saya nak baca ..

FEMININ


ARKIB : 03/08/2009

Tudung Fareeda merentasi UK dan Qatar


Pelbagai jenis tudung memenuhi pasaran semasa.


JAM menunjukkan pukul 3 pagi. Bunyi mesin jahit elektrik yang telah berjam-jam menjalankan fungsinya tanpa henti-henti sejak siang semalam memecah kesunyian pagi.

Tanpa menghiraukan hari sudah menjangkau subuh, Faridah Zakaria, 41, meneruskan kerja-kerjanya iaitu menyiapkan tempahan tudung yang sedang ditunggu oleh pengedar-pengedarnya di seluruh Malaysia.

Beliau yang hanya melelapkan mata kira-kira dua tiga jam sahaja sehari segera bingkas bangun untuk menyiapkan anak-anak yang akan ke sekolah dan suami yang akan ke tempat kerja.

Selesai sahaja mengemas dan menyiapkan anak-anak yang masih kecil, Faridah mencapai semula fabrik-fabrik yang bertaburan di lantai rumahnya untuk dijahit.

Itulah rutin hari-harinya selama hampir dua bulan ketika baru sahaja berpindah dari Bukit Mertajam ke Bangi, tanpa pembantu rumah dan tukang jahit. Semuanya harus dilakukan sendiri, dari memotong sehingga menjahit.

Pada waktu itu, dengan keupayaan dua mesin jahit iaitu satu untuk jahit tepi dan satu untuk jahit biasa, Faridah bertungkus lumus bagi merealisasikan impiannya untuk berjaya dalam industri pembuatan tudung.

Pada waktu itu, dirasakan hari begitu pendek untuk menyiapkan tudung-tudung yang tiba-tiba meledak permintaannya seperti bom tanpa sebarang isyarat.

''Saya hingga demam dan tidak keruan ketika itu, beratus-ratus tempahan diterima. Mana nak jaga anak, mana nak urus rumah, mana nak jahit, mana nak layan pelanggan dan pengedar yang datang ke rumah, semuanya membuat saya bingung.

''Saya mengambil keputusan meredah kampung-kampung di sekitar Kajang dan Bangi untuk mencari tukang jahit dan anak-anak pula dihantar ke taska. Inilah sahaja yang boleh membantu saya menyiapkan tudung.

''Walaupun kasihan melihat anak-anak dipelihara oleh penjaga taska. Namun itu buat sementara sahaja dan alhamdulillah, berkat kesabaran dan usaha saya, walaupun masih melakukan kerja-kerja asas seperti memotong dan menjahit, tetapi ringanlah sedikit sebab telah mempunyai 24 orang pekerja dengan dua bengkel di Kajang dan Bangi serta premis asal iaitu rumah saya di Bangi.

''Mesin jahit juga telah bertambah dan syukur pengeluaran tudung menepati tempahan yang diterima. Buat masa ini, seorang pekerja boleh menyiapkan hampir 30 helai tudung,'' kata pemilik House of Scarf ketika ditemui di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Menggunakan nama-nama indah seperti Suraiya, Raihanah, Fareeda, Rania, Malaeka, Sofiya dan Maisarah, tudungnya laris seperti goreng pisang panas. Kecantikan, kehalusan dan keayuan apabila memakainya pasti membuat seseorang tidak tidur malam sekiranya tidak memilikinya.

Wanita ini seharusnya berbangga kerana Fareeda House of Scarf baru menyambut kelahirannya setahun tetapi telah berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa sehingga dilihat satu ledakan di kaca mata wanita bertudung dan premis-premis perniagaan tudung di seluruh negara.

Paling membanggakan, jenama Fareeda telah menembusi United Kingdom, Qatar dan Singapura selain mempunyai 150 pengedar di seluruh negara. Fareeda House of Scarf merancang untuk memperbanyakkan lagi pengedar di luar negara kerana yakin tudungnya mendapat tempat di hati masyarakat di sana.

Anak kelahiran Singapura dan dibesarkan di Pulau Pinang merasai pengorbanannya selama ini iaitu sanggup bersengkang mata bersendirian hingga ke subuh menyiapkan tudung-tudung ketika ketiadaan pekerja pada awal pembabitannya dalam bidang ini setahun yang lalu, memberi pulangan yang berbaloi.

Dengan pendapatan hampir mencecah lima angka sebulan, Faridah mensyukuri rezeki yang diberi.

''Saya harus berterima kasih dengan suami, anak-anak yang juga sanggup berkorban demi perniagaan ini dan tidak lupa kepada individu yang membantu dalam pelbagai," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana beliau boleh terlibat, Faridah memberitahu, semuanya bermula sebagai pengedar tudung untuk sebuah syarikat, namun melihat permintaan terhadap produk ini sungguh memberangsang terutamanya di kalangan wanita yang menutup aurat beliau memberanikan diri dalam penciptaan dan pemasaran produknya sendiri.

Tudung Dubai

Menurut Faridah, perniagaan tudung rekaan sendiri ini adalah hasil idea suaminya, Aminuddin Basirron yang melihat saya mengedar pelbagai jenis tudung seperti Tudung Dubai dan lain-lain untuk dipasarkan di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

''Justeru itu, suami mengesyorkan supaya saya mereka sendiri tudung seakan-akan Tudung Dubai tetapi diubahsuai sedikit kerana saya memiliki kemahiran menjahit. Ditambah pula, saya sering mendapat aduan daripada pelanggan yang menyatakan Tudung Dubai yang tidak selesa terutama di bahagian leher dan kepalanya tidak dijahit sekali.

''Maka dengan itu, pelanggan telah menanyakan sama ada saya boleh membuat sesuatu tudung yang lebih mudah dipakai dan ringkas. Sehubungan itu, saya pun membuat beberapa penyelidikan dan akhirnya terciptalah Tudung Fareeda yang mana kepalanya dijahit sekali dan hanya perlu dililit dan dipin, sungguh mudah dan cepat,'' katanya yang mengeluarkan hampir RM10,000 nilai fabrik untuk membuat tudung dalam seminggu, tidak termasuk benang.

Beliau banyak menggunakan kain seperti sifon Itali, lycra, beaded sequin, dope dyed, opal, organza, kasibo, sifon berbatu dan sutera. Kebanyakan material itu diimport dari Itali, Korea dan Perancis.

Ujarnya yang pernah mengusahakan sebuah salon kecantikan suatu waktu dahulu, terdapat lima jenis Tudung Fareeda sama ada selendang atau bersarung iaitu sulam berbunga, sarung bercorak, berbutang, berbatu, dwi ton, tiga ton, kain kosong, bermanik, bersulam dan berlapis dua, sifon batik.

Ia turut mendapat tempat untuk dipasarkan di gedung tekstil sutera terkemuka bermula Julai ini. Sebanyak 500 helai tudung harus disediakan setiap minggu bagi ditempatkan di 14 buah cawangan gedung tekstil itu di seluruh negara.

Dalam pembuatan tudung ini, Faridah sering menekankan mengenai kualiti dan pemilihan fabrik.

''Saya banyak menggunakan sifon Itali dan kain berkualiti tinggi. Itulah keistimewaan yang terdapat pada tudung Fareeda, selain ciri-ciri khas seperti piping, jahit tepi berbiku dan awning penuh.

''Setiap tiga bulan juga, gaya-gaya terbaru akan dikeluarkan bagi memberi nafas baru kepada pembeli,'' katanya.

Ditanya mengenai pesaing, beliau dengan penuh yakin menjawab: "Lebih ramai pengeluar tudung lebih baik, ia adalah persaingan yang sihat tetapi saya yakin dengan produk ini mampu bersaing dengan yang lain kerana ciri-ciri istimewanya yang membuat pembeli terpaut sekiranya seseorang itu mementingkan kualiti.''

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.