saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/05/2009

Mak Keydah terkilan dengan TV


RAJA Hamidah bersama anak keenam, Mohd. Nor dan isterinya, Kamisah Ibrahim yang tinggal bersamanya di Kampung Klang Gate, Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.


BILA sebut nama Raja Hamidah, tidak boleh tidak kita pasti akan teringat dengan pengarah yang tidak asing lagi, Allahyarham Salleh Ghani.

Mana mungkin kita melupakan mereka, kerana antara Raja Hamidah dan Allahyarham Salleh Ghani, mereka bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan.

Sebabnya antara mereka memang mempunyai ikatan yang istimewa, iaitu sepasang suami isteri yang dikenali ramai ketika zaman kegemilangan filem Melayu pada tahun 1960an.

Walaupun di zaman kegemilangan filem-filem Melayu, Allahyarham Salleh Ghani banyak menjadi penolong pengarah filem, tetapi allahyarham tidak mengundang isterinya sebagai pelakon.

"Memang arwah tidak pernah undang makcik berlakon kalau dia jadi penolong pengarah. Pernah pengarah Datuk L.Krishnan mengesyorkan pada arwah mengambil makcik sebagai pelakon tambahan untuk filem Pak Pandir Moden yang sedang diarahkannya.

"Apabila mendengar syor Datuk L.Krishnan, barulah arwah ambil makcik berlakon, Makcik memang berterima kasih kepada Datuk," cerita Raja Hamidah Raja Saad, 77, atau lebih mesra dipanggil Mak Keydah di kalangan artis dan jiran sekampung, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Klang Gate, Selangor, baru-baru ini.

Bagi generasi hari ini, nama Raja Hamidah mungkin asing tetapi bagi mereka yang membesar dengan menonton filem-filem Cathay Keris dan Shaw Brothers pada tahun 1960an, wajah gadis kampung ini memang tidak asing lagi.

Raja Hamidah yang bekerja di Shaw Brothers dengan gaji bulanan RM150, mula menyemai bakat lakonannya dalam filem-filem terbitan Shaw Brother arahan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Musang Berjanggut, Orang Minyak dan Hang Tuah.

"Dalam Musang Berjanggut, makcik jadi anak gadis Udo Omar, salah seorang pembesar negeri yang mahu menjodohkan anak mereka dengan P. Ramlee.

"Makcik tak ingat nama Udo Omar dalam filem itu, tetapi banyak juga filem P. Ramlee mengambil makcik sebagai pelakon tambahan," kata Raja Keydah sambil tersenyum mengimbau nostalgia zaman muda-muda.

Sementara dalam filem Hang Tuah, Raja Keydah melakonkan watak Permaisuri Raden Mas Ayu. Walaupun dua babak tetapi dia tetap bangga kerana perjalanannya ke sana ditemani seseorang.

"Masa tu hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya makcik. Sebab orang yang hantar makcik ke lokasi ialah seorang jejaka yang berjaya mencuri hati makcik.

"Masa itu makcik memang sedang bercinta dan alhamdulillah perkahwinan makcik dan pakcik (arwah Salleh Ghani) amat bahagia dan kami dikurniakan 12 orang anak yang sihat dan berjaya dalam hidup," kata Mak Keydah.

Walaupun menyemai bakat lakonan dalam filem-filem terbitan Shaw Brothers dan Cathay Keris, sebenarnya Mak Keydah, ibu kepada 12 orang anak - Normala, 53, Zulkifli, 52, Norasyikin, 51, Lukmarul Hakim, 50, Norshidah, 49, Mohd. Nor, 48, Adam, 44, Mariam, 44, Mohd. Effendim, 40, Ahmad, 39, Abdullah, 37, dan Taib, 36, mula menceburi bidang lakonan seawal usia 18 tahun.

Jika seniwati-seniwati popular hari ini mula mencipta nama di Jalan Ampas dengan berlakon filem-filem terbitan Shaw Brothers, tetapi Raja Hamidah mula melangkah ke dunia filem dengan filem terbitan Hollywood.

Semua yang terjadi secara kebetulan. Ketika uji bakat diadakan Raja Hamidah membantu kakaknya Allahyarham Raja Zainab di pejabat UMNO Jalan Laut, Johor.

"Sebenarnya makcik sendiri tidak menjangka akan dipilih memegang watak utama. Sebabnya semasa menjalani uji bakat, gadis-gadis lain mekap cantik dan menawan tapi...makcik tak ada secalit mekap di muka.

"Tetapi kalau sudah rezeki tiada siapa yang boleh halang. Sebabnya, pengarah filem itu, Tom, memang mencari gadis Melayu yang mempunyai kecantikan asli.

"Makcik sendiri terkejut apabila diberitahu oleh penolong pengarah yang juga jurubahasa filem berkenaan, Syed Alwi Al-Hadi yang makcik dipilih untuk memegang watak Mariam," cerita Mak Keydah.

Kampung Sentosa yang menjalani penggambaran di Serangoon Kecil, Singapura, adalah filem pertama lakonan Mak Keydah.

Filem yang memaparkan kisah bintang tiga terbitan sebuah syarikat dari Hollywood menampilkan Raja Hamidah sebagai heroin sementara heronya adalah Nor Lambak.

Filem berbahasa Melayu itu bukan sahaja menjadi kebanggaan Raja Hamidah. malah filem bekenaan juga menjadi satu memori indah yang sukar dipadam daripada hidup beliau.

"Walaupun Kampung Sentosa hanya ditayangkan sekali sahaja, tapi makcik tetap bangga kerana dipilih berlakon dan dapat menjiwai watak Mariam dengan baik.

"Selepas itu, makcik mencuba nasib menceburi bidang lakonan dan nyanyian kerana sudah menjadi minat sejak kecil," kata Mak Keydah yang boleh memetik gitar dan pernah menyanyi bersama Allahyarham Wak Jasni (suami seniwati Neng Yatimah) serta menganggotai kumpulan Seni Wanita.

Menurut Mak Keydah, walaupun di zaman mudanya beliau jarang diundang berlakon oleh Allahyarham suaminya, namun masa mengubah segalanya, apalagi setelah berpindah ke Kuala Lumpur.

"Setelah lama berkahwin, arwah ada juga mengambil mak cik berlakon filem arahannya ketika di Singapura seperti Jalak Lenteng, Ibu Ayam dan Anak Manja.

"Setelah berpindah ke Kuala Lumpur, arwah mengambil makcik sebagai pelakon pembantu dan berwatak antaranya dalam filem Ribut Barat dan Pertentangan," cerita Mak Keydah lagi.

Kini kata Mak Keydah dalam menjalani hidup di usia tuanya beliau begitu bahagia dikeliling 12 anak dan 20 orang cucu.

"Memang ada yang mengundang makcik berlakon tapi...makcik dah tak ada nak fikir itu semua apalagi kerana anak-anak dan cucu semuanya berjaya. Cuma kadang-kadang makcik rasa terkilan kerana filem-filem arahan arwah bagaikan tidak mendapat tempat di stesen televisyen hari ini," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.