saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 05/07/2009

Kemelut pakatan bukti BN terbaik

KUALA LUMPUR 4 Julai - Keretakan kerjasama antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku kerana tiadanya kesepakatan tulen berbanding Barisan Nasional (BN) yang asas penubuhannya adalah untuk mentadbir negara.

Sebaliknya, kesediaan ketiga-tiga parti pembangkang itu untuk bersama semeja memerintah negeri hanyalah atas dasar membalas dendam bagi menghalang BN daripada terus memerintah.

Justeru beberapa pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meramalkan pakatan yang seumpama itu tidak akan kekal lama berikutan perbezaan dasar dan kepentingan yang ekstrem antara setiap parti.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo berkata, yang malangnya dalam hal ini ialah rakyat kerana mereka telah ditabur dengan janji manis sewaktu kempen pilihan raya dahulu.

Katanya, namun setelah setahun kerajaan pakatan memerintah, banyak janji tak dapat dilaksanakan dan pertubuhan haram Hindraf yang menyokong kuat PKR sebelum ini juga nampaknya mulai sedar yang mereka terpedaya.

''Akhirnya janji-janji inilah saya lihat sudah menjadi duri dalam daging kepada kerajaan pakatan pembangkang. Masa awal-awal bolehlah bertolak ansur satu sama lain sebab nak ambil hati semua pihak.

''Tapi sekarang selepas setahun, terbukalah belang masing-masing apabila semua nak penuhi agenda parti sendiri. Jadi perkahwinan yang macam ini saya anggap sementara,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Hubungan DAP, Pas dan PKR terutama di Kedah dan Pulau Pinang dilihat semakin kalut apabila semakin banyak tuduh-menuduh antara mereka berlaku berhubung beberapa isu berkaitan.

Malah penduduk yang terlibat dalam kontroversi pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala dilaporkan menyesal kerana mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, apa yang berlaku kini seharusnya membuka mata rakyat bagaimana nasib mereka sekiranya pembangkang diberi peluang memerintah negara.

Beliau berkata, rakyat dalam hal ini perlu sedar bagaimana lemahnya pemimpin pembangkang dalam mentadbir negara dan seterusnya mengambil iktibar dengan kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang.

''Pakatan pembangkang adalah rapuh. Mereka hanya bersatu untuk pilihan raya tetapi tak tahu nak tadbir apabila menang. Baru setahun memerintah macam-macam telah timbul dan terbaru Selangor juga dikatakan bergolak,'' jelasnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemelut tersebut telah diramalkan banyak pihak kerana kerjasama Pas, DAP dan PKR bukan berbentuk tulen seperti BN yang telah teruji sejak lebih 50 tahun.

Kata beliau, sebagai contoh mudah, sampai sekarang mereka tidak boleh menamakan pemimpin nombor satu pakatan pembangkang dan ini berbeza dengan BN yang ada struktur jelas selain sebuah parti berdaftar.

''Untuk memantau Perdana Menteri dalam jawatankuasa Parlimen yang dibentuk pun mereka terpaksa namakan ketiga-tiga ketua parti. Jadi macam mana nak bertahan lama kalau hal ini pun tak boleh diselesaikan.

''Saya lihat ini berlaku kerana dasar berbeza, tak ada titik yang menemukan secara tulen. Mereka bertemu setakat nak kalahkan BN dan UMNO tetapi pertemuan yang lebih penting untuk membela rakyat tak wujud,'' ujarnya.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, kemelut kerajaan pakatan di Kedah dan Pulau Pinang sememangnya sesuatu yang telah dijangka kerana pakatan pembangkang sangat lemah.

Kata beliau, ini berbeza jika dibandingkan dengan BN yang telah lama wujud dan terbukti mampu berkhidmat untuk rakyat.

''Bila masalah timbul antara kepentingan ketiga-tiga parti, maka apa yang berlaku kini bukan mengejutkan,'' ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.