saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 30/05/2009

Ceria hadapi fasa terakhir


BERMAIN catur, bersenam dan berinteraksi antara satu sama lain adalah antara aktiviti ahli Kelab Warga Tua DBKL di Cheras, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 29 Mei - Dalam melalui kehidupan yang diibaratkan sebagai fasa terakhir, ramai warga emas menyifatkannya sebagai detik permulaan yang sukar dan memerlukan ketabahan.

Sememangnya pada usia itu, apa yang diharapkan ialah terus menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, namun bukan semua bernasib baik dapat mengecapinya.

Sama ada warga tua yang menetap di kampung mahupun tinggal di bandar-bandar besar, setiap mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah.

Masalah paling ketara ialah kecelaruan mental, melarat atau menghidap penyakit.

Bagi warga emas yang tinggal di kampung, aktiviti bercucuk tanam, selain beribadah di masjid adalah antara cara bagi menutup kesunyian dan rasa rindu terhadap anak-anak yang kebanyakan tinggal dan bekerja di bandar.

Berbeza pula dengan mereka di bandar-bandar besar, cabaran yang dihadapi mungkin lebih hebat iaitu dari soal kewangan, menyesuaikan diri dengan komuniti, tidak terkecuali dilema antara rela dan paksa menjaga cucu.

Ketika ini dianggarkan ada kira-kira tujuh peratus warga emas daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Berdasarkan jangka hayat di negara ini yang semakin meningkat, jumlah itu dijangka semakin tinggi dan boleh menimbulkan masalah sekiranya dilema penjagaan warga emas tidak ditangani sebaik mungkin.

Persoalannya kini, adakah Malaysia bersedia menjadi negara yang sebahagian besar populasinya adalah orang tua menjelang 2035.

Justeru, usaha kerajaan mewujudkan Dasar Warga Tua Negara yang mendukung prinsip-prinsip kehormatan dan martabat diri, keupayaan berdikari, penyertaan serta penjagaan dan perlindungan bagi golongan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif dan amat dialu-alukan.

Dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak terkecuali menjadikan golongan itu antara sasaran penting.

Dengan situasi kesibukan warga kota terutama anak-anak sehingga golongan tua berasa kesunyian dan kurang mendapat perhatian, usaha menubuhkan Kelab Warga Emas (Kewe) untuk kemudahan golongan itu yang tinggal di ibu negara dianggap revelan.

Kelab Warga Emas Jalan Siakap, Cheras yang dibuka pada tahun 2002 merupakan kelab terawal di bawah seliaan DBKL.

Ini diikuti dua kelab seumpamanya lagi iaitu Kelab Warga Emas Sri Perlis dan Kelab Warga Emas Bandar Tun Razak. Sehingga kini terdapat kira-kira 1,150 warga tua mendaftar sebagai ahli.

Difahamkan, DBKL sendiri mempunyai peruntukan bagi program pembangunan komuniti yang merangkumi kemudahan untuk warga tua, masyarakat dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial DBKL, Nor Reha Kassim berkata, selain menyalurkan pelbagai aspek perkhidmatan yang merangkumi aspek spiritual, mental dan fizikal kepada warga emas, ia juga menjadi tempat kepada golongan ini berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama rakan-rakan seusia.

Menurutnya, ahli kelab itu terdiri daripada mereka yang masih sihat, aktif dan ingin mengisi masa lapang dengan program yang berfaedah di samping masih berminat untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat.

Beliau berkata, DBKL turut menerima permohonan dari beberapa persatuan penduduk untuk membuka kelab seumpamanya di pusat-pusat komuniti yang sedia wujud di kawasan perumahan mereka.

"Sebelum bersetuju, DBKL akan melihat pelbagai aspek dan sekiranya bersesuaian, DBKL akan membantu dari aspek penyediaan dan kemudahan asas seperti kerusi meja dan bahan bacaan di samping memberi bantuan logistik, makanan dan pengangkutan untuk mereka melaksanakan program dan aktiviti.

"Bagaimanapun kelab ini akan diseliakan sepenuhnya oleh jawatankuasa warga emas di bawah persatuan penduduk berkenaan,'' jelasnya.

Setakat ini, terdapat empat buah kelab yang telah diwujudkan oleh persatuan penduduk iaitu Kelab Warga Emas Sri Petaling, Kelab Warga Emas Sri Labuan di Cheras, Kelab Warga Emas Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul dan Kelab Warga Emas Taman Melati, Wangsa Maju.

Beliau berkata, program yang diatur adalah khusus untuk membangunkan golongan itu dari aspek fizikal, mental dan spiritual agar dapat menyesuaikan diri dalam arus pembangunan Kuala Lumpur.

"Di kelab ini, penekanan diberikan dari segi peningkatan keceriaan dan kesihatan mental warga tua menerusi pengisian masa lapang dengan pelbagai kegiatan yang sihat, termasuk melawat ke beberapa tempat menarik,'' jelasnya lagi.

Aktiviti yang diatur, katanya, secara tidak langsung memberi peluang kepada warga emas menimba pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan mereka serta signifikan dengan pembangunan Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.