang lebih bijak, cerdik dan lebih elok imejnya.

Tetapi realitinya Anwarlah yang paling kecewa. Kali ini, belantik yang menjerat lawannya sebelum ini tiba-tiba membingkas, menjerut dirinya sendiri!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.