saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/07/2009

Aspalela enggan terima gelaran


WAJAH terbaru Aspalela Abdullah yang dirakamkan oleh jurugambar Hits, Halim Khalid.


MERDU suara penyanyi ini membuatkan ramai yang leka setiap kali mendengar lagu nyanyiannya di radio.

Lenggok suaranya ketika menyampaikan lagu-lagu Melayu asli membuatkan audiens mudah terpaku.

Itulah keunikan dan keistimewaan penyanyi veteran, Aspalela Abdullah yang semakin terpinggir dari arus perkembangan industri hiburan arus perdana.

Ketika masyarakat masa kini seperti melupakan penggiat-penggiat muzik veteran, Aspalela pula terus membuktikan beliau masih lagi memiliki aura tersendiri biarpun usianya sudah melebihi setengah abad.

Kini dalam meniti usia 64 tahun, juara Bintang Radio '68 ini masih meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi meskipun kebanyakan undangannya adalah pertunjukan amal.

Walaupun ada ketika hatinya bagai mahu menolak undangan yang bagaikan memandang remeh kepada penyanyi seangkatannya namun kerana jiwa seninya, Aspalela tidak berdaya.

"Ada ketika saya bagaikan mahu menolak tawaran menyanyi tetapi jiwa seni yang menebal membuatkan saya terima juga.

"Lagipun kalau kita tolak ada pula orang lain yang terima. Apabila memikirkan daripada tidak buat apa di rumah, duit itu boleh juga menampung keperluan saya.

"Bukanlah saya tidak boleh hidup tanpa undangan menyanyi dengan bayaran kecil tetapi jiwa seni saya rasa terhibur apabila dapat menghiburkan orang lain," cerita Aspalela ketika ditemui di kediamannya di Taman Melati, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Aspalela yang juga balu pelakon dan pengarah Allahyarham Raja Ismail dan ibu kepada Raja Iskandar, 41, dan Raja Norhanifah, 39, berkata, biarpun kini menghadapi masalah tidak mampu berdiri lama kerana kudratnya semakin terbatas, namun bila di pentas, beliau seperti memperoleh tenaga baru.

Bahkan, ada ketika, anak-anak seniwati itu melarang beliau keluar menyanyi.

Namun, Aspalela sekadar memberikan alasan menyanyi bagaikan terapi untuk mengubat duka dan kesunyiannya.

Pada masa yang sama, kasih dan cinta pada seni sangat menebal dalam diri beliau kerana pendapatan melalui seni juga, Aspalela menampung perubatan arwah suami ketika beliau sakit dulu.

Begitu juga dengan kos perubatan anak bongsu Aspalela, Allahyarham Raja Nurulfaiz (Ayu) juga sebilangan besarnya disumbangkan menerusi pendapatan nyanyian serta duit simpanan Allahyarham suaminya semasa aktif mengarah filem dahulu.

Mengenang satu persatu memori yang melintasi kehidupannya membuatkan Aspalela gentar untuk menolak rezeki yang datang di depan matanya.

"Biarlah anak-anak marah, saya tetap pergi. Cuma saya harap mereka yang sering menganjurkan dinner show atau yang sering mengundang saya dan rakan-rakan sebaya agar menghargai bakat kami," kata Aspalela lagi.

Sesuatu yang menghairankan, walaupun sudah lebih empat dekad menyanyi Aspalela, bekas kerani di bahagian Analisis di Lembaga Letrik Negara (kini Tenaga Nasinol Berhad) hanya mempunyai lima buah album sepanjang kerjaya seninya.

Album Joget Cari Makan yang diterbitkan Omar Taib edaran WEA (kini Warner Music) pada tahun 1991 dianggap Aspalela sebagai album cari makan beliau.

Ini kerana lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itulah yang sering dinyanyikan pada setiap undangan nyanyian dan ia bagaikan suara jiwa seorang Aspalela apalagi apabila menghayati lagu Bukan Sekadar Sekalung Doa ciptaan Omar.

Namun bagi Aspalela, walaupun albumnya tidak banyak tetapi merakamkan lagu Joget Dua yang dimuatkan dalam album Cinta Sayang terbitan syarikat rakaman Redifussion khas untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman merupakan sumbangan dan kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang kerjaya seninya.

"Kadangkala dalam meniti usia yang semakin tua, saya berasa terlalu sedih kerana lagu-lagu asli bagaikan tidak mendapat tempat di hati orang-orang kita dan pihak stesen TV.

"Jika mereka mengamalkan sikap hanya menghargai orang-orang muda dan lagu-lagu moden nampaknya lagu asli akan hilang bersama hilangnya orang-orang yang pernah menyanyikannya," luah Aspalela dalam nada kecewa.

Menurut Aspalela juga, walaupun artis sebaya tidak mendapat tempat di stesen TV, akhbar dan majalah, namun dia sentiasa mengikuti perkembangan seni tanah air.

"Setakat ini saya rasakan, Haziq (Akademi Fantasia 4) satu-satunya penyanyi generasi baru yang mampu membawa lagu-lagu asli dengan baik dan menyambung usaha kami," kata Aspalela mengenai kebanggaannya terhadap anak muda itu.

Selain menyanyi, Aspalela yang juga nenek kepada tiga orang cucu juga berbakat dalam bidang pengarahan dan penulisan skrip.

Kini, kata Aspalela, jika tiada undangan menyanyi dia lebih banyak menghabiskan masanya membelai pokok-pokok bunga kesayangannya dan sesekali menyanyi sambil diiringi mainan organ oleh cucu sulungnya, Puteri Wan Nurizzati, 14.

Bila menyentuh mengenai trend artis-artis muda yang semakin ramai menerima gelaran tertinggi khususnya yang membawa gelaran Datuk, Aspalela yang sedang menyiapkan skrip yang memaparkan kisah hidupnya yang penuh tragis berkata, beliau tidak akan sama sekali menerimanya.

"Saya sudah pesan kepada anak dan cucu saya, jika saya sudah mati dan ada yang mahu menganugerahkan saya gelaran itu, saya haramkan mereka menerimanya," katanya mengenai pesanan buat warisnya.

Bagaimanapun, penerima Anugerah Kecapi bagi kategori Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006 (Penyanyi Lagu Melayu Asli) pada Malam Jasamu Dikenang anjuran Papita, hanya tersenyum penuh makna tanpa mahu menjelaskan rasional beliau tidak berminat dengan sebarang pangkat atau gelaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.