saya nak baca ..

SAINS & TEKNOLOGI


ARKIB : 16/07/2009

Scienotech bantu industri kurangkan pencemaran udara


Mohamed NAZARI Jaafar menunjukkan antara muka sistem DIS4CEMS yang digunakan oleh Scienotech untuk mengesan pencemaran udara.


TIDAK boleh menganggapnya mudah atau melihatnya sebagai sesuatu yang remeh kerana fenomena pemanasan global kini semakin mencengkam penduduk dunia.

Akibat fenomena tersebut, suhu bumi menjadi semakin tinggi dan ia tentunya akan menyumbang banyak kesan negatif kepada kehidupan makhluk di muka bumi ini.

Tidak perlu bertanya mengapa perkara tersebut berlaku kerana semuanya berpunca daripada perbuatan manusia sendiri yang tiada rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Secara amnya, pemanasan global berlaku akibat pencemaran udara yang memerangkap gas karbon dioksida, karbon monoksida serta pelbagai lagi gas beracun di dalam atmosfera dan seterusnya membentuk gas rumah hijau.

Kesan rumah hijau tersebut akan menyebabkan haba dari matahari tidak dapat dipantulkan semula ke angkasa sehingga menjadikan suhu bumi terus meningkat.

Mencari penyelesaian kepada masalah itu, pelbagai pihak dan agensi kerajaan mahu pun swasta telah mengambil beberapa langkah proaktif dengan memberi penumpuan kepada aktiviti mengurangkan pencemaran udara.

Antara aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti menjalankan kawalan kualiti pengeluaran asap dari kilang-kilang industri seperti kilang besi, kilang gas serta kilang minyak kelapa sawit.

Untuk tujuan tersebut, sebuah syarikat pembekal peralatan kawalan dan penjagaan alam sekitar berteraskan aplikasi teknologi maklumat, Scienotech Sdn. Bhd. telah tampil dengan penyelesaian efektif.

Mengetengahkan implementasi Sistem Data Antaramuka Kawalan Pengeluaran Asap Secara Berterusan (DIS4CEMS), teknologi tersebut digunakan untuk membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau tahap pelepasan asap kilang dari jarak jauh secara 24 jam dengan kos yang rendah.

Ia telah dibangunkan sejak tahun 2007 oleh seramai lapan orang penyelidik dan mengambil masa selama lebih kurang sepuluh bulan.

Pengerusi Scienotech Sdn. Bhd., Mohamed Nazari Jaafar memberitahu, secara asasnya, sistem berkenaan akan disambungkan secara terus kepada pangkalan data di sesebuah kilang.

''Sistem kawalan dalaman dari kilang akan membekalkan bacaan tahap pelepasan asap dalam format digital.

''Ia seterusnya akan disambungkan sama ada menerusi rangkaian Internet, talian telefon atau GSM kepada sistem JAS untuk pemantauan di peringkat negeri dan akhirnya ke peringkat persekutuan di Putrajaya,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menerusi cara tersebut, tiada lagi pemantauan secara manual perlu dilakukan oleh kakitangan JAS di 13 buah negeri yang melibatkan kos sangat tinggi iaitu antara RM15,000 hingga RM20,000.

Menurut Nazari lagi, secara keseluruhannya, terdapat lebih kurang 40,000 kilang di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 4,000 hingga 5,000 kilang mempunyai corong pengeluaran asap.

''Jika semua kilang ini dilengkapi dengan DIS4CEMS, pemantauan pelepasan asap beracun dapat dijalankan secara menyeluruh,'' jelasnya.

Peringkat awal proses pemantauan akan direkodkan oleh alat sensor yang diletakkan pada corong pengeluar asap di mana segala maklumat akan disalurkan kepada panel kawalan melalui kabel khas.

Laporan pengeluaran asap secara harian, mingguan dan juga bulanan dari setiap kilang itu kemudiannya akan di hantar ke pusat data JAS negeri

Bagi membolehkan sambungan dibuat, setiap kilang akan dilengkapi dengan perisian DIS4CEMS merangkumi antara muka pangkalan data dan juga komunikasi dengan JAS.

DIS4CEMS mempunyai kelebihan dari segi simpanan kapasiti data sehingga lima tahun, dilengkapi dengan peranti pengubah format dari analog ke digital, modem, sambungan Internet, sistem pemerolehan data dan juga kawalan masa sebenar.

Daripada graf yang dipaparkan, maklumat seperti modul laporan, manual pengguna, kawalan sistem, penentuan tahap pelepasan yang dibenarkan serta bacaan digital dapat ditentukan.

Dari segi peralatan pula, DIS4CEMS didatangkan dengan modem, sistem komunikasi pangkalan data MySQL, pemasangan, latihan kepada kakitangan kilang, pendaftaran pengesahan oleh JAS negeri serta jaminan selama tiga bulan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, fokus utama aplikasi DIS4CEMS adalah lebih tertumpu kepada kilang kelapa sawit dengan kos pemasangan antara RM15,000 hingga RM18,000.

Apa yang menarik, sistem berkenaan turut mengetengahkan perisian sumber terbuka untuk kemudahan penggunaan selain tawaran kos yang efektif.

Setakat ini, pihaknya sedang dalam proses melengkapkan kilang-kilang kelapa sawit di seluruh negara dengan sistem tersebut.

Lebih daripada 10 buah kilang di beberapa negeri seperti Perlis, Melaka, Perak dan Johor telah pun dipasang dengan DIS4CEMS.

Malah, pihak Scienotech juga telah menempatkan wakil negeri di Johor, Sabah, Sarawak dan akan datang di negeri Sembilan untuk memberi bantuan pemasangan dan sokongan teknikal.

''Projek pemasangan akan dijalankan fasa demi fasa dan adalah diharapkan menjelang tahun 2010, semua kilang yang mempunyai corong udara akan dilengkapi dengan sistem ini.

''Ramai yang menyalah anggap tujuan pemasangan DIS4CEMS bukanlah untuk menyaman pihak kilang sekiranya mereka mengeluarkan asap beracun berlebihan, tetapi kempen ini sebenarnya lebih merupakan usaha penjagaan kualiti udara,'' katanya.

Selain pemasangan, Scienotech turut menawarkan pakej penyelengaraan untuk sistem berkenaan dengan bayaran sebanyak RM5,000 setahun.

Pakej tersebut merangkumi aktiviti pemeriksaan sistem seminggu sekali menggunakan prosedur jarak jauh, pengemaskinian sistem, sokongan perkhidmatan data, penyelenggaraan perisian serta perkhidmatan bantuan telefon.

Tawaran tersebut adalah bertujuan untuk membantu pihak kilang mengelakkan sebarang bentuk serangan virus serta beberapa masalah komunikasi lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.