saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/06/2009

Mantera temukan Tomok, Lisa


TOMOK (kiri) dan Lisa Surihani di samping motosikal yang akan digunakan dalam Mantera sambil disaksikan Niza Mohamad serta Andrey Chirkin di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.


TOMOK dan Lisa Surihani merupakan dua anak seni generasi baru yang digilap bakat mereka daripada dua medium yang berbeza iaitu nyanyian dan lakonan dalam persada seni tanah air.

Lisa merupakan antara pelakon pelapis yang kini menjadi perhatian dan buruan ramai penerbit serta pengarah filem, manakala Tomok pula sudah hampir lapan tahun bergelar penyanyi.

Sungguhpun berbeza medium, namun bidang lakonan dan nyanyian seakan-akan sukar dipisahkan apabila dua anak muda itu bakal dipertemukan menerusi filem berjudul Mantera.

Menariknya, filem arahan Mohd. Aliar Ally itu bukan sahaja lakonan pertama Tomok, tetapi ia juga adalah filem pertama Lisa yang boleh dikategorikan bertaraf antarabangsa.

Mantera yang diterbitkan oleh Flare Studio Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat produksi tempatan akan menggabungkan teknologi yang dibawakan dari Rusia, sementara pembikinan filem itu pula akan diadakan di luar negara.

Sebagai pelakon utamanya, ternyata Tomok tidak mampu menyembunyikan rasa keterujaannya apabila diberi peluang berlakon dalam filem dengan kos produksi mencecah RM5.5 juta itu.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, biarpun sebelum ini dia lebih cenderung dalam bidang muzik tetapi tiada alasan buatnya untuk menolak tawaran ini, sekali gus mencuba bakat dalam bidang lakonan.

"Bagi Tomok, tawaran berlakon dalam filem ini merupakan peluang yang cukup besar. Tomok terima tawaran ini kerana tertarik dengan jalan cerita filem ini yang ke arah futuristik.

"Menerusi filem ini Tomok akan melakonkan watak superhero atau ikon baru yang sedang dicipta dalam dunia perfileman tanah air. Peranan dan tanggungjawab itu amat besar buat Tomok.

"Tomok rasa bertuah kerana dipilih melakonkan watak Mantera atau singkatan kepada manusia teknologi robot itu," katanya pada sidang media selepas pelancaran Mantera di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Biarpun tidak banyak pengalaman berlakon, penyanyi kumpulan pop rock, New Boyz ini tidak gentar mempertaruh serta memperkembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Menurut penyanyi lagu Sejarah Mungkin Berulang ini, dia tidak menafikan peluang untuknya mengembangkan bakat dalam bidang seni terbentang luas selepas menjuarai pertandingan nyanyian One In A Million (OIAM) baru-baru ini.

"Peluang berlakon tidak selalu datang kerana sebelum ini Tomok lebih dikenali ramai sebagai penyanyi dan pemuzik. Tetapi selepas Tomok menang OIAM, macam-macam peluang datang.

"Sebab itu Tomok tidak fikir lama apabila diberi peluang keemasan apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini. Tomok akan beri 100 peratus komitmen bagi menjayakan filem ini nanti.

"Apatah lagi, difahamkan filem ini akan menjalani penggambarannya di luar negara seperti di Dubai dan Moscow. Ini suatu peluang keemasan yang tidak harus Tomok lepaskan," ujarnya yang akan melakonkan watak Mantera.

Sungguhpun begitu, kata anak seni berasal dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur ini, dia tidak akan melupakan bidang muzik yang telah banyak melonjakkan namanya dalam industri hiburan selama hampir sedekad kebelakangan ini.

Sementara itu, Lisa turut berkongsi rasa kegembiraannya bersama Tomok apabila menjadi pilihan penerbit Mantera bagi menjayakan filem yang dijangka ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada tahun depan.

Jelas Lisa, selepas berlakon dalam hampir 10 filem termasuklah I'm Not Single dan Jangan Pandang Belakang Congkak, Mantera merupakan filem yang mampu membuka pengalaman lebih luas kepadanya dalam bidang lakonan.

Ini kerana, kata Lisa, filem dengan kerjasama syarikat produksi dari Rusia iaitu Spacetoon Russia itu mampu untuk mengembangkan lagi bakatnya sebagai pelakon hingga ke peringkat antarabangsa.

"Peluang ini merupakan cabaran untuk saya membuktikan bakat sebenar saya dalam bidang lakonan secara lebih jauh lagi. Ini peluang saya untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Ia juga bersesuaian dengan jiwa saya yang sentiasa suka mencuba perkara-perkara baru yang lebih mencabar termasuklah dalam bidang lakonan.

"Pengalaman berlakon di luar negara dengan para pelakon dan krew dari Rusia kelak akan menambahkan lagi pengalaman saya dalam bidang ini," katanya yang melakonkan watak Lina dalam Mantera.

Sama popular, padan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Flare Studio Sdn. Bhd., Niza Mohamad memberitahu, pemilihan Tomok dan Lisa amat berpadanan kerana mereka merupakan antara pelakon generasi pelapis dalam industri perfileman tempatan hari ini.

Katanya, penampilan sulung Tomok di layar perak mampu untuk menarik perhatian ramai peminat yang mengenali serta meminati penyanyi itu sejak lapan tahun lalu.

"Tomok yang mencipta nama bersama New Boyz pada tahun 2001 mampu menarik para penonton berkunjung menyaksikan filem yang sarat dengan gabungan teknologi dan fiksyen itu.

"Bagi saya, Tomok dan Lisa cukup padan untuk digabungkan dalam filem ini. Gabungan populariti mereka berdua dan tarikan konsep serta jalan cerita filem ini mampu dijadikan tarikan untuk menarik para penonton ke pawagam.

"Saya harap para penonton di Malaysia sudah bersedia untuk menerima kehadiran filem seperti ini. Kalau sebelum ini ramai yang teruja dengan filem Hollywood seperti Transformers, maka kita juga mampu menghasilkan filem dengan teknologi canggih seperti filem itu," kata Niza.

Mantera yang menerima bantuan RM1.5 juta daripada Skim Pinjaman Filem Cereka Finas akan menggabungkan kepakaran teknologi perfileman daripada Spacetoon Russia iaitu sebuah syarikat produksi yang terkenal dari Rusia.

Kata Niza, Tomok dan Lisa yang akan memulakan penggambaran Mantera mulai 25 Julai ini dijangka mampu membuka lembaran baru dalam bidang perfileman tanah air dengan adanya kerjasama serta pertukaran teknologi itu.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Sei Kei, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Datuk Mohamed Mohd. Daud, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, Presiden Spacetoon International, Mohammad Fayez al-Sabbagh dan Naibnya, Andrey Chirkin.

Pada masa sama, Mohd. Mahyidin Mustakim turut mengumumkan kerjasama Finas dan Spacetoon International dalam pembikinan lima buah dokumentari tentang Malaysia dengan kos berjumlah AS$250,000 (RM875,000).

"Setiap satu dokumentari akan mengambil durasi masa 24 minit. Lima dokumentari itu masing-masing akan berkisar tentang teknologi saintis Islam, keajaiban Malaysia, sukan, perubatan dan sejarah.

"Kami akan membuka permohonan untuk kepada syarikat-syarikat produksi yang layak untuk menerbitkan dokumentari-dokumentari itu. Tarikh tutup permohonan pembikinan dokumentari itu ialah pada 20 Julai ini," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.