saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/05/2009

Dimensi baru Siti Nurhaliza


KONSERT Satu bakal menterjemahkan luahan isi hati Siti Nurhaliza menerusi lagu dan elemen yang menggabungkan persembahannya menjadi satu.


BIARPUN sudah menjalani kehidupan sebagai anak seni selama 14 tahun, nama penyanyi tersohor ini tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan mulut masyarakat setiap kali berakhirnya sesebuah acara anugerah muzik mahupun pertandingan.

Masakan tidak, dalam apa jua pertandingan muzik di negara ini, baik yang berteraskan populariti mahupun kualiti, pasti nama Datuk Siti Nurhaliza akan tercatat sebagai pemenangnya.

Terbaru, sekali lagi kemenangan biduanita muda negara ini di Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM 16) diperkatakan apabila namanya dijulang buat kali kesepuluh menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik.

Bukan itu sahaja, album Lentera Timur yang dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Pop Etnik Terbaik turut dipersoalkan, apabila ada yang mengatakan album milik kumpulan Hujan lebih layak menerima anugerah Album Terbaik.

Kata mereka, Siti sudah tidak sepatutnya menyertai acara anugerah di negara ini kerana bakatnya sudah termaktub dalam direktori seni tempatan sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara.

Kehebatan penghibur berusia 30 tahun ini tidak perlu dipersoalkan lagi kerana industri hiburan negara ini tidak akan mampu untuk menghasilkan seorang lagi insan seni bernama Siti Nurhaliza.

Kemenangan untuk semua

Tidak pernah melatah, Siti menerima apa sahaja yang diperkatakan tentang dirinya dengan cukup terbuka.

Malah, jawapan yang diberikan olehnya sudah cukup untuk menyerlahkan kematangan dirinya sebagai seorang penghibur yang cukup disegani.

"AIM adalah untuk mencari mereka yang terbaik dan berkualiti dan apabila juri sudah memutuskan kemenangan berpihak kepada saya, ia adalah satu penghargaan buat saya. Saya bekerja keras untuk menghasilkan album Lentera Timur.

"Ingin juga saya tegaskan kemenangan saya bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua karyawan seni yang terlibat dalam album ini.

"Jadi, kalau ada pihak yang mahukan saya berundur dan menarik diri daripada menyertai AIM, ia sememangnya tidak adil kerana saya mahu melihat karyawan seni dalam album saya diiktiraf," katanya dalam nada tenang.

Penyanyi ini ditemui seusai majlis sidang media pengumuman konsert solo eksklusifnya, Satu di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Menyambung bicara, Siti begitu optimis dengan dirinya yang sentiasa bersaing secara sihat dengan semua anak seni di negara ini, tanpa mengira status mereka yang muda mahupun senior.

Jelasnya, setiap kali dia melahirkan album adalah satu tanggungjawabnya untuk industri selain daripada minat dan cintanya terhadap bidang seni yang tidak pernah pudar.

"Pada saya, semua pihak harus berani menyahut cabaran ini secara positif dan saya sendiri tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menang dalam setiap pertandingan.

"Apa yang penting bagi saya adalah untuk memberikan yang terbaik sehingga saya puas hati untuk saya kongsi dengan peminat serta pencinta muzik.

"Saya sentiasa percaya dan yakin ada bakat yang jauh lebih baik daripada saya dan percayalah, kalau semuanya bekerja keras, pasti akan ada ganjaran untuk mereka," tuturnya lembut.

produk sendiri

Mengenali juara Bintang HMI 1995 ini, dia tidak pernah betah untuk duduk diam dan dalam diamnya, itu pasti ada sahaja perancangan dan projek yang dirancangkannya.

Atas permintaan ramai dan respons daripada penyertaannya dalam teater muzikal Sirah Junjungan: Tahajud Cinta baru-baru ini, Siti bakal tampil dengan album kerohanian pertamanya yang dijangka akan dipasarkan pada bulan Ramadan nanti.

Setakat ini, Siti sudah mengesahkan akan merakamkan tiga buah lagu daripada teater berkenaan yang menjadi pilihannya sendiri.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Nirmala dan Di Taman Teman ini juga akan menyelitkan lagu Ketika Cinta dan Batas Asaku yang menjadi lagu tema filem Indonesia, Perempuan Berkalong Sorban.

"Dalam pada itu, saya dan pihak Siti Nurhaliza Productions (SNP) masih lagi mencari lagu-lagu baru serta penerbit untuk mengemudi album yang bakal memuatkan lapan buah lagu ini," kata Siti yang manis mengenakan busana kuning cair rekaan Rizman Ruzaini pada tentang itu.

Selain itu juga, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini turut teruja memberitahu dia akan mengorak setapak langkah lagi dalam bidang perniagaan apabila bakal muncul dengan rangkaian produk kecantikan dan kosmetik yang menggunakan namanya.

Kata isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini, setakat ini hasil penyelidikan yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik tempatan sudah pun mencapai 60 peratus.

Namun begitu, jelas Siti, rangkaian produknya itu nanti bukan dari inisiatifnya sendiri sahaja, sebaliknya ia merupakan kerjasama dengan sebuah syarikat yang masih belum boleh diumumkan.

"Saya memiliki obsesi terhadap kecantikan dan kosmetik sejak azali lagi. Malah, sehingga kini pun jika berkunjung ke pusat membeli-belah, kaunter itu yang akan saya tuju dulu.

"Sudah pasti, sebelum dipasarkan kelak, saya akan menguji kesemua produk ini terlebih dahulu dan berkemungkinan besar, rangkaian ini adalah untuk kegunaan uniseks.

"Apa pun, jangan risau kerana harganya nanti adalah berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat," ujarnya yang optimis dengan persaingan yang bakal dihadapi nanti.

Menyingkap sejarah, sebelum ini Siti pernah menceburi bidang perniagaan apabila mengeluarkan jenama teh di bawah syarikatnya, Siti Nurhaliza Marketing Sdn. Bhd., yang menggunakan nama CTea pada tahun 2004.

Perihal konsert Satu

Dari raut wajah dan tutur katanya sahaja, sudah cukup membuktikan anak pasangan Allahyarham Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik ini begitu teruja dan berdebar menantikan konsert solonya. Konsert itu bakal membuka tirainya selama tiga malam berturut-turut bermula 26 Jun ini.

Apatah lagi, setelah sekian lama dia sendiri tidak beraksi dalam konsert solo seperti mana yang pernah dilakukannya sewaktu zaman anak dara di Bukit Jalil serta konsert percuma di seluruh negara.

Sebelum ini di Panggung Sari, IB dia pernah mengadakan persembahan berupa konsert tribute kepada Allahyarham Sudirman (2002) serta Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma (2007).

Menjanjikan sebuah persembahan yang ekstravaganza dan hebat, Siti memberitahu konsert anjuran Yayasan Nurjiwa dan diselia serta diterbitkan oleh SNP itu adalah seumpamanya di negara ini.

Bukan sebuah konsert biasa kata Siti, kerana muzik, efek, tarian, visual, grafik, koreografi dan teknikal semuanya digabungkan menjadi satu lalu membentuk sebuah persembahan yang cukup istimewa menerusi lagu-lagu yang disampaikan.

Walaupun konsert Satu diinspirasikan daripada konsert A New Day: Live In Las Vegas yang pernah dijayakan oleh penghibur terkenal dunia, Celine Dion, kata Siti, apa yang dilakukannya sepanjang tiga malam itu adalah bergantung kepada bajet dan kreativiti mereka yang terlibat.

Untuk konsert Satu, koreografer terkenal Pat Ibrahim dilantik sebagai pengarah konsert, manakala Aubrey Suwito pula akan mengemudi konsert berkenaan apabila menjadi pengarah muzik.

"Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, semuanya dilakukan mengikut kemampuan yang ada dan saya harus akur dengan keadaan ekonomi semasa yang membuatkan saya mengukur baju di badan sendiri.

"Saya juga bertuah kerana dapat bekerja dengan Pat dan Aubrey untuk konsert ini kerana saya yakin dengan kemampuan dan kreativiti mereka. Apatah lagi, Pat sendiri sudah lama ingin mengarahkan konsert seperti ini.

"Apa yang saya harapkan semua pihak dapat hadir menyaksikan konsert ini. Bukan sahaja untuk berhibur tetapi juga untuk amal kerana sebahagian daripada penjualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa untuk diagihkan kepada badan kebajikan yang terpilih," jelasnya yang akan menyampaikan lebih daripada 30 buah lagu solonya secara penuh dan medley dengan susunan muzik yang baru.

Menariknya juga tentang persembahan ini apabila ia juga akan menerapkan elemen 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, apa yang membuatkan hati si jelita ini berbunga riang adalah apabila ramai pihak yang sudi bekerjasama untuk menjayakan konsert berkenaan dari segi penajaan.

Antaranya adalah Maxis, Jakel dan juga tiga pereka fesyen iaitu Michael Ong, Amir Luqman dan Rizman Ruzaini yang akan menaja busana Siti sepanjang persembahan berlangsung.

Tiket-tiket berharga RM80 hingga RM300 untuk menyaksikan konsert Satu ini sudah pun mula dijual bermula 19 Mei lalu.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi talian 03-4149 8600 atau layari laman sesawang www.ticket2u.biz.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.