saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 26/07/2009

Menyelamatkan nyawa penerima organ


HAFIZAM mendermakan sebahagian hatinya sepuluh tahun lalu demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak.


SEPULUH tahun lalu, ia menjadi isu hangat apabila seseorang jejaka bertekad menggadaikan nyawanya demi seorang pesakit kanak-kanak.

Ketika itu, ramai yang tertanya kenapa jejaka ini sanggup mendermakan hatinya. Walhal dia masih muda ketika itu.

Bahkan pada masa itu ramai yang mengatakan dia gila kerana menderma kepada orang yang tiada pertalian saudara.

Keikhlasan hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 34 sedekad lalu seharusnya menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ternyata keputusan Hafizam menderma sebahagian hatinya kepada seorang kanak-kanak, Mohd. Afiq Ikmal Muhammad Zaini memberi sinar baru kepada keluarga Afiq.

Cerita Hafizam ketika ditemubual baru-baru ini, dia masih boleh meneruskan kehidupan tanpa masalah.

Kini dia ditugaskan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melatih kuda dan menjadi tenaga pengajar kepada sesiapa yang berminat menunggang haiwan.

Anak kelahiran Changlun, Kedah yang pernah bekerja sebagai tukang masak di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga memiliki perniagaan sendiri, Elmina Equestrian di Sungai Buluh, Selangor.

" Memang kehidupan saya berbeza untuk tempoh sepuluh tahun ini. Setakat ini saya tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius. Bahkan saya masih mampu melakukan aktiviti menunggang dan melatih kuda," katanya yang mengakui hubungan Hafizam dan Afiq ternyata tidak pernah putus. Ini kerana hubungan penderma dan penerima tetap akan ada.

Ditanya tentang pengalamannya menderma organ, Hafizam mengakui persediaan fizikal dan mental perlu ada dalam diri seseorang.

"Bagi mereka yang ingin menderma organ, golongan ini perlu tahu apa yang mereka buat.

Macam saya sendiri, saya tanya kawan, doktor, membaca buku serta artikel tentang derma organ mengambil kira pandangan Islam. Malah, saya mengkaji fatwa tentang situasi mengharuskan atau mengharamkan derma organ. Saya juga melakukan senaman dan berehat agar memperolehi ketenangan sebelum menderma. Ketika itu, saya tenangkan jiwa dengan menaiki motosikal," katanya yang memulakan pendermaan dengan derma darah.

Hafizam menasihatkan orang ramai agar melakukannya dengan ikhlas kerana sebagai manusia, kita tidak akan tahu apa yang terpaksa ditanggung atau jaminan kesihatan pada masa akan datang.

Hafizam menggalakkan agar kempen pendermaan organ dilakukan lebih luas seperti kempen kesihatan yang lain.

Kisah Hafizam merupakan cebisan senario penderma organ. Ia menjadi pemangkin kepada fenomena ini agar bekalan organ kepada pesakit yang memerlukan tidak terputus. Tidak kira menderma semasa hayat atau sebaliknya, ia memberi impak kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

Hafizam mungkin bertuah kerana keluarganya sentiasa memberi sokongan walaupun pada awalnya agak sukar menerima keputusannya menderma hati.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang dihalang oleh keluarga untuk menderma organ terutamanya selepas seseorang itu meninggal dunia?

Halangan keluarga

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan organ, Tan Sri Datuk Lee Lam Thye, isu halangan keluarga menjadi faktor paling mencabar dalam senario kempen pendermaan organ di Malaysia.

"Pernah berlaku ketika hendak ambil organ si anak untuk didermakan kepada pesakit yang memerlukan, ibu bapa penderma berubah fikiran. Kata mereka, anak mereka menandatangani kad pengikrar pendermaan organ tanpa mendapat keizinan mereka. Apa kita nak kata?" katanya pada kursus Promosi Pendermaan Organ Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Masih ada stigma dan ketakutan di kalangan ahli keluarga walaupun di Malaysia semua agama mengizinkan pendermaan organ, termasuk Islam. "Memang sukar untuk memastikan pengikrar organ benar-benar mampu mendermakan organ mereka apabila tiba masanya.

Ini kerana kebanyakan pengikrar tidak memberitahu ahli keluarga mengenai niat mereka. Sebab itulah sering timbul kes keluarga menjadi halangan kepada proses pendermaan organ," jelasnya.

Mengambil contoh kes Teh Hui Yee dua tahun lalu yang bergantung pada jantung mekanikal diberi publisiti meluas oleh media, peningkatan pengikrar organ begitu mendadak selepas itu.

Dalam tempoh dua minggu terakhir jantung mekanikal Teh Hui Yee akan berakhir, 25 orang menderma organ. Daripada jumlah itu, lima merupakan orang Melayu.

Menurut Ketua Koordinator Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Lela Yasmin Mansor, daya ingatan warga Malaysia tidak lama. Hanya pada ketika itu berlaku peningkatan mendadak, namun ia kembali suram walaupun berlaku satu dua peningkatan.

Dr. Lela menjelaskan senarai penerima organ semakin panjang.

Jika dulu kebanyakan penerima organ bertumpu pada masalah jantung, injap jantung atau paru-paru, kini keperluan itu bertambah seiring perubahan gaya hidup.

"Isu ini bukan isu perdagangan. Kita tidak memperdagangkan organ. Ia adalah usaha menyelamatkan nyawa. Misalnya, saban tahun kes kematian disebabkan kemalangan jalan raya antara 6,000 ke 7,000 setahun, jika setiap warga adalah pengikrar, banyak nyawa yang boleh diselamatkan," ujarnya.

Secara umum, seramai 1,000 warga Malaysia menjadi pengikrar.

Bagaimanapun, hendak menjadikan pengikrar itu penderma masih menjadi satu cabaran.

"Kesedaran di kalangan masyarakat masih ada tetapi ia berkurangan. Misalnya pada tahun 1975 hingga 2008 kita sudah melakukan 1,264 pemindahan ginjal.

Kesedaran perlu ditingkatkan terutama di kalangan ahli keluarga pengikrar kerana senarai penderma kardaverik tidak sepadan dengan senarai menunggu. Sehingga pertengahan bulan ini, 17 organ sudah diderma dan dalam tempoh dua minggu cuti persekolahan lalu, lima orang pengikrar menjadi penderma dengan kebanyakan organ yang diambil ialah ginjal, injap jantung, hati, mata dan tulang," jelasnya.

Aliran turun naik pengikrar organ memang jelas. Misalnya ia meningkat pada 2000, iaitu tahun awal daftar pengikrar organ dibuka menyaksikan 16,625 pengikrar dicatatkan. Namun, untuk tahun lalu hanya 10,142 pengikrar direkodkan.

Secara keseluruhan, jumlah pengikrar sejak 1997 hingga Mei 2009 di Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan pengikrar penderma organ berdaftar seramai 128,556 orang. Daripada jumlah itu, 57 peratus berketurunan Cina, India (23.4 peratus), Melayu (14 peratus) dan tiga peratus kaum lain. Selangor mencatatkan negeri pengikrar tertinggi dengan 20.22 peratus, diikuti Johor 16.7 dan Pulau Pinang 14.7. Wanita adalah pengikrar paling tinggi iaitu 54.16 peratus dan lelaki pula 45.13 peratus, manakala selebihnya tidak menyatakan jantina.

Manakala jenis organ dan tisu yang diikrarkan untuk diderma oleh pengikrar menunjukkan 70.1 peratus daripada pengikrar berhasrat untuk mendermakan semua organ dan tisu badan diikuti 20.9 peratus kombinasi organ dan tisu dan sembilan peratus bagi setiap satu jenis organ atau tisu (kornea, buah pinggang, jantung, peru-paru, hati, tulang, kulit dan injap jantung).

Bagaimanapun, daripada jumlah keseluruhan pengikrar, bilangan penderma sebenar kardaverik jauh berbeza. Misalnya, sehingga Mei tahun ini, hanya 14 penderma organ dicatatkan. Tahun lalu, 23 orang penderma kardaverik direkodkan dengan 34 kornea didermakan, 24 buah pinggang, 11 injap jantung, empat hati dan tiga set tulang. Ia menjadikan bilangan penderma kardaverik dari 1976 sehingga November 2008, seramai 229 orang.

Berdasarkan kepada perangkaan berkenaan, negara memerlukan lebih ramai penderma organ bagi membantu mereka yang memerlukannya. Salah satu usaha yang dapat kita laksanakan adalah menggalakkan lebIh ramai anggota masyarakat untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.