saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/07/2009

Perisik dalam Utusan Melayu?

Dia bukanlah suatu nama besar dalam bidang penulisan atau kewartawanan dan tidak pernah terkenal sebagai aktivis politik, tidak pernah menjadi orang penting dalam mana-mana parti politik. Setelah keluar dari tahanan ISA selama dua tahun, dia menjadi seorang peniaga gerai berhampiran Pasar Chow Kit Kuala Lumpur dan secara senyap- senyap kembali menjadi penentang keras UMNO di samping penulis tetap kepada suara rasmi Pas, Harakah sehinggalah dia meninggal dunia pada 14 Ogos 2004.

Saya hanya mulai mengenalinya pada awal tahun 60-an sebagai wartawan Utusan Melayu yang rapat dengan Ketua Penyunting Osman Abadi dan Pengarang Utusan Zaman, Harun Hassan. Keakraban mereka mungkin kerana ketiga-tiga berasal dari Pantai Timur sekalipun tidak sehaluan. Beliau ialah Husin Yaacob seorang yang tampan, bermata berani dan selalu bersemangat tinggi. Saya menjadi rapat dengan Husin kerana kerapatannya dengan Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) seorang wartawan, novelis dan tokoh besar nasionalis Melayu yang ketika itu menjadi Pengerusi Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Socialist Front).

Sebagai wartawan muda yang mengenalinya menerusi tulisannya sejak di bangku sekolah, maka saya ingin merapati Pak Sako menerusi Husin. Selepas kerja, pada malam hari saya kerap mengikuti Husin menemui Pak Sako dan kemudian mengekori mereka merayap di kota raya Kuala Lumpur tanpa arah. Ketika itu Malaysia sedang menghadapi konfrontasi Indonesia.

Yang sering menjadi tempat pertemuan kami ialah New Hotel Jalan Raja Muda. Hotel ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana di sinilah juga pemimpin-pemimpin terkemuka UMNO sering tinggal masa sebelum merdeka. Ia dianggap sebagai hotel "bersih" dibandingkan dengan hotel di sekitarnya yang menjadi sarang pelacur.

Suatu malam saya mengekori mereka ke taman hiburan BB Park Bukit Bintang yang merupakan satu-satunya taman hiburan bersepadu di Kuala Lumpur pada masa itu di mana terdapat sebuah kelab malam, joget moden, perjudian (bola tarik), kereta laga dan sebagainya.

Ketika berada dalam teksi, Pak Sako meminta supaya pemandunya melalui jalan jalan yang bukan laluan biasa dari Chow Kit menuju Bukit Bintang tetapi memasuki jalan-jalan belakang yang tidak terus ke BB Park. Saya tidak mengesyaki sesuatu apabila beliau menyatakan bahawa "ada orang ikut".

Di BB Park, Pak Sako hanya berpeleseran, membeli belon dan memberikan kepada anak-anak yang ditemuinya. Beliau lebih bersifat pemerhati daripada peserta di kelab malam, di tempat perjudian dan sebagainya.

Melihat saya sering keluar dengan Husin, Ketua Pengarang Utusan Melayu, Melan Abdullah (popular dengan panggilan Pak Melan) mengingatkan saya supaya jangan terlalu rapat dengan Husin tetapi Pak Melan tidak pernah memberikan sebabnya dan Pak Melan sendiri tidak pernah menunjukkan rasa tidak senangnya dengan Husin. Maka itu saya tidak faham kenapa.

Saya sering juga tidur di hotel dengan Husin kerana hendak mengelakkan daripada ditangkap khalwat. Ketika itu, saya berkongsi dengan seorang kawan dari Kedah menyewa sebuah bilik di tingkat atas sebuah kedai berderet di Jalan Sungai Besi berhampiran dengan Pejabat Utusan Melayu Jalan Chan Sow Lin.

Rakan saya ini selalu didatangi oleh seorang rakan wanitanya. Pada suatu malam dia datang dan tidak mahu pulang dan apabila disuruh pulang dia mahu terjun dari tingkat atas bilik kami. Ini menjadi masalah kepada saya kerana ketika itu pula Ustaz Dahlan dan Kadi Besar Kuala Lumpur Haji Arshad Masjuri aktif menangkap dan menghukum pasangan khalwat yang sering menjadi berita utama yang melariskan akhbar-akhbar Melayu. Seorang pemberita Berita Harian yang tugas utamanya meliputi kes khalwat telah dipanggil Osman Khalwat.

Sejak malam itu saya jarang pulang ke rumah dan sering menumpang di rumah kawan-kawan. Jemputan Husin pada suatu malam untuk bermalam bersamanya di hotel adalah ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

mengesyaki

Bagaimanapun pada suatu malam sebelum ke sebuah hotel di Jalan Chow Kit, Husin meninggalkan saya berjam-jam lamanya di sebuah kedai kopi kerana dia pergi menemui kawan di sebuah hotel. Dia memberitahu saya sekejap sahaja. Saya masih tidak mengesyaki sesuatu tetapi rasa serik untuk mengikutinya lagi.

Di pejabat Husin dikenali sebagai seorang yang selalu mempunyai wang dan menjadi tempat untuk kawan-kawan meminjam bila keputusan wang sebelum hari gaji. Husin menjual batik Indonesia di dalam pejabat maka itu tidak hairanlah beliau banyak wang tetapi apabila pada suatu hari Harun Hassan secara berseloroh mengatakan padanya, " Husin engkau dapat wang Indonesia ke?" Husin yang tiba tiba nampak tidak senang menjawab, " Eh... Haron jangan main-main."

Kepada rakan-rakan pejabat, beliau tidak menunjukkan sikapnya yang pro Indonesia tetapi setelah tersiar tulisan saya mengenai ucapan Duta Indonesia. Jeneral Jatikusomo kepada pelajar pelajar Universiti Malaya, Husin Yaacob memberitahu saya bahawa Kedutaan Indonesia menjemput saya ke majlis makan malam di Le Coq d' or satu satunya tempat makan yang dianggap eksklusif dan berprestij di Jalan Ampang Kuala Lumpur pada masa itu.

Dalam buku catatan harian saya 1963, tercatat jamuan itu diberikan oleh Drs J. Muzhar Atase Penerangan Kedutaan Indonesia pada malam 4 Disember dengan turut dihadiri oleh beberapa orang lagi wartawan Utusan iaitu Rashid Muhammad (Adi Mas), Penyunting Utusan Zaman dan Pengarang Meja Luar Negara, Abdul Rahman Rahim (bapa kepada Agus Salim pemain bola sepak terkenal tahun 60-an), Selain daripada itu ialah Wahab Majid, wartawan akhbar Cina, Nanyang Siang Pau (beliau menulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke Mandarin) dan Samani Mohd Amin dari Berita Harian.

Turut serta ialah pegawai-pegawai dari Kedutaan Indonesia. Antaranya ialah Mokhtar Yamin dan R.M Joenita. Saya tidak ingat nama beberapa orang lagi.

Setelah selesai makan malam, seorang pembantu restoran itu datang membawa bil kepada Drs Muzhar yang ketika itu berada di tangga restoran untuk pulang dalam keadaan mabuk. Muzhar mencampak bil itu tanpa menyelesaikannya.

Sebelum majlis jamuan itu, Husin telah pun memberitahu saya bahawa Kedutaan Indonesia gembira dengan laporan saya di Utusan mengenai ucapan Jatikusomo di Universiti Malaya dan mereka mahu menjemput saya makan.

Antara lain, ucapan Jatikusomo itu telah menyindir Malaysia kerana mengamalkan kapitalisme atau dasar pasaran terbuka. Bayangkan katanya, "Indonesia mempunyai rakyat lebih 100 juta orang. Berapa juta ketul sabun Lux boleh dijual di Indonesia jika kilangnya dibenarkan didirikan di negara itu, tentulah boleh mengkayakan pengusahanya". Ketika beliau berucap beberapa orang mahasiswa telah mengeboonya dan membaling kapal terbang kertas kepadanya.

Berikutan dengan itu, Syed Jaafar Albar wakil Perikatan dari Johor Tenggara telah menyeru dalam Parlimen pada 27 Mei supaya kerajaan mengambil perhatian berat terhadap sebuah rencana yang ditulis oleh saya yang tersiar di Utusan Zaman mengenai kegiatan Duta Besar Indonesia itu.

Pada 28 Mei, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberitahu Parlimen bahawa beliau berharap akan menyelesaikan masalah kegiatan Jatikusomo yang dikatakan merbahaya kepada ketenteraman dalam negeri apabila beliau berunding dengan Sukarno di Jakarta pada 2 Jun 1963.

Saya hanya mulai memisahkan diri dengan Husin apabila beliau menjadi begitu marah kerana pada suatu hari saya telah mengecam keras Presiden Sukarno yang menghina lagu kebangsaan Negaraku di dalam suatu majlis meraikan wartawan wartawan yang menghadhiri Persidangan Wartawan Afro Asia di Jakarta pada 24 April 1963.

Sukarno telah menyanyikan lagu Negaraku sebagai lagu Indonesia Terang Bulan. Rombongan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang diketuai oleh presidennya, Rosedin Yaacob dari Utusan Melayu telah bertindak keluar dari majlis itu. Sebelumnya ketibaan rombongan ini di Jakarta telah disambut dengan sepanduk Ganyang Malaysia.

Apabila saya mengecam perbuatan Sukarno itu, Husin tiba-tiba tidak dapat mengawal perasaannya dan dengan bengis berkata pada saya, "Mulai hari ini darah you halal aku makan". Saya terkejut dan amat tersinggung dan sejak itu menjauhkan diri daripadanya.

Lebih setahun kemudian Husin Yaacob telah ditangkap di Ibu Pejabat Utusan Melayu Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur. Saya tidak ada di pejabat ketika penangkapan itu berlaku pada suatu petang. Menurut cerita kawan-kawan apabila anggota-anggota polis bahagian khas datang untuk menangkapnya, Husin telah lenyap dan Pak Melan menyangka dia mempunyai ilmu dapat menghilangkan diri tetapi setelah lama di cari, dia ditemui sedang tidur di surau Utusan.

tangkapan

Berita mengenai tangkapannya itu tersiar dalam Utusan Melayu keluaran 26 Mei 1965. Turut ditangkap bersamanya ialah Datuk Raja Abu Hanifah Pengarah Pilihan raya Pas, Dato Kampo Rajo Bendahari Agung Barisan Sosialis dan pemimpin Parti Perhimpunan Kebangsaan, Aziz Ishak. Mereka dituduh hendak menubuhkan kerajaan buangan Malaya di Pakistan.

Aziz ialah bekas wartawan Utusan Melayu yang pernah menjadi Menteri Pertanian dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Allahyarham adalah adik kepada Pengasas Utusan Melayu Yusoff Ishak yang menjadi Presiden Singapura yang pertama. adiknya Rahim Ishak juga pernah menjadi menteri dalam kabinet Singapura dan sebelumnya juga menjadi wartawan Utusan Melayu.

Aziz Ishak telah menempah namanya dalam dunia kewartawanan dengan keberaniannya mendedahkan Raja Melayu yang tidak berpuasa semasa menghadiri Majlis Pertabalan Queen Elizaberth di London pada tahun 1955 dan juga kerana dipanggil sebagai wartawan tikus oleh Jeneral Templer Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya berikutan dengan laporannya itu.

Aziz terkenal dengan tindakan pro rakyat semasa menjadi Menteri Pertanian dengan mengemukakan projek kilang baja Urea yang tidak dipersetujui oleh kerajaan dan menukarkan nama Sekolah Umum kepada Sekolah Kebangsaan apabila beliau diberikan kesempatan untuk memangku Menteri Pelajaran dari Mohd Khir Johari.

Telah ditahan lebih dahulu dalam masa Konfrontasi ialah Presiden Pas, Dr. Burhanuddin Helmy, Ketua Parti Rakyat Malaya Ahmad Boestamam dan Pengerusi Barisan Sosialis (Pak Sako).

Setelah dibebaskan dari tahanan ISA dua tahun kemudian, Husin datang ke Utusan Melayu dan menemui saya. Dia bercerita, "Engkau tahu Zam, malam engkau tidur dengan aku di hotel, aku telah letakan di bawah tilam engkau AS$30,000." Wang itu adalah untuk diberikan kepada Parti Rakyat dan juga Pas bagi menghadapi pilihanraya 1964.

Menurut ceritanya sendiri, Husin telah pergi mengambil wang itu di laut berhampiran dengan Changi Singapura dan terpaksa mengharungi air untuk membawanya pulang ke pantai kerana beliau diberikan maklumat yang silap tentang air pasang dan surut.

Cerita Husin kepada saya menyedarkan saya betapa saya telah terlepas dari bahaya besar. Jika polis menangkap Husin pada malam saya bermalam dengannya di sebuah hotel, tentulah saya juga akan ditahan di bawah ISA.

Mendengar ceritanya, maka saya baru menyedari mengapa setiap kali wartawan Utusan di Ibu Pejabat menerima kiriman berita pendaratan gerila Indonesia di Labis dan Pontian menerusi telefon, Husin akan berada di samping wartawan yang sedang mengambil berita itu untuk membaca berita yang sedang diterima. Ada kalanya dia tidak sabar dan terus bertanya berapa ramai mendarat, berapa mati dan sebagainya.

Sah Husin Yaacob adalah salah seorang sayap kelima Indonesia di Malaysia yang berlindung di Utusan Melayu tetapi dia tidak melakukan ini kerana wang tetapi kerana dia berada di dalam kepercayaan yang sama dengan nasionalis- nasionalis kiri Melayu lainnya seperti Dr.Burhanuddin, Ahmad Boestaman dan Pak Sako yang percaya bangsa Melayu dapat diselamatkan menerusi penyatuan Indonesia-Malaya di bawah konsep Nusantara.

Setelah dibebaskan dari tahanan ISA, semangat Husin ternyata tetap tidak patah, Dia menubuhkan penerbitannya sendiri Pustaka Gunung Tahan yang menerbitkan novel politik. Antara lain pada 1967 menerbitkan dua buah novel Ahmad Boestamam mengenai tahanan politiknya berjudul Api dan Air Mata dan Api Itu Masih Membara. Husin telah menghadiah novel ini kepada saya.

Penerbitan novel ini menunjukan bahawa semangat perjuangan Husin Yaacob tetap kental dan tetapi mempunyai perasaan yang kuat terhadap nasionalis Melayu dalam Parti Rakyat dan juga Pas. Beliau terus menjadi pengkritik kerajaan menerusi kolum tetapnya di suara rasmi Pas, Harakah dengan memakai nama Ibnu Muslim.

Pada akhir tahun 50-an pembaca Utusan Melayu banyak mendapat berita mengenai perjuangan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) dan pembunuhan ulama-ulama besar Islam di Pattani Selatan Thai termasuk ulama tersohor Haji Sulung yang jenazahnya dicampakkan ke laut Songkhla. Semua berita ini adalah berpunca dari Husin dan dibesarkan oleh akhbar Utusan Melayu yang tidak menyenangkan kerajaan Tunku Abdul Rahman pada masa itu.

Di sebalik kegiatannya yang tersembunyi, Husin tetap bersifat sebagai seorang wartawan yang suka bercerita segala-galanya kepada rakan wartawannya tetapi saya hanya sempat makan malam bersamanya sekali sahaja di Bombay Restaurant di Jalan Tun Razak sebelum dia meninggal dunia beberapa tahun kemudian. Maka itu ceritanya kepada saya mengenai penglibatannya dengan konfrontasi Indonesia tidak dapat saya tulis dengan selengkapnya.

Catitan:

Abdul Wahab Majid bekas watawan akhbar Nanyang Siang Pau pernah menjadi Setiausaha Akhbar Kepada Perdana Menteri Allahyarham Tun Hussein Onn dan juga kepada Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Dato' Rosedin Haji Yaacob bekas wartawan Utusan Melayu menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris mulai tahun 1970 dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari 1974 hingga 1982. Beliau adalah bekas anggota API (Angkatan Pemuda Insaf) pimpinan Ahmad Boestamam semasa sebelum merdeka dan diambil bekerja dengan Utusan Melayu oleh Aziz Ishak, wakil Utusan Melayu di Kuala Lumpur selepas beliau dibebaskan daripada tahanan British kerana gerakan politiknya. Beliau sekarang tinggal di Kampung Puah, Gombak, Selangor.

Minggu depan: Sukarno jatuh hati dengan gadis Malaysia.

Zainuddin Maidin ialah bekas

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

e-mel: [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.