saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/05/2009

Chaq nafi klon Ajai


PARA peserta Mentor 3 (dari kiri) Sani, Hyrul, Jacyln Victor, Ajai, Chaq, Lah dan Fira selepas konsert kedua kumpulan A pada pertandingan nyanyian itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
- Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


PROGRAM realiti televisyen (TV), Mentor merupakan antara pertandingan nyanyian tempatan yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dengan gaya suara dan persembahan tersendiri.

Menerusi Mentor musim ketiga (Mentor 3) rancangan terbitan TV3 itu mempertaruhkan para peserta atau protege yang dibantu oleh mentor masing-masing bagi mencapai hasrat tersebut.

Sayangnya, ada di kalangan peserta Mentor musim ketiga (Mentor 3) seperti Chaq yang dikatakan terikut-ikut dengan lengguk suara dan gaya nyanyian mentornya, Ajai dalam pertandingan yang ditonton lebih 2 juta penonton.

Chaq atau nama sebenarnya Camellus De'lelli Anam, 20, bagaimanapun menafikan perkara itu kerana kata anak kelahiran Penampang, Sabah ini, antara dia dan Ajai, mereka mempunyai nada suara yang berbeza.

"Saya rasa suara saya dan Ajai tidak sama. Tonasi suara saya dan Ajai berbeza. Apatah lagi, sebelum ini saya lebih banyak menyanyikan lagu-lagu indie, saya rasa Ajai tidak (nyanyi lagu-lagu indie)," katanya pada sidang media Mentor 3 selepas konsert itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ajai yang berada di sidang media selepas konsert kedua para peserta kumpulan A Mentor 3 turut tidak bersetuju dengan komen pengkritik malam itu, Aidit Alfian yang mengatakan Chaq merupakan klon 'Ajai yang kedua'.

Kata komposer kelahiran Johor ini, gaya nyanyian seperti Chaq bukan suatu perkara baru, tetapi ia merupakan trend buat para peserta yang banyak mengikuti sesi ujibakat pertandingan nyanyian sejak kebelakangan ini.

"Mungkin itu trend menyanyi sekarang ini. Saya dapati gaya nyanyian seperti itu juga ada dalam sesi-sesi ujibakat pertandingan nyanyian. Kumpulan-kumpulan indie pun banyak yang nyanyi macam itu yang lebih kepada nada suara sebegitu.

"Tetapi Chaq memerlukan extra range (julat tambahan) dan kemudian barulah nada suaranya akan keluar. Chaq sudah ada julat dan direksinya. Saya hanya bantu dan nada julat tambahan itu datangnya daripada dia sendiri," komen Ajai.

Pada konsert kedua kumpulan A Mentor 3 itu, Chaq dan Ajai menerima undian tertinggi daripada juri awam sebanyak 18 peratus dan undian tertinggi keseluruhan iaitu 138.3 peratus mengatasi kumpulan duo Evo dan Jaclyn Victor (109.4 peratus) serta Fira dan Lah V.E. (90.3 peratus).

Prestasi memberangsangkan Chaq dan Ajai itu juga dapat dilihat apabila pada konsert 1 Mentor 3 minggu lalu, pasangan itu menerima markah tertinggi sebanyak 67.9 peratus menewaskan Evo (56.4 peratus) dan Fira (39.7 peratus).

Format pemarkahan Mentor 3 diberikan melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas dan 20 peratus lagi juri awam yang terdiri daripada para pelajar muzik, wartawan serta karyawan dalam bidang muzik.

Bernazar botak kepala

Dalam pada itu, Fira dan mentornya, Lah walaupun menerima undian markah terendah tetap menaruh harapan tinggi untuk membawa cabaran bakat mereka ke final kelak.

Justeru, tidak hairanlah anggota kumpulan V.E. itu bernazar untuk membotakkan kepalanya jika protegenya berjaya melayakkan diri ke final pertandingan nyanyian tersebut.

"Kalau kami berjaya sampai ke final Mentor 3, saya bernazar akan membotakkan kepala saya. Tetapi kalau Fira muncul juara Mentor 3 nanti, mungkin dialah yang patut membotakkan kepalanya," kata Lah sambil ketawa.

Konsert minggu kedua dimeriahkan dengan kritikan-kritikan membina daripada dua juri pada malam itu iaitu komposer Aidit Alfian dan penyanyi Nora serta persembahan bertenaga setiap peserta.

Para peserta bukan setakat menyanyi tetapi mereka turut diiringi dengan persembahan sketsa daripada para peserta kumpulan B Mentor 3 iaitu Black, Thye dan Keena serta artis-artis lain termasuklah pelakon Liyana Jasmay dan Keifli (Akademi Fantasia 3).

Contohnya, persembahan Chaq diiringi dengan sketsa lakonan Keifli dan Liyana Jasmay yang menarik sehingga mencetuskan sedikit kejutan apabila peserta Akademi Fantasia 3 itu tersasul kerana menyebut 'Afundi Chaq (Akademi Fantasia Undi)' sebagai sokongan kepada protege Ajai itu.

Mengulas tentang Keifli yang tersasul menyebut rancangan terbitan Astro dalam rancangan anjuran TV3 itu, Penerbit dan Pengarah Mentor 3, Muhamad Sufian Isa berkata:

"Semasa rehearsal (latihan) tidak keluar perkataan itu (Afundi) tetapi semasa live (siaran langsung) ia di luar kawalan kami. Ia memang memberi kesan tetapi kita faham ia bukan disengajakan oleh Keifli.

"Lain kali kita akan lebih berhati-hati untuk keluarkan apa juga perkataan yang ada kaitan dengan sensitiviti stesen TV lain. Kami tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Keifli. Cuma kami berharap insiden seperti itu tidak akan berulang lagi," komennya.

Selain Chaq dan Ajai, Fira dan Lah, peserta kumpulan A yang bertanding pada konsert kedua Mentor 3 itu ialah kumpulan duo Evo bersama mentor mereka, Jaclyn Victor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.