saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/06/2009

MEASAT-3a kukuh satelit Malaysia


Model satelit MEASAT-3a yang akan dilancarkan pada 22 Jun ini di Baikonur, Kazakhstan yang bakal meningkatkan keupayaan telekomunikasi dan satelit negara.


KURANG seminggu sahaja lagi, satu lagi sejarah bakal dicipta apabila satelit Asia Timur Malaysia yang keempat dijangka berada di orbit apabila MEASAT-3a dilancarkan pada awal pagi 22 Jun.

Dengan ini, MEASAT-3a akan menyertai MEASAT-1 dan MEASAT-2 yang sudah berada di orbit sejak 1996 di samping MEASAT-3 yang dilancarkan pada 12 Disember 2006.

Bertempat di Baikonur Cosmodrome yang terletak di Kazakhstan, MEASAT-3a akan dilancarkan menggunakan roket kenderaan pelancar Zenit-3SLB.

Baikonur Cosmodrome terkenal sebagai pusat pelancaran yang meletakkan satelit pertama dunia dan juga angkasawan pertama, Yuri Gagarin ke orbit yang mengembara di angkasa melalui pesawat Vostok 1 pada 12 April 1961.

Bagi Malaysia, Baikonur Cosmodrome sebelum ini mencatatkan sejarah apabila menyaksikan mikrosatelit negara yang pertama iaitu TiungSAT-1 dilancarkan pada 26 September 2000.

TiungSAT-1 yang diambil sempena nama burung tiung antara lain digunakan untuk mencerap bumi selain tujuan komunikasi.

Dan yang paling diingati tentang Baikonur pastinya kerana ia menjadi tapak pelancaran Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa atau lebih tepat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007.

Selain itu, Baikonur juga merupakan tapak pelancaran MEASAT-3 manakala MEASAT-1 dan MEASAT-2 pula dilancarkan di Pusat Angkasa Lepas Guiana (CSG) Arianespace di Kouru, French Guiana.

MEASAT-1 dilancarkan menggunakan Arianes-4 pada 13 Januari 1996 dan 10 bulan kemudian, iaitu pada 13 November, menyusul pula MEASAT-2.

Kedua-duanya dilancarkan dengan perbelanjaan sebanyak RM600 juta. Sesuai dengan tempoh jangka hayat yang semakin menghampiri penghujungnya, ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat serta bagi memenuhi kehendak pengguna, maka MEASAT-3 mengambil kedudukan tersebut.

MEASAT-3 yang melibatkan nilai pelaburan RM1 bilion itu dilancarkan pada 12 Disember 2006 dan dijangka berada di orbit selama 15 tahun. Sementara itu, satelit terbaru yang bakal dilancarkan 22 Jun ini iaitu MEASAT-3a pula direka bentuk dengan objektif untuk ditempatkan bersama-sama dengan MEASAT-3.

Satelit keempat milik Measat itu akan menjadi pelengkap kepada kemampuan MEASAT-3 yang kedua-duanya diletakkan di lokasi orbit utama organisasi itu iaitu 91.5 Longitud Timur.

Justeru dengan pelancaran MEASAT-3a, ia akan meletakkan Measat Satellite Systems Sdn. Bhd. (Measat) di barisan depan dalam industri komunikasi satelit Asia Pasifik dengan penyediaan landasan transmisi satelit serba guna yang paling berkuasa dan paling berpotensi daripada segi komersial.

Berdasarkan jadual yang ditetapkan, MEASAT-3a akan dilancarkan pada Isnin 22 Jun, pukul 3.50 pagi waktu Kazakhstan atau kirakira 5.50 pagi waktu Malaysia.

MEASAT-3a yang seberat 2.417 tan itu dibina oleh Orbital Sciences Corporation of Dulles yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Ia direka bentuk dengan 12 transponder C-band berkuasa tinggi dan 12 transponder Ku-Band berkuasa tinggi untuk menyokong peningkatan perniagaan terus ke rumah (DTH), penyiaran dan telekomunikasi Measat.

Dengan liputan Ku-Band di Malaysia dan Indonesia serta pancaran C-Band yang meliputi lebih 110 negara yang mewakili 70 peratus penduduk dunia, satelit berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dalam bidang perniagaan penyiaran dan telekomunikasi.

Sebenarnya MEASAT-3a telah dijadualkan pelancarannya pada 21 Ogos lalu namun atas sebab teknikal ia terpaksa ditunda sebelum ia dilancarkan.

Ini berikutan insiden ketika operasi persiapan pra pelancarannya di tapak pelancaran di Baikonur.

Namun setelah melalui proses pembaikan dan siri ujian terhadap bahagian yang mengalami kerosakan oleh pihak Orbital, MEASAT-3a akhirnya telah siap untuk dilancarkan ke orbit.

Malah ia sudah berada di Baikonur sejak awal bulan ini untuk persiapan akhir sebelum menanti detik bersejarah bagi dilancarkan pada tarikh yang dijadualkan iaitu 22 Jun.

Sempena dengan pelancaran tersebut juga, Measat turut membawa bersama lima pelajar Malaysia yang dipilih di kalangan pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2007 untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Peluang sekali seumur hidup itu sememangnya amat berharga kerana bukan mudah untuk sesiapa mendapat pendedahan secara dekat mengenai keupayaan industri angkasa lepas Rusia di Moscow dan Baikonur.

Ini termasuk peluang untuk melihat sendiri pelancaran satelit MEASAT-3a. Sesungguhnya peluang tersebut teramat bernilai kerana hanya mereka yang amat bertuah sahaja boleh merasai sendiri pengalaman tersebut.

Selain menyaksikan pelancaran MEASAT-3a, lima pelajar berkenaan, Ahmad Ruiz Mohd. Asri dari Kuala Lumpur, K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Sabah), Lina Na'ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) juga akan dibawa melawat ke beberapa tempat berkaitan.

Antaranya ke Star City iaitu pusat latihan angkasawan dan pusat penyelidikan tentera. Mereka juga akan dibawa melawat kompleks pelancaran roket terbesar dunia yang terletak di Baikonur serta menjejaki kehidupan angkasawan pertama di Muzium Angkasa Yuri Gagarin.

Selain pelajar Malaysia, empat pelajar dari Indonesia, dua dari Filipina dan tiga dari Britain akan turut serta dalam lawatan berkenaan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.

Pastinya lawatan ini menjadi pembakar semangat kepada mereka khususnya dan kumpulan remaja lain yang mungkin suatu hari nanti bakal menggantikan para angkasawan dan jurutera aeroangkasa.

Apa pun, detik 22 Jun ini akan memahat satu lagi sejarah penting dalam perkembangan bidang sains dan teknologi angkasa negara.

Dengan pelancaran MEASAT-3a ini, ia akan mendorong lebih banyak lagi satelit milik negara dilancarkan pada masa depan. Sekali gus akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri telekomunikasi dan satelit.

Dan tentunya cabaran mendatang bukan sekadar melancarkan satelit negara tetapi jauh daripada itu kerana perlumbaan dalam bidang ini amat penting untuk meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju yang lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.