saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 23/06/2009

Buah perah sajian istimewa


BUAH perah (elateriospermum tapos) yang siap dijeruk sesuai dihidangkan semasa makan tengah hari dan kepada tetamu.


JERANTUT 22 Jun - Makanan berasaskan buah-buahan dan herba yang diperoleh daripada hutan Taman Negara mungkin tidak asing bagi penduduk di pedalaman Hulu Tembeling, Kuala Tahan dan Pulau Tawar dekat sini.

Buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan ini hanya menjadi selera haiwan kerana rasanya pahit, kelat dan boleh memabukkan, tetapi jika diproses menerusi cara yang betul boleh menjadi makanan yang menyelerakan bagi manusia.

Penduduk di kawasan pedalaman itu mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan kesan sampingan dan boleh dimakan untuk tujuan perubatan mahu pun ulam-ulaman tanpa menimbulkan komplikasi kesihatan.

Antara buah-buahan hutan di Taman Negara yang lazimnya menjadi kegemaran penduduk di sini ialah buah perah, kepayang, kedondong, ara, mencepu, kerdas dan ubi gadong.

Sebahagian buah hutan itu boleh didapati sepanjang masa manakala sebahagian yang lain berbuah secara bermusim di hutan Hulu Tembeling dan Taman Negara Kuala Tahan.

Sejenis buah yang menjadi kegemaran penduduk di sini ialah buah perah yang banyak didapati di kawasan hutan Taman Negara dan berdekatan Sungai Tembeling.

Seorang penduduk Kampung Pengau, Hulu Tembeling, Zulkefli Jamaluddin, 45, berkata, buah perah yang siap diproses dijadikan jeruk untuk makanan harian dan selebihnya dijual di pekan sehari dan pasar tani di Bandar Jerantut dan Kuala Tahan.

''Orang tua-tua di sini sejak zaman dahulu dikatakan mahir memproses buah perah untuk menghilangkan getahnya menerusi kaedah tradisional iaitu dengan membuat jeruk. Namun, ada juga yang tidak mahir memproses buah ini," katanya.

Jelasnya, buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah-mentah dan perlu diproses mengikut peraturan untuk menghilangkan getahnya atau melenyapkan kesan sampingan lain.

Menurut beliau, pokok perah mengeluarkan buahnya semusim dengan pokok getah.

Seperti buah getah, ujarnya, biji perah diperoleh apabila 'letupan' buahnya yang matang (proses penyebaran biji benih daripada atas pokok) berlaku dan bijinya gugur ke tanah.

Jelasnya, buah perah yang belum matang atau muda berwarna kelabu dan bertompok kemerahan manakala bijinya berwarna putih dan apabila di peringkat matang, bijinya berwarna coklat tua seperti biji getah.

Menurut cerita rakyat, kata Zulkefli, Sang Kelembai yang mempunyai kuasa dan kekuatan luar biasa pun menjadi lemah dan 'mabuk' apabila termakan buah perah mentah.

Beliau memberitahu, ada dua cara memproses buah perah untuk menghilangkan getahnya iaitu merendam ke dalam air yang dicampur garam dan asam gelugur selama dua minggu.

''Menjeruk buah ini dilakukan sehingga dua minggu supaya ia lebih selamat dimakan dan rasanya rangup serta sedap seperti kacang rebus," katanya.

Selain jeruk, katanya, buah perah mentah sebesar ibu jari itu boleh direbus lebih sejam untuk menghilangkan getahnya dan sehingga warna asal kulitnya iaitu coklat tua berubah menjadi kehitaman.

Menurutnya, ia hanya boleh dimakan selepas menjeruk buah itu dengan dimasukkan ke dalam tempayan dan dicampur dengan asam gelugur dan garam sehingga kulitnya berubah kehitaman.

Zulkefli menambah, buah perah juga boleh dijadikan asam rom perah.

Menurutnya, buah perah mentah dijemur lebih seminggu dan isinya yang berwarna putih dikeluarkan lalu ditumbuk sehingga lumat dan kemudiannya dijemur di bawah panas matahari.

Katanya, asam rom perah boleh dimasak dan sesuai dicampur dengan ikan air tawar Sungai Tembeling seperti patin, lawang dan jengkua untuk melahirkan masakan tradisional yang cukup lazat dan menyelerakan.

Bagi penduduk Hulu Tembeling, jelasnya, buah yang dijeruk dan ditumbuk menjadi asam rom dijadikan makanan keluarga atau dihidangkan kepada tetamu.

''Buah perah boleh dimakan tidak kira masa seperti makan kita menjamah kacang rebus atau ketika bersama hidangan tengah hari," katanya.

Katanya, generasi hari ini sudah tidak tahu lagi memproses buah perah kerana kerjanya agak rumit bermula dari mencari di kawasan hutan kemudian diproses.

Jika cara memproses tidak mengikut peraturan, kesan mabuknya terasa serta meloyakan seseorang selepas dimakan, ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar tani dan pekan sehari bandar Jerantut mendapati buah perah yang siap dijeruk dijual antara RM2 hingga RM4 selonggok dan amat laris berbanding dengan buah-buahan lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.