saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/07/2009

Estet mahu tarik peminat filem Tamil


FARID Kamil (kanan) dan Jasmine Michael merupakan tunjang utama filem Estet.


BUKAN mudah untuk membikin sebuah filem Melayu yang mampu menarik perhatian penonton pelbagai kaum, termasuklah kaum India dan juga peminat filem Tamil di negara ini.

Justeru, menerusi filem terbaru atau kelapan arahan Mamat Khalid yang berjudul Estet, beliau bukan setakat menyasarkan kalangan penonton Melayu menonton karyanya itu.

Sebaliknya, pengarah filem berasal dari Ipoh, Perak ini berharap agar kaum lain terutamanya India juga akan tertarik apabila menonton Estet di pawagam kelak.

Bagi menjayakan formula itu, Mamat antaranya menyelitkan dialog-dialog dalam bahasa Tamil dalam Estet selain menampilkan ramai pelakon kaum India menerusi filem tersebut.

"Sebanyak 20 peratus dialog dalam Estet menggunakan bahasa Tamil, tetapi kita ada sediakan sarikata dalam Bahasa Melayu. Sementara 80 peratus lagi dialog dalam Bahasa Melayu," jelasnya.

Mamat juga menampilkan ramai pelakon kaum India seperti Jasmine Michael dan Sashi Tharan yang begitu masyhur di kalangan kaum India di negara ini.

"Menerusi pendekatan ini saya harap Estet bukan sahaja akan ditonton oleh Melayu tetapi juga kaum India," katanya kepada Hits selepas penggambaran klip video Ayuh Kawan.

Penggambaran klip video yang dipetik daripada jalan cerita Estet itu diadakan di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Selain menyelitkan dialog Tamil dan pelakon India, Mamat juga akan mempromosikan Estet kepada kalangan kaum India termasuklah turun padang hingga ke kawasan-kawasan estet.

"Saya yakin dengan adanya pendedahan seperti ini, lebih ramai kaum India akan menonton Estet. Apatah lagi, pelakon seperti Shashi Tharan merupakan pelakon India yang popular.


PARA pelakon dan krew Estet turut dijayakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah Melayu, India dan Cina.


"Populariti Shashi Tharan sama dengan pelakon Rosyam Nor. Malah, Estet juga menampilkan penampilan istimewa Datuk David Arumugam (penyanyi Alleycats)," ujarnya.

Filem terbitan Naga VXS Sdn. Bhd. itu kata Mamat, antara percubaannya bagi mencari formula menghasilkan sebuah filem yang mampu ditonton oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Apatah lagi katanya, Estet yang mengisahkan corak kehidupan masyarakat di kawasan estet itu juga diterbitkan sesuai dengan kempen 1Malaysia yang kini dipromosikan oleh kerajaan.

"Filem ini secara tidak langsung menyahut cabaran kerajaan yang mahu menjayakan misi 1Malaysia. Saya yakin inspirasi itu ada dalam Estet dan ia boleh membantu menjayakan misi itu.

"Sebanyak RM1.5 juta kos pembikinan filem ini datangnya daripada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Ini duit rakyat. Jadi filem ini adalah untuk mereka," jelasnya.

Estet yang menjalani penggambaran di Padang Rengas, Perak dan menelan kos produksi RM1.95 juta juga menampilkan banyak elemen penggunaan imej janaan komputer (CGI).

Kata Mamat, sebanyak 33 minit daripada durasi filem ini menggunakan teknik CGI yang mengambil masa enam bulan pembikinannya di mana ia mampu menambah tarikan dalam filem tersebut.


DAVID Arumugam (kanan) menerima arahan daripada Mamat Khalid sewaktu di lokasi penggambaran Estet, baru-baru ini.


"Kesemua unsur tarikan yang saya muatkan dalam Estet secara tidak langsung adalah gabungan idea dan pengalaman saya dalam kesemua filem arahan saya sebelum ini," katanya.

Selain Estet, Mamat pernah mengarahkan filem Lang Buana, Rock, Man Laksa, Tipah Tertipu The Movie, Zombie Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang dan Puteri Gunung Ledang (pengarah bersama Saw Teong Hin).

Sementara itu, David Arumugam ketika ditemui di lokasi penggambaran klip video Ayuh Kawan turut teruja dengan kemunculan Estet yang merupakan filem pertama lakonannya.

"Saya terima berlakon dalam filem ini atas jemputan Mamat. Walaupun tidak pernah berlakon, Mamat banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Watak saya dalam filem ini sebagai seorang peniaga kedai runcit di sebuah estet sesuai dengan saya. Apatah lagi, kebanyakan dialog watak lakonan saya juga dalam bahasa Tamil.

"Saya yakin filem ini bukan sahaja mampu menarik peminat filem Melayu tetapi ramai juga orang India yang akan menontonnya kelak. Bagi saya, ada banyak unsur perpaduan dalam filem ini," komennya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.