saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/06/2009

Eratkan hubungan dengan Parti Konservatif

BRITAIN perlu mengadakan pilihan raya umum sebelum bulan Jun 2010. Hampir semua pihak merasakan bahawa kerajaan Parti Buruh pimpinan Gordon Brown akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tanda-tanda awal menunjukkan parti itu akan tumbang. Minggu lepas menyaksikan parti itu kalah teruk dalam pilihan raya tempatan dan pilihan raya Parlimen Eropah.

Terdapat pelbagai faktor yang menggugat kedudukan Parti Buruh. Salah satu masalah besar yang sedang dihadapi ialah krisis kepercayaan seperti yang saya nyatakan dalam kolum saya yang lalu.

Krisis ekonomi yang melanda dunia juga banyak memberi impak negatif kepada Parti Buruh. Manakala sikap Gordon Brown yang dilihat sebagai sering teragak-agak dalam membuat keputusan menyebabkan rakyat mula mempersoalkan kredibiliti kerajaan.

Pegawai-pegawai kerajaan Britain taat kepada kerajaan pilihan rakyat, tanpa mengira parti politik. Sebagai pegawai dalam sebuah negara demokrasi yang matang, mereka tidak bersikap partisan.

Malahan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan Britain telah pun mula bermesyuarat dengan beberapa pemimpin Parti Konservatif, parti pembangkang yang dijangka akan membentuk kerajaan selepas ini.

Menurut tradisi, parti pembangkang akan mula bertemu dengan pegawai-pegawai kerajaan sekitar 18 bulan sebelum pilihan raya untuk membincangkan kemungkinan berlakunya transisi. Pada bulan Mac yang lalu, Ketua Pembangkang David Cameron telah memulakan siri mesyuarat rasmi dengan Ketua Setiausaha Negara Britain, Sir Gus O'Donnell.

Beberapa pemimpin lain Parti Konservatif juga mengadakan pertemuan rasmi dengan ketua-ketua setiausaha daripada kementerian-kementerian yang berkaitan.

Sudah tiba masanya Wisma Putra juga mewujudkan hubungan dengan Parti Konservatif agar hubungan kita dengan kerajaan Britain tidak terkesan oleh perubahan kerajaan nanti. Sekalipun jika Parti Konservatif tidak menang, tiada ruginya kita menjalin hubungan dengan mereka bermula dari sekarang.

Saya memuji usaha Datuk Abdul Aziz Mohammed, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London. Beliau telah memulakan beberapa langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan dengan Parti Konservatif.

Antaranya, pada bulan Mac lalu, beliau menjemput beberapa orang tokoh Parti Konservatif ke satu majlis ringkas mengenai hubungan perdagangan antara Malaysia dan Britain. Sebagai rakan dagang Malaysia yang penting, memang amat penting untuk kita memberi penekanan dalam hal ini.

Begitu juga dengan usaha yang dilakukan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) pimpinan Mirzan Mahathir dan Datuk Dr. Michael Yeoh. Pada penghujung April lalu saya menjadi salah seorang pembicara dalam Sidang Meja Bulat Malaysia - Britain anjuran ASLI. Sidang tersebut turut disertai oleh Datuk Mustapa Mohamad selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Sekali lagi, fokus sidang tersebut ialah hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Sebagai sebuah parti yang pro-perdagangan bebas, saya yakin apabila Parti Konservatif mengambil alih, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Britain akan menjadi lebih baik.

Rakan saya dalam Malaysia Think Tank, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku ibni Muhriz pernah menulis mengenai kenapa beliau bersimpati dengan Parti Konservatif semasa tinggal di Britain dulu. Menurut beliau, Parti Konservatif merupakan sebuah parti yang mendokong prinsip-prinsip kebebasan.

Parti Konservatif membekalkan Britain dengan pemimpin-pemimpin yang menghapuskan jual beli hamba abdi, menghapuskan "Akta Jagung" yang menghalang perdagangan bebas, dan juga membantu menghapuskan pengaruh komunis.

Menurut Tunku Zain lagi, beberapa orang pemimpin Parti Konservatif juga membantu tanah air kita selepas Perang Dunia Kedua. Contohnya, David Gammans dan Lord Marchwood berjasa menolong para pejuang kemerdekaan menentang Malayan Union.

Pertahanan negara kita juga pernah diperkukuhkan oleh kerajaan Britain di bawah Parti Konservatif. Malaysia menandatangani Perjanjian Pertahanan Lima Negara dengan Perdana Menteri daripada Parti Konservatif Edward Heath. Perjanjian ini terus memberi manfaat kepada negara kita sehingga hari ini.

Perdana Menteri daripada Parti Konservatif juga jelas sekali berusaha menjaga hubungan baik dengan Malaysia. Margaret Thatcher dan John Major kedua-duanya melawat Malaysia semasa mereka masih menjawat jawatan Perdana Menteri. Ini berbeza dengan Tony Blair, bekas Perdana Menteri Parti Buruh, yang hanya terjumpa masa untuk melawat Malaysia setelah pencen.

Dan jangan pula kita lupa kerenah Tony Blair selaku Perdana Menteri daripada Parti Buruh. Beliaulah yang menyokong George Bush habis-habisan semasa mahu menjajah Iraq. Serangan ke atas Iraq merupakan legasi memalukan akibat daripada pemerintahan Parti Buruh di Britain.

Saya amat gembira apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan prinsip "Satu Malaysia". Gagasan ini seiras dengan apa yang pernah diuar-uarkan oleh Margaret Thatcher, iaitu konsep "Konservatisme Satu Negara (One Nation Conservatism)".

Dalam ucaptama di persidangan tahunan parti Konservatif pada tahun 1986, Margaret menyatakan "Dari Malaysia hingga ke Mexico … penswastaan sedang mara. Dasar liberalisasi yang kita pelopori sedang dipelajari dari satu negara ke negara lain.

"Parti Konservatif ialah sebuah parti yang percaya dengan kapitalisme popular … Ini merupakan satu jihad kita untuk memperkuasa rakyat biasa agar mereka mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi negara. Parti Konservatif mahu memberi kuasa kembali kepada rakyat. Itulah cara kita untuk mencapai Satu Negara, Satu Bangsa."

Usaha liberalisasi pasaran di Britain yang dipelopori oleh Margaret Thatcher membawa kepada pembangunan yang pesat. Margaret Thatcher berjaya menyekat penganut fahaman sosialis dan marxist dalam pelbagai kesatuan sekerja yang cuba menghalang pembangunan.

Sekiranya prinsip liberalisasi pasaran dijadikan teras konsep Satu Malaysia, pasti negara kita akan lebih pantas mencapai status negara maju.

Dengan meningkatnya kemungkinan Britain akan kembali di bawah pentadbiran Konservatif pimpinan David Cameron, saya harap kerajaan kita, melalui Wisma Putra, juga akan segera berusaha untuk menjalin hubungan dengan parti yang bakal mengambil alih kerajaan Britain ini.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah

Malaysia Think Tank yang kini menetap di London. Beliau juga merupakan Pengarah Polisi bagi sayap Muslim dalam Parti Konservatif Britain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.