saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/06/2009

Meja rundingan ditendang, debat pula dirancang

BANYAK sudah yang diperkatakan tentang kegagalan kerajaan perpaduan cetusan Pas yang kemudiannya cuba dipusing sebagai idea UMNO. Mungkin lebih ramai yang tidak terkejut daripada yang terkejut dengan penolakan idea yang dicetuskan sendiri oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Bagi yang tidak terkejut mungkin akan berkata, Pas - UMNO macam anjing dengan kucing. Memang tidak boleh bertemu. Kalau berjumpa pun akan berkelahi. Tetapi sebagai orang Melayu Islam, di hati kecil ada sedikit perasaan untuk mengharapkan pertemuan bagi membincangkan kerajaan perpaduan menjadi kenyataan demi kepentingan ummah. Apa salahnya sekadar pertemuan untuk berbincang?

Kata orang, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Tidak kiralah sama ada ular itu ditujukan kepada UMNO atau Pas. Masing-masing ada kelebihan. Maka biarlah ular dipukul jangan mati, kayu pemukul jangan patah, tanah dipalu jangan lembang. Tetapi lumrah manusia, ada yang mudah angkuh apabila melihat diri mereka lebih hebat daripada orang lain. Lebih-lebih lagi bagi yang baru merasai nikmat kuasa, sudah menghampiri ke puncak jaya. Kata orang ubun-ubun masih berdenyut sudah angkuh! Mereka ini sanggup mencurahkan air di dalam tempayan kerana mendengar guruh di langit.

Dalam politik, hari ini cakap lain, esok cakap lain. Macam udang hendak mengatai ikan. Akhirnya jadilah seperti ular kepala dua. Salam diberi disambut baik oleh UMNO tetapi akhirnya dibalas dengan penampar. Hasrat perbincangan mengenai kerajaan perpaduan itu belum dapat dipastikan buruk baiknya, bak kata orang, ular bukan, ikan pun bukan. Maka dalam hal ini, adalah lebih baik pada masa depan UMNO lebih berhati-hati. Awasi ular berlingkar di gulungan tikar.

Sebenarnya sejak awal-awal lagi apabila isu kerajaan perpaduan ini dicetuskan, timbul persoalan apakah ia akan menjadi kenyataan? Jawapannya sudah diketahui. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang menyambut baik saranan itu? Lebih-lebih lagi bagi Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa. Apakah nasibnya selepas 'diserang' oleh beberapa pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat?

Mungkin ramai orang lama dalam Pas masih ingat pada tahun 1986 - ketika itu penulis pun baru berusia 20an - apabila Nakhaie Ahmad 'diserang' dan ada suara-suara yang mahu beliau meletakkan jawatan. Peristiwa ini berlangsung dalam muktamar ke-32 di Rusila. Ketika itu isu lebih kurang sama apabila timbul cerita pertemuan di Sri Perdana yang dikatakan sebagai persefahaman politik antara Pas dan UMNO. Begitu juga dengan penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC). Allahyarham Fadzil Noor ketika itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung Pas menyatakan pertemuan itu hanyalah pertemuan biasa. Mengenai CCC pula, ia diputuskan penubuhannya atas ketetapan Muktamar Pas pada 1982, bukan idea Nakhaei. Bagaimanapun Nakhaei sebagai orang keempat terpenting dalam Pas iaitu selepas Hadi Awang hanya membuat perincian serta banyak memberi penerangan dan mengadakan dialog dengan orang Cina. Ramai yang menuding jari kepada Nakhaei kerana ketika itu CCC dikatakan menjadi punca kekalahan Pas pada pilihan raya umum. Akhirnya Nakhaei meninggalkan Pas pada tahun 1988.

Apakah Nasharudin juga akan mengalami perjalanan yang sama seperti dilalui Nakhaei?

Kini selepas tamat isu kerajaan perpaduan, Pas melalui Nik Aziz tampil dengan kisah baru iaitu debat terbuka. Beliau mengajak Presiden UMNO, Najib Tun Razak berdebat kononnya bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara UMNO dengan Pas. Apa tujuan berdebat apabila meja rundingan atas nama perpaduan ditolak dan diterajang begitu sahaja?

Debat tidak akan menyelesaikan masalah. Buang masa! Banyak lagi kerja lain. Ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya hanya akan mempamerkan kelemahan masing-masing kepada orang lain. Tikam menikam antara satu sama lain. Ada yang bertanya kenapa kita harus mengheret isu ini ke 'tengah jalan raya' sedangkan pendekatan yang lebih baik ada di depan mata? Nampaknya Pas lebih gemar berdebat daripada berunding.

Kenapa tidak muzakarah? Mungkin Nik Aziz akan berkata, itu soal nama sahaja seperti beliau menyamakan UMNO dengan komunis dan sesat yang dianggap sebagai kiasan. Apakah jika UMNO menolak debat ini, Nik Aziz akan berkata, UMNO tidak bersedia bersemuka? Apakah yang ingin dicari oleh Pas? Penulis ingin menyelak semula intipati ucapan Allahyarham Yusof Rawa, ketika itu sebagai Yang Dipertua Agung Pas dan Mursyidul Am. Ketika muktamar yang berlangsung pada 10 April 1987 di Dewan Markaz Tarbiyyah Pas Pusat, Kuala Lumpur, Allahyarham telah menyentuh tentang muzakarah UMNO-Pas. Perkara ini dibangkitkan penulis dalam dua keluaran yang lepas. Antara lain dalam ucapan bertajuk Ke arah Tajdid Hadhari, Allahyarham berkata:

''Kita tidak berhajat untuk mendapat apa-apa keuntungan daripada muzakarah tersebut. Keuntungan yang kita harapkan daripadanya ialah peluang yang diperoleh yang membolehkan kita memberikan sumbangan kepada masyarakat di negara ini. Kita cukup sedar tentang ancaman dan keruntuhan yang sedang dihadapi oleh masyarakat di negara ini dan kita suka untuk menyumbangkan tenaga kita bagi menyelamatkannya,"

Dalam ucapan yang sama, penulis juga tertarik dengan kenyataan Allahyarham berhubung ulasan terhadap surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah (agama), dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk''

Menurut Allahyarham, penggunaan perkataan tali Allah sebagai ganti penggunaan perkataan dinullah atau manhajjullah mempunyai makna dan cara yang sungguh teliti dan bijaksana. Ia mengisyarakatkan supaya langkah menyelamat itu hendaklah dilakukan secara berhati-hati kerana orang yang sedang berada di pinggir gaung, tidak ada jalan untuk menyelamatkannya melainkan dengan menggunakan tali. Jika tali tidak digunakan dan kita sendiri menerap untuk menyelamatkannya, kemungkinan si penyelamat dan orang yang hendak diselamatkan itu kedua-duanya akan terhumban ke dalam gaung tersebut.

Apakah Melayu UMNO dan Melayu Pas akan sama-sama terhumban? Fikir-fikirkanlah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.