saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/06/2009

Selamat berjuang ulama, profesional, aktivis

TAHNIAH kepada kepimpinan baru Pas yang terpilih terutama kepada sahabat-sahabat lama seperti Salahudin Ayub dan Mahfuz Omar. Semoga perjuangan mereka diberkati Allah. Diharapkan juga barisan kepimpinan ini tidak tergolong dalam orang yang ghairah menjadi ketua dan cinta kepada jawatan dalam jemaah tetapi menjadi orang yang bertanggungjawab yang bersedia menerima dan memikul tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melihat dan memerhati setiap perbuatan yang dilakukan dan perkataan yang diucapkan.

Maka jauhilah diri daripada sifat-sifat angkuh dan membesarkan diri. Jauhilah diri daripada keinginan memaksa pandangan dan pendapat sendiri kepada orang lain. Kita bekerja di dalam jemaah, setiap orang boleh ‘diambil dan ditolak’ pendapat mereka kecuali Rasullullah SAW.

Apa yang diharapkan juga semoga pemilihan yang baru berlalu tidak menimbulkan perpecahan. Dalam soal pertandingan, perpecahan dan kepimpinan, penulis teringat kata-kata Allahyarham Yusof Rawa semasa menjadi Yang Dipertua Pas.

Dalam satu ucapan pada muktamar parti itu, Allahyarham menegaskan: ‘‘Untuk mengelakkan perpecahan sesama kita, kita hendaklah memastikan bahawa orang yang hendak diberikan tugas dan tanggungjawab jemaah hendaklah daripada mereka yang yakin dan berpegang dengan fikrah dan manhaj Pas.

‘‘Kita tidak dapat membenarkan anggota kita mempunyai berbagai-bagai pendekatan dan manhaj kerana ini akan membawa kepada perbezaan fikrah dan pendekatan yang membawa perselisihan. Ahli-ahli Pas yang menjadi anggota jemaah Islam yang lain sekiranya mereka hendak memegang apa-apa peranan di dalam Pas tidaklah dibenarkan membawa trend/aliran jemaah lain, yang mereka menjadi ahlinya ke dalam Pas. Demikian juga mereka tidak boleh membawa trend pemikiran dan pendirian yang bertentangan dengan pendirian dan pandangan kita yang telah kita putuskan secara kolektif.”

Keputusan pemilihan juga menyaksikan gabungan ulama, profesional dan aktivis masyarakat. Banyak yang melihat gabungan ini sesuatu yang mantap dan amat baik bagi meneruskan kelangsungan Pas. Apa yang pasti, Pas tidak dimonopoli oleh golongan ulama semata-mata. Namun peranan ulama tidak boleh disingkirkan begitu sahaja.

Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Maka seluruh tenaga parti mestilah turut serta secara aktif bagi membantu para ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Sebagai ulama, mereka perlu memainkan peranan lebih besar untuk memastikan hala tuju Pas tidak terkeluar daripada landasan yang ditetapkan sejak penubuhannya.

Sekalipun menjadi ulama Pas tetapi tindak-tanduk mereka tidak seharusnya didorong oleh kepentingan politik semata-mata tetapi untuk kepentingan umat sejagat.

Maka mengetahui hukum-hukum Islam sahaja tidak memadai tanpa mengetahui cara pemakaian dan pelaksanaan hukum-hukum tersebut.

Diharapkan juga Pas akan terus menggalakkan alim ulama di dalam parti itu menulis lebih banyak buku Islam dan mengeluarkan jurnal yang menjadi medan perbincangan yang serius di dalam berbagai-bagai perkara untuk mewujudkan suasana dan tradisi keilmuan di kalangan ahli parti serta masyarakat seluruhnya. Tetapi jangan tertumpu kepada isu politik semata-mata. Harus diingat ilmu ulama yang jika tidak diperturunkan lambat laun akan terhakis.

Malahan dalam sebuah hadis riwayat Muslim memperingatkan tentang kehakisan ulama ini : Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekali gus daripada (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain’’.

Memang alim ulama boleh dilahirkan semula seperti kata pepatah Melayu ‘patah tumbuh hilang berganti’. Tetapi dalam konteks ulama ini, yang patah sukar untuk tumbuh semula dan yang hilang sukar diganti.

Kembali kepada Pas, dengan adanya kepimpinan ulama, ia sekurang-kurangnya dapat memastikan parti itu tidak terkeluar daripada landasan perjuangan. Penulis ingin sekali lagi menyelak kembali ucapan dasar Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor pada tahun 1993. Ahli-ahli parti perlu diperingatkan dengan ketegasan Allahyarham bahawa dasar dan pegangan parti itu tidak pernah berubah.

‘‘Kita bergerak dan bekerjaya adalah untuk kedaulatan Islam. Kita terus menjadikan Islam sebagai landasan pergerakan kita dan kita juga menjadikan Islam sebagai matlamat gerak kerja kita. Kita tidak pernah berubah di dalam mendukung perjuangan ini. Kita tidak bercadang untuk menjejak langkah orang lain yang sentiasa berubah dasar perjuangan mereka.’’

Allahyarham ketika itu mengingatkan tentang perjuangan pihak tertentu yang lebih mengutamakan kepentingan individu mahupun kepentingan kelompok. Bagi golongan ini apa yang penting bagi mereka ialah kemenangan dan keuntungan segera. Soal dasar dan prinsip tidak merupakan perkara pokok yang perlu dipertahankan.

Bercakap soal perpaduan, ahli-ahli Pas tidak perlu gusar. Seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, bahawa Pas tidak akan menyertai BN atau UMNO dalam soal perpaduan ini. Maka ahli-ahli parti itu tidak perlu gelisah apabila bercakap soal perpaduan. Malahan isu perpaduan ini sering disentuh oleh pemimpin terdahulu. Contohnya semasa era kepimpinan Yusof Rawa dan Fadzil Noor. Dalam ucapan dasar Allahyarham Yusof Rawa pada April 1987 di Markaz Tarbiyah Pas Pusat, Allahyarham antara lain menyebut persetujuan mengadakan muzakarah dengan UMNO adalah hasil pandangan jauh di dalam pergerakan politik Pas.

Dalam ucapan dasar bertajuk Ke arah Tajdid Hadhari, Allahyarham menegaskan: ‘‘Kita telah pun menentukan landasan yang jelas untuk melaksanakan rancangan muzakarah dengan UMNO itu dan saudara-saudara tidak perlu bimbang dengan keupayaan kita untuk mengendalikan urusan muzakarah itu demi kebaikan masyarakat keseluruhannya. Kita tidak berhajat untuk mendapat apa-apa keuntungan daripada muzakarah tersebut. Keuntungan yang kita harapkan daripadanya ialah peluang yang diperoleh yang membolehkan kita memberikan sumbangan kepada masyarakat di negara ini. Kita cukup sedar tentang ancaman dan keruntuhan yang sedang dihadapi oleh masyarakat di negara ini dan kita suka untuk menyumbangkan tenaga kita bagi menyelamatkannya. Untuk menyelesaikan masalah perpecahan ummah ini, adalah penting bagi kita supaya mengambil pendirian yang mendorong ke arah perpaduan dan pengukuhan ummah.’’

Maka, apabila bercakap soal perpaduan, ahli-ahli parti tidak perlu gusar atau gundah gulana. Menyelak sejarah yang lalu, tidak banyak yang dapat dilakukan tetapi sekurang-kurangnya, Pas boleh membantu dalam mengembalikan perpaduan ummah. Harus diingat musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha untuk merosakkan umat Islam. Mereka akan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa untuk melihat umat Islam musnah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.