saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/08/2009

Malek kini usahawan berjaya


WAJAH TERBARU MALEK RIDZUAN.


KEHADIRANNYA dalam bidang seni suara pada awal 1980-an memang cukup meninggalkan kesan di hati para peminatnya terutama mereka yang sedang putus cinta.

Betapa tidak lagu popularnya, Cukup Sampai Di Sini yang dimuatkan dalam album keduanya, Dendang Nasihat Untukmu benar-benar membuatkan mereka yang patah hati atau kecewa merenung diri sejenak sambil berfikir secara rasional apa yang terjadi.

Kerana lagu itu juga, Datuk Malek Ridzuan, 51, muncul sebagai salah seorang penyanyi yang cukup masyhur sebaris dengan penyanyi-penyanyi lain seperti Jamal Abdillah, Razis Ismail dan Ibnor Riza.

"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah menyangka lagu itu boleh jadi popular. Ini kerana, sebelum ini album pertama saya Di Manakah gagal mengangkat nama saya dalam bidang seni.

"Barangkali, seperti kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Meskipun album pertama tidak begitu menyerlah, album kedua dengan lagu tersebut benar-benar melonjakkan nama saya," cerita Malek mengimbas kenangan silam pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Sejak kejayaan album kedua terbitan Life Records dengan lagu popular itu, bukan sahaja nama Malek meniti di bibir para peminatnya malah undangan mengadakan persembahan juga tidak pernah kering.

"Ketika itu pendapatan saya sangat mewah. Ada ketika, dalam seminggu sekurang-kurangnya saya menerika empat undangan mengadakan persembahan. Alhamdulillah semua itu rezeki anak-anak," katanya lagi.

Lebih sedekad juga Malek aktif dalam gelanggang seni.

Bagaimanapun, seiring perubahan masa, Malek tidak ketinggalan membuat keputusan untuk berehat dari dunia hiburan pada tahun 1991 selepas muncul dengan album ketujuhnya, Maafkan Ku Kasih.

Kehilangannya tanpa khabar berita membuatkan ramai yang tertanya-tanya, cuma baru-baru ini kelibatnya sering terlihat di Kompleks Wilayah, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menjawab persoalan mengenai kehilangannya itu, Malek memberitahu, dia lebih senang memberikan tumpuan bidang perniagaan.

Sebetulnya kata Malek, semasa bergelar penyanyi, dia sudah pun menceburi bidang perniagaan.

"Saya tubuhkan syarikat pelancongan yang mengendalikan pakej Umrah dan lain-lain destinasi.

"Hampir lima tahun saya usahakan syarikat ini dan setelah berjaya saya ceburi pula perniagaan menyediakan limosin untuk hotel-hotel dan para kenamaan yang memerlukan," rancak Malek bercerita mengenai lapangan perniagaan yang kini menyumbang kepada pendapatan utama beliau.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan persaingan yang sengit, namun berkat kerja keras dan persefahaman, perniagaan yang diusahakan secara kerjasama dengan beberapa rakan kongsi menawarkan pulangan yang membanggakan buat Malek dan rakan-rakan.

Kalau sudah memiliki jiwa berniaga, Malek terus melipat gandakan usahanya meneroka pasaran perniagaan baru.

Menyedari kepentingan projek pertanian agrotek, Malek mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi bidang.

"Syukur Alhamdulillah setiap perniagaan yang saya ceburi semuanya berjaya. Saya percaya semua ini rezeki yang Tuhan berikan untuk anak-anak saya," ujar Malek yang juga ayah kepada 11 cahaya mata hasil daripada empat perkahwinannya.

Menerusi perkahwinan dengan bekas isteri pertamanya, Malek merupakan ayah yang menjadi kebanggaan buat Mohd. Ajijan yang berusia 24 tahun, Samsiah (23) dan Farah (22) manakala seorang lagi meninggal dunia.

Manakala menerusi perkahwinan dengan bekas isteri keduanya pula, Malek dikurniakan seorang anak Aparullah, 21.

Sementara perkahwinan ketiga dengan Allahyarham isterinya, Malek dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Mohd. Fitri Nizam, 20, Malisatul Akmar (19), Mohd. Hairul (18) dan Mohd. Sazmanizam (17).

Kini Malek bahagia dengan perkahwinan keempatnya bersama Datin Roslinda Abdul Samad, 36.

Bersama Roslinda, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak, Siti Nor Amira, 8, Siti Nor Akila (7) dan Mohd. Amin (3). Daripada kejayaan perniagaan-perniagaannya itu, Malek memperluaskan pula empayar perniagaannya dengan mengusahakan kelab hiburan di Wilayah Kompleks, Kuala Lumpur yang dikenali Mumbai sejak sembilan bulan lalu.

Kelab tersebut dengan persembahan muzik secara live. Selain menampilkan beliau sebagai penghibur di situ, Malek juga mengundang rakannya, Latiff Ibrahim untuk sama-sama menghiburkan para pengunjung kelab berkenaan.

"Tujuan utama kelab ini ditubuhkan untuk menarik para pelancong berhibur sambil memperkenalkan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

"Sudah saya katakan, saya amat bersyukur kerana setiap perniagaan yang saya ceburi membuahkan kejayaan," akui Malek.

Barangkali, sebilangan besar daripada peminat tidak mengetahui yang Malek sudah empat kali mendirikan rumah tangga. Bagi Malek, perjalanan hidupnya ditentukan oleh Allah dan dia tidak mampu menolak ketentuan takdir termasuk empat kali bertemu jodoh.

"Saya percaya apa yang terjadi dalam hidup kita ditentukan oleh Allah. Walaupun dua perkahwinan saya berakhir dengan cerai hidup dan seorang cerai mati, tetapi saya tidak pernah melupakan tanggung jawab pada anak-anak.

"Anak-anak bagi saya adalah harta dunia dan akhirat. Sebab itu, walaupun saya sudah bercerai dengan isteri-isteri terdahulu namun hubungan anak-anak saya tetap mesra dan akrab.

"Setiap tiga bulan sekali mereka bertemu dan pada hari raya setiap tahun kesemua mereka akan berkumpul adik beradik. Bagi saya jodoh antara saya dengan emak mereka memang sudah putus, tetapi hubungan ayah dan anak tidak akan berakhir," jelas penyanyi itu lagi.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan selain tumpuan yang sama rata harus diberikan kepada anak-anaknya, Malek tidak langsung membayangkan hasratnya untuk melupakan seni.

Apatah lagi dengan komitmennya menghiburkan pengunjung di kelab malam yang diusahakannya membuatkan cinta Malek pada seni masih tebal.

Kata Malek, walaupun dia menyanyi di kelabnya namun keutamaannya adalah perniagaan di samping keluarga. "Perniagaan adalah punca rezeki saya anak beranak. Menyanyi sekadar memenuhi masa lapang," kata Malek mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.