saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/05/2009

Anjakan politik di China

Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak Hussein telah memulakan asas hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China lebih dari 35 tahun yang lampau dan diraikan setiap tahun pada 31 Mei.

Kini hubungan Sino-Malaysia telah berkembang begitu pesat terutama sekali dalam bidang ekonomi memandangkan China merupakan rakan dagang keempat terbesar di mana pada tahun 2008 sahaja jumlah dagangan di antara dua negara ini mencecah sehingga RM147 bilion.

Apa yang telah dilakukan oleh Tun Razak hampir empat dekad lepas merupakan satu langkah yang bijak kerana China pada hari ini merupakan kuasa besar ekonomi dunia.

Pada 2 Jun akan datang, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengulangi sekali lagi apa yang telah dilakukan oleh bapa beliau dengan membuat lawatan rasmi ke China.

Lawatan Najib dikatakan agak istimewa kerana ia merupakan lawatan pertama di luar ASEAN dan pemilihan China merupakan isyarat betapa pentingnya hubungan Sino-Malaysia.

Seperti yang ditekankan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman semasa sidang akhbar lawatan tersebut, Malaysia mengharapkan lebih banyak pelaburan dari China kerana negara tersebut merupakan harapan pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara.

Sebenarnya banyak yang telah dimanfaat dan dipelajari sepanjang 35 tahun hubungan Sino-Malaysia. Bidang ekonomi, ketenteraan, geopolitik dan teknologi merupakan antara keunikan China yang tidak keterlaluan dikatakan dapat menandingi kehebatan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Pembangunan program angkasa lepas China umpamanya begitu menakjubkan sekali sehingga setaraf dengan AS dan Rusia yang telah memulakan program tersebut jauh lebih awal.

Tetapi satu perkara yang tidak menjadi ikutan negara lain adalah mengenai perjalanan politik dalaman China.

Politik dalaman China dianggap sebagai sinonim dengan pemerintahan separa diktator dan bagi negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi seboleh-bolehnya mahu menjauhkan diri dan tidak mahu dikaitkan dengan politik ala China.

Semenjak peristiwa berdarah di Dataran Tiananmen pada tahun 1989, proses demokrasi China dianggap sebagai pantang larang oleh masyarakat antarabangsa.

Kenyataan pelakon terkenal Hong Kong, Jackie Chan beberapa minggu lepas yang antara lain memberi maksud masyarakat China perlu dikawal - menyerlahkan lagi keadaan sebenar di China. Tambah beliau lagi jika ini tidak dilakukan mereka akan bertindak sesuka hati tanpa batasan.

Apa yang cuba dirungkaikan oleh Jackie Chan itu sebenarnya menggambarkan keadaan pemerintahan China yang agak ketat yang mana sikap toleransi terhadap penentangan adalah minimum sekali. Lebih spesifik lagi, Parti Komunis China (CPC) mengamalkan pemerintahan separa diktator yang mana kawalan ketat dikenakan terhadap rakyat China.

Tetapi apa yang menarik mengenai CPC ialah bukan sahaja kerana ia adalah parti politik terbesar di dunia dengan sejumlah 74 juta ahli, tetapi ia masih mampu berubah mengikut kehendak semasa, terutama di bawah pimpinan Hu Jintao.

Walaupun CPC adalah parti politik yang di kelilingi oleh pemimpin yang dianggap tidak mempunyai sikap tolak ansur terhadap pihak penentang, tetapi mereka mahu berubah mengikut kehendak rakyat mereka.

CPC yang selama ini sebuah parti yang tidak sinonim dengan demokrasi dan kebanyakan ahlinya terdiri daripada golongan tua dan lelaki, sudah mula dapat menarik minat rakyat yang lebih muda, sofistikated, berfikiran terbuka dan golongan wanita.

Di bawah era pimpinan Hu Jintao, CPC telah cuba berubah daripada sebuah parti yang berteraskan strategi yang mementingkan jumlah keahlian yang besar kepada sebuah organisasi yang lebih bersifat teknokrat.

CPC pada satu ketika dulu tidak begitu mementingkan taraf kelulusan dan kepakaran ahli asalkan mereka dapat menarik dalam jumlah yang ramai.

Tetapi CPC pada hari ini lebih mengutamakan ahli yang lebih muda, kelulusan terbaik dan mempunyai kebolehan memimpin.

Transformasi yang diolah oleh CPC ini mampu menarik sehingga 50 peratus golongan muda yang baru tamat pengajian universiti.

Tetapi apa yang paling menarik mengenai permohonan golongan ini ialah lima peratus sahaja yang diterima masuk kerana parti tersebut hanya mahu yang terbaik menjadi ahli.

Berbeza dengan satu dekad yang lepas, golongan muda langsung tidak berminat untuk menyertai CPC.

Tidak terlintas juga satu dekad yang lepas CPC akan memberi keutamaan terhadap pendapat dan perasaan rakyat China tetapi pada hari ini tinjauan pendapat sering dilaksanakan untuk menyelami perasaan masyarakat mereka.

Walaupun masih terdapat kawalan terhadap saluran maklumat melalui internet, tetapi jelas bahawa ruang untuk mencabar status quo telah dilonggarkan.

Bagaimana CPC menangani kes pencemaran susu bayi pada tahun lepas, jelas mempamerkan perubahan sikap CPC yang pada hari ini lebih mementingkan perasaan dan pendapat rakyat China secara keseluruhannya.

Satu perkara yang menarik mengenai anjakan paradigma CPC ialah pemimpin mereka tidak lagi menggunakan slogan komunis untuk mendapat sokongan rakyat.

Mungkin slogan tersebut masih laku dua dekad yang lepas, tetapi semenjak peristiwa berdarah Dataran Tiananmen, CPC telah memulakan langkah untuk memberi gambaran bahawa ahli parti mereka adalah daripada golongan intelek dan teknokrat.

Jika CPC sebagai sebuah parti politik yang sinonim dengan cengkaman fahaman Marxis selama lebih daripada sembilan dekad mampu berubah kepada sebuah organisasi yang intelek dan teknokrat sehingga menarik minat golongan muda yang lebih pintar dan bersikap terbuka, sudah pasti parti politik lain yang jauh lebih muda dapat melakukan perubahan dengan lebih mudah.

Apa yang penting adalah sesebuah parti politik itu mesti mengutamakan perasaan dan kehendak rakyat dan tidak hanya memberi keutamaan kepada kehendak ahli parti itu sahaja.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.