saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 06/06/2009

Kembalikan perkahwinan tradisi


PASANGAN pengantin menyaksikan persembahan silat pada Festival Adat Perkahwinan Melayu Melaka dan Serumpun 2009 di Muara Sungai Duyong, Melaka, baru-baru ini. - utusan / abdul razak latif


MELAKA 5 Jun - Corak kehidupan yang sentiasa sibuk mengejar masa sedikit sebanyak mempengaruhi budaya kehidupan masyarakat pada masa ini terutama dalam mengubah sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas.

Perubahan ini tidak terkecuali dalam adat perkahwinan tradisi masyarakat Melayu yang banyak memberi penekanan dalam beberapa adat seperti merisik, meminang, bertunang, bersanding dan upacara merenjis pengantin.

Akibat daripada angin perubahan moden hari ini, budaya asal orang Melayu ini semakin berbeza terutama dari aspek pakaian dan upacara majlis perkahwinan yang dianjurkan berlainan dengan adat lama yang dipraktikkan sebelum ini.

Hakikatnya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama hanya semata-mata generasi baru Melayu gemarkan lebih bersifat moden dan ringkas.

Keadaan itu mendatangkan kebimbangan kepada kumpulan pemimpin adat yang terdiri dari kalangan sidang kampung tradisi yang menganggap adat istiadat perkahwinan Melayu kian terhakis. Mereka berharap ia dapat dihidupkan kembali demi memastikan adat itu tidak lenyap begitu sahaja.

Menurut salah seorang ketua masyarakat, sidang Mohd. Sharif Huslili, 65, ketika ini perlu ada usaha yang berterusan untuk menyedarkan kembali masyarakat Melayu mengenai pentingnya adat istiadat Melayu tradisi agar ia dapat dibanggakan oleh generasi muda hari ini.

Katanya, budaya dan adat perkahwinan tradisi semakin terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda Melayu pada masa ini.

''Saya merasakan pada hari ini perlu ada banyak program yang menonjolkan keunikan adat perkahwinan Melayu agar generasi muda hari ini dapat melihat sendiri dan mengamati keistimewaannya.

''Perlu diingatkan, adat istiadat dan cara perkahwinan tradisional masyarakat Melayu sangat unik dan istimewa, oleh itu, kita agak terkilan jika ini semua dilupakan dan terhakis begitu sahaja satu hari nanti," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis Festival Adat Perkahwinan Melayu Melaka dan Serumpun di sini, baru-baru ini.

Selain itu, menurut sidang Mohd. Yunus Minin, 63, pelbagai adat perkahwinan Melayu yang masih dipraktikkan pada hari ini seperti merisik, bertunang dan bersanding namun tidak semua adat itu dipraktikkan kerana menganggap ianya tidak lagi penting pada zaman moden hari ini.

''Saya lihat ada sesetengah adat seperti makan beradap dan persembahan untuk pengantin juga semakin dilupakan kerana masyarakat Melayu khususnya generasi muda hari ini menganggap ianya tidak lagi penting," katanya.

Ini kerana, katanya, perkahwinan Melayu ala tradisi dianggap kolot dan tidak popular di kalangan generasi baru pada hari ini menyebabkan sebahagian daripada mereka lebih gemar memilih gaya perkahwinan moden yang kebanyakan mengandungi unsur Barat.

Menurut sidang Mansor Tawil, 62, masyarakat Melayu sendiri perlu mengangkat martabat dan memperjuangkan adat dan budaya perkahwinan tradisi sekiranya mereka tidak mahu keunikan dan keistimewaan itu terhakis pada masa depan.

''Sebagai kumpulan masyarakat terdahulu, kita tidak mahu, arus kemajuan yang melanda pada hari ini menyebabkan adat lama dilupai," katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang berterusan perlu diambil untuk memperkenalkan kembali adat dan budaya perkahwinan tradisi agar ianya dikenali dan diketahui oleh generasi baru terutama tentang tujuan serta asal usul perkahwinan tradisi Melayu itu diperkenalkan.

Sementara itu, sidang Mazlan Hassan, 62, berkata, adalah wajar usaha mempertahankan amalan perkahwinan tradisi terus menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu seterusnya memastikan ia diperturunkan daripada generasi ke generasi.

''Walaupun pada hakikatnya banyak kalangan generasi muda memilih perkahwinan cara moden, namun setidak-tidaknya usaha ini mampu menarik minat mereka untuk mengekalkan adat lama.

''Di sinilah, ibu bapa dan pemimpin Melayu memainkan peranan untuk memastikan amalan ini terus dikekalkan," katanya.

Menurutnya, jika generasi baru Melayu itu memahami asal usul adat istiadat dan upacara perkahwinan tradisi, mereka pasti tidak ketinggalan untuk mempraktikkan istiadat dan adat Melayu dengan mudah tanpa beranggapan ia sebagai amalan karut dan sia-sia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.