saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 04/08/2009

Sayang sistem bunyi 'hancur'


NASIR Daud (kiri) dan Amy saling memantapkan Search selepas 28 tahun kumpulan itu ditubuhkan di Johor Bahru.


SEBAGAI kumpulan rock yang dikategorikan legenda dan nombor satu dalam persada muzik tanah air, sudah semestinya kemunculan Search di atas pentas konsert yang berskala besar amat dinanti-nantikan oleh para peminat mereka.

Malah, sebagai kumpulan rock tempatan yang paling lama bertahan iaitu selama 28 tahun, Search juga tentunya mahu membuktikan bahawa mereka masih lagi hebat beraksi di atas pentas walaupun pada usia yang mencecah separuh abad.

Justeru, Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Polo Pavilion, Kelab Ekuestrian, Bukit Kiara, Kuala Lumpur Sabtu lalu merupakan medan terbaik untuk mereka menghargai sokongan peminat atas pengiktirafan tersebut.

Sayangnya, konsert anjuran Art-Is At Work dan penaja utamanya, Celcom Blue itu seakan-akan belum mencapai matlamat Search dalam memberi kepuasan serta penghargaan kepada hampir 25,000 penonton yang hadir pada malam itu.

Masalah teknikal pada sistem bunyi paling banyak membelenggu pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM88 dan RM58 itu sehingga ia menganggu kosentrasi persembahan Search dan juga penghayatan para peminat mereka.

Search yang muncul di pentas pada pukul 9.50 malam walaupun sepatutnya dijadualkan beraksi sekitar pukul 9 malam tampil dengan lagu berjudul Panggung Khayalan di mana masalah mula dikesan pada mikrofon yang digunakan oleh Amy.

Suara penyanyi kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada awal tahun 1980-an itu kedengaran sangkut-sangkut dan ada ketikanya tenggelam terus sehingga ia sedikit sebanyak menganggu keghairahan para penonton untuk menghayatinya.

Keresahan pada penonton bukan setakat ketika Amy menyanyikan lagu yang dipetik daripada album Rock 'N Roll Pie itu sahaja, sebaliknya masalah itu melarat pada lagu kedua dendangan Search yang berjudul Balada Pemuzik Jalanan.

pentas sunyi

Masalah teknikal pada sistem bunyi berada pada tahap paling kritikal sewaktu Search menyanyikan lagu yang dipetik daripada album Cinta Buatan Malaysia itu apabila seluruh pentas sunyi seketika akibat gangguan elektrik.

Bukan sekejap, malah masalah itu berlarutan sehingga hampir 10 minit apabila bukan sahaja tidak kedengaran vokal Amy atau dentuman muzik bingit Search, tetapi tiada juga suara pengacara, Isma Halil Hamzah yang sepatutnya tampil memohon maaf.

Sebaliknya, suasana sunyi sepi di pentas itu diganti pula dengan pelbagai nada jerit pekik para penonton yang seperti tidak puas hati dengan konsert yang diuar-uarkan sebagai 'berbaloi-baloi' oleh pihak penganjur itu.

"Woi! mahal tiket ni... Berbaloi apanya macam ni?" itu antara suara-suara sumbang para penonton yang bukan setakat resah kedengaran nadanya, malah menagih tindakan segera daripada pihak penganjur yang terbabit.

Selepas masalah teknikal itu dapat diatasi, Amy bersama anggota-anggota Search iaitu Yazit (dram), Hillary (gitar), Din (gitar) dan Nasir tampil semula di pentas dengan membawakan lagu berjudul Laila Namanu Teratas.

Kemunculan semula Amy di pentas bukan untuk meminta maaf atas masalah teknikal tersebut, tetapi vokalis berusia 51 tahun itu hanya memohon maaf atas kelewatan persembahan Search kerana masalah kesesakan jalanraya.

"Kami ingin memohon maaf atas kelewatan pada konsert ini kerana kesesakan jalan raya yang teruk. Kami datang ke sini pun dibawa dengan motosikal walaupun ada kereta peronda polis yang menjaga lalu lintas," ujar Amy kepada pada penonton di konsert itu.

Insiden kelewatan Search di lokasi konsert bukan sahaja dihadapi oleh kumpulan itu, malah para peminat turut menghadapi masalah kesesakan jalan raya kerana kurangnya tempat meletak kenderaan yang disediakan pihak penganjur di luar tapak konsert.

Senario itu menyaksikan ramai peminat yang terpaksa meletakkan kereta mereka di bahu-bahu jalan sepanjang hampir satu kilometer di sepanjang jalan Bukit Kiara hingga mengundang kesesakan yang amat teruk.

Masalah itu sedikit sebanyak dikatakan berpunca daripada banyak jalan yang ditutup oleh Polis di sekitar Kuala Lumpur ekoran perhimpunan haram yang dianjurkan para Penyokong Gerakan Mansuhkan ISA kebetulan pada hari yang sama.

Masalah

Pada sidang media selepas konsert itu, Amy dan anggota-anggota Search tidak menafikan masalah teknikal sedikit sebanyak menjejaskan persembahan mereka setelah persiapan diatur bagi mengelakkan masalah seperti itu.

"Kami tidak jangka masalah seperti itu akan berlaku. Panik dan takut jugalah," komen Amy berhubung masalah yang berlaku itu pada konsert yang menyaksikan Search membawakan lebih 20 lagu-lagu popular mereka.

Selain Amy, Yazit, Hillary, Din dan Nasir, Search pada malam itu turut mengundang gitaris, Kid yang juga pernah menganggotai kumpulan itu dengan membawakan enam lagu antaranya berjudul Isabella.

Muzik persembahan lagu-lagu Search pada malam itu juga dikuatkan melodinya apabila mereka turut menjemput pemain keyboard undangan, Roza pada persembahan yang mengimbau nostalgia para peminat mereka itu.

Meskipun terdapat masalah teknikal pada sistem bunyi dan kesesakan lalu lintas, tetapi para peminat yang kebanyakannya berusia 30 tahun ke atas seolah-olah cuba melupakannya dengan menghayati lagu-lagu yang diperdengarkan kepada mereka.

Kebanyakan lagu yang dipersembahkan oleh Search pada malam itu dipetik daripada album-album lama mereka seperti Cinta Buatan Malaysia, Langit Dan Bumi, Fenomena dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Antara lagu-lagu yang mereka bawakan pada konsert itu berjudul Pelesit Kota, Setelah Hujan, Langit Dan Bumi, Gelora Cintaku, Gadis Misteri, Gadisku, Isi Atau Kulit, Menara Kesesatan, Fantasia Bulan Madu, Pasti dan Pawana.

Pada konsert itu, Amy dan Search tidak ketinggalan meluahkan rasa penghargaan kepada penulis lirik, Allahyarham Loloq serta pereka pentas dan persembahan, Allahyarham Jalil Ngah yang telah banyak berjasa di sebalik kejayaan mereka selama ini.

"Tahun lalu, kami kehilangan rakan baik kami iaitu Allahyarham Jalil Ngah dan Loloq. Jalil seorang yang banyak memberi sumbangan pada karier kami. Jalil merupakan seorang penerbit, pereka kulit kebanyakan album kami.

"Kami anggap ini sebagai suatu kehilangan. Saya hilang dalam terang. Begitu juga dengan Loloq yang banyak menyumbang lirik-lirik lagu yang indah dalam lagu-lagu kami. Malam ini tanpa mereka berdua kami akan tetap terus berjuang," laung Amy.

Selain konsert bergerak itu yang akan diteruskan ke Sabah dan Sarawak selepas Ramadan ini, Search juga kata Amy, menerima undangan mengadakan konsert bergerak di lima tempat di Indonesia selepas Hari Raya Aidil Fitri ini.

"Kami mungkin akan mengadakan konsert di lima tempat di Indonesia biarpun pada asalnya kami menerima undangan di 10 lokasi persembahan. Apatah lagi, lagu Isabella kini popular kembali di Indonesia sejak kebelakangan ini.

"Ia ekoran daripada sebuah sinetron di sana yang berjudul Isabella Menangis telah menggunakan lagu Isabella sebagai lagu latar dan lagu tema sinetron tersebut," katanya yang setakat ini belum memutuskan isu pembubaran Search.

Tambah Amy lagi, Search juga optimis persembahan mereka di beberapa bandar di United Kingdom iaitu antaranya di Manchester, London dan Dublin, Ireland juga mungkin akan dapat direalisasikan dalam waktu terdekat ini.

Pada Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru itu, empat kumpulan tempatan turut dijemput sebagai artis pembuka tirai iaitu Republic of Brickfields, Pesawat, Revenge dan Zip Zieller di mana persembahan mereka bermula pukul 4 petang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.