saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/06/2009

Larangan komen peguam syarie


Mohamad Isa Abd. Ralip


Ketika berjalan di kaki lima Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, mata terpandang sekeping nota peringatan. Barangkali nota tersebut sudah lama ditampal di sebuah papan kenyataan di situ berdasarkan tarikh iaitu 1 April 2009. Oleh kerana ia ditampal di tempat yang agak terlindung mungkin ramai yang tidak menghiraukannya.

Nota tersebut sebenarnya dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Zohdi Toha. Nota yang ditujukan kepada semua pegawai syariah (hakim) Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKASS) dan semua peguam syarie Selangor itu menyatakan:

''Adalah dilarang sama sekali membuat apa-apa kenyataan, ulasan dan sebagainya lagi berhubung kes mahkamah yang sedang dalam prosiding atau kes yang masih dalam perbicaraan kepada semua media. Sama ada di Astro 106 (Sebutan Syariah), TV9 (Kes Syariah), TV3 Melodi dan lain-lain termasuk akhbar.

''Yang demikian adalah menyalahi etika hakim/peguam syarie dan menyalahi kaedah peguam syarie Selangor 2008. Tindakan tatatertib akan atau boleh diambil terhadap mereka khususnya peguam syarie yang mengingkari larangan ini. Larangan berkuat kuasa serta-merta.''

Sejak timbulnya nota tersebut, pihak media seakan-akan terkena tempias kerana rata-rata peguam syarie yang didekati, agak keberatan memberikan penjelasan kepada persoalan yang kabur. Lebih-lebih lagi apabila terpandang kelibat jurukamera yang menunggu untuk merakamkan gambar mereka ketika memberikan kenyataan.

Peguam syarie yang didekati akan berpesan berulang kali kepada media bahawa mereka bukan hendak memberikan sebarang komen, tetapi hanya memberi penjelasan berhubung terminologi syariah yang tidak difahami yang disentuh dalam perbicaraan kepada media.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip ketika dihubungi menjelaskan, larangan tersebut sebenarnya tidak mengikat pihak media.

Sebaliknya, kata beliau, hanya mengikat hakim dan peguam syarie yang bertugas di Selangor.

''Bagi peguam syarie pula mereka juga terikat dengan Etika Peguam Syarie yang termaktub di dalam Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Antara lain jawatankuasa ini ada kuasa memecat dan menarik balik lesen seorang peguam syarie atas kesalahan disiplin dan etika.

''Salah seorang panelnya ialah Ketua Hakim Syariah (KHS) sendiri. Sekali lagi kuasa tersebut di bawah kuasa negeri. Dalam hal ini, kami berpendapat KHS mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pekeliling tersebut kerana ia adalah kuasa mutlak yang diberikan oleh sultan negeri terlibat,'' kata Mohamad Isa.

Dalam Arahan Amalan, menurut beliau, peguam syarie tertakluk kepada Etika Peguam Syarie yang sangat ketat khususnya bagi kod etika peguam syarie. Iaitu peguam syarie tidak boleh mengiklankan diri, mengadakan temu ramah dan menyiarkan gambar mereka.

Peguam syarie juga tidak boleh memujuk rayu untuk mendapatkan maklumat, melakukan atau menyebabkan dilakukan meraih langganan.

Pun begitu, peguam syarie diberikan sedikit kelonggaran dan hak eksklusif untuk membuat pertimbangan dan menyemak laporan-laporan mengenai kes-kes yang mereka kendalikan secara profesional demi memastikan laporan itu adalah tepat, ujar Mohamad Isa.

Persoalan yang timbul, adakah benar peguam syarie langsung tidak boleh memberi sebarang kenyataan, ulasan dan sebagainya berhubung kes mahkamah yang sedang dalam prosiding atau kes yang masih dalam perbicaraan kepada semua media?

Bagi Mohamad Isa jika diikutkan, temu ramah peguam syarie pun dilarang. Namun ujar beliau, persoalannya jika bukan peguam syarie yang melaporkan kes dan media menyiarkannya tanpa merujuk kepada mereka, dikhuatiri akan berlaku salah tafsir.

Ini secara tidak langsung, pada pandangan Mohamad Isa, akan mengundang salah faham dalam masyarakat.

''Perkara itu berlaku disebabkan pihak media kebanyakannya tidak memahami proses undang-undang dan terminologi syariah. Sebagai contoh istilah mutaah, watie syubhah, idah dan banyak lagi,'' kata beliau.

Sehubungan itu, pada pandangan PGSM, kes-kes Mahkamah Syariah wajar dilaporkan oleh media untuk tatapan masyarakat tetapi berlandaskan panduan peguam syarie. Tujuannya bagi mendidik masyarakat yang rata-ratanya kurang pengetahuan dalam undang-undang dan hukum syarak.

Ujar Mohamad Isa, PGSM berpendapat peguam syarie hanya boleh melaporkan kes tanpa membuat sebarang ulasan berhubung kes mahkamah yang sedang berjalan kepada semua media tetapi terhad kepada:

(a) Yang menyentuh fakta umum berkaitan apa-apa perkara yang dikemukakan di mahkamah semata-mata.

(b) Pihak media boleh melaporkan prosiding.

(c) Tetapi dilarang sama sekali membuat sebarang komen mengenai cara hakim mengendalikan kes. Misalnya menyatakan, hakim berat sebelah atau memberikan komen bahawa hakim membuat keputusan yang tidak tepat serta tidak profesional.

(d) Peguam syarie tidak boleh menggunakan media untuk menyatakan kebenaran fakta dakwaannya di dalam kes yang sedang berjalan kerana ia akan menyebabkan prejudis terhadap kes tersebut.

(e) Peguam syarie juga tidak boleh memberi komen dan ulasan yang menyentuh kes yang sedang berjalan.

Kesimpulannya PGSM berpendapat bahawa arahan Ketua Hakim Syarie Selangor hanya mengikat hakim syarie dan peguam syarie yang beramal di negeri itu semata-mata.

''Pun begitu wartawan terikat dengan etika kewartawanan. Jadi sewajarnya mengelakkan daripada meminta peguam syarie mengulas perkara-perkara yang dinyatakan di perenggan (c), (d) dan (e).

''Tindakan wartawan yang menyoal perkara-perkara tersebut mendedahkan peguam syarie kepada tindakan menyalahi etika atau terdedah kepada tindakan menghina mahkamah dan begitu juga dengan media,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.