saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/08/2009

Geletek Kabir yang menghiburkan


SERIUS... Kabir Bhatia (kanan) sewaktu di lokasi penggambaran Setem.


SETELAH berjaya dengan dua buah filem cerekanya sebelum ini, Cinta dan Sepi kini pengarah terkenal, Kabir Bhatia tampil dengan buah tangan terbarunya.

Apa yang menarik, sentuhan Kabir kali ini jauh berbeza dengan apa yang pernah ditampilkannya dalam filem Cinta dan Sepi yang berteraskan elemen cinta dan drama.

Sebaliknya, menerusi filem cereka ketiganya berjudul Setem, elemen komedi situasi menjadi pertaruhan Kabir dalam usaha menarik perhatian audiens serta pengikut setia karyanya ke panggung.

Selain itu, Setem juga memperlihatkan kerjasama sulung Kabir bersama Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) yang menjadi penerbit filemnya kali ini selepas dua kali bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Ditayangkan sejak 30 Julai lalu menerusi 54 pawagam di Malaysia dan tiga lagi di Brunei, Setem dilihat mampu mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi oleh Cinta dan Sepi.

Pertaruhan pertama Kabir dalam mengarahkan filem komedi sewajarnya dipuji kerana pengolahan jalan ceritanya yang menarik serta elemen komedi yang diterapkan adalah asli dan tidak dibuat-buat.

Mengenali Kabir sebelum ini, dia sememangnya tidak pernah mengecewakan peminat menerusi hasil karyanya baik menerusi filem mahupun drama arahannya.

Formula yang digunakan Kabir sentiasa menampakkan variasi sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara pengarah filem yang disegani dan menampakkan dirinya tidak pernah statik dengan satu-satu jenis karya.

Humor yang berkesan

Begitu juga dengan Setem apabila ia tidak perlu memaksa audiens ketawa terbahak-bahak menerusi adegan slapstick serta aksi murah pelakonnya seperti mana sesetengah filem komedi lain yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Sebaliknya, humor yang ditampilkan dalam filem ini dibangkitkan menerusi permainan watak dan karakter pemainnya serta ditambah dengan perjalanan cerita yang berjaya menggeletek penonton.

Skrip yang bijak serta pengucapan dialog oleh para pendokong watak dalam filem ini menjadikan Setem begitu 'mahal'.

Adunan jalan cerita dengan setiap karakter semuanya terjalin dengan baik dan menguatkan karya Kabir ini sehingga menjadi sebuah filem yang bagus.

Sepanjang dua jam menonton filem ini langsung tidak berasa bosan dan terasa pantas benar waktu berlalu sehinggakan bagaikan rasa tidak puas menonton Setem.

Secara luaran, setem diangkat sebagai subjek dan metafora untuk filem ini, tetapi apa yang perlu diselami oleh audiens tatkala menonton ini adalah mesejnya.

Setem berjaya mengetengahkan mesej yang mengutarakan tentang persahabatan yang terjalin tanpa mengira latar belakang serta kaum dan bahasa sekali gus mengangkat tema 1Malaysia yang diperjuangkan hari ini.

Tidak keterlaluan dikatakan, Setem merupakan salah sebuah filem tempatan terbaik untuk tahun 2009.

Buktinya, ia telah menerima 10 pencalonan dalam Festival Filem Malaysia Ke-22 yang bakal berlangsung Sabtu ini (8 Ogos), di Kota Kinabalu, Sabah.

Cabaran

Bertemu dengan Kabir sewaktu majlis pratonton Setem di GSC Tropicana Mall baru-baru ini, dia tidak menafikan untuk menghasilkan Setem telah mencabar kreativitinya sebagai seorang pengkarya.

Apatah lagi, dia begitu mendambakan untuk menghasilkan sebuah filem komedi ala pengembaraan sejak penghujung tahun 90-an lagi.

Jelasnya, untuk filem ketiganya ini dia menghasilkan lima buah skrip dengan jalan cerita yang berbeza dengan dibantu oleh isterinya, Mira Mustaffa.

Apabila dibentangkan kepada TUSB sekitar tahun 2007, ternyata skrip Setem yang dihasilkan pada tahun 2002 itu cukup menarik perhatian TUSB untuk dizahirkan ke layar perak.

"Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem komedi situasi ala pengembaraan yang pada saya mungkin kali pertama diterbitkan di negara ini.

"Saya perlu bijak mengolah jalan ceritanya dengan begitu teliti kerana tidak mahu ia menjadi sebuah filem komedi biasa.

"Namun, saya beruntung di sebalik kekuatan skrip dan jalan ceritanya, Setem hakikatnya dibarisi oleh pelakon yang cukup profesional dan hebat yang bijak merealisasikan apa yang saya mahu," katanya yang cukup berpuas hati dengan pemain filem ketiganya itu.

Bukan itu sahaja, Kabir turut menjelaskan, aspek teknikal merupakan salah satu kekuatan filem terutama dari segi teknik sinematografi yang berjaya dihidupkan oleh pengarahnya, Md. Noor Mohd. Kassim.

Ditanya tentang kemungkinan filem susulan Setem, sambil tersenyum Kabir memberitahu, perancangan sudah ada dalam benak fikirannya dengan mengambil judul Syiling.

"Berkemungkinan besar barisan pelakon asal dikekalkan dengan jalan cerita yang lebih hebat dan menarik. Mungkin juga filem susulan ini akan mengembara ke luar negara pula," jelasnya sambil disambut sorakan dan tepukan daripada pelakon-pelakon Setem.

Pelakon mantap

Setem menampilkan Rashidi Ishak dan Afdlin Shauki sebagai teraju utama dan gandingan mereka berjaya menghasilkan keserasian di layar.

Bukan sekadar mereka berdua sahaja, Setem turut dikuatkan lagi dengan pendokong lain seperti Vanidah Imran, Que Haidar, Sathiya, Isma Yusoof, Bront Palarae, Diana Danielle serta aktivis teater tersohor, Indi Nadarajah yang pertama kali beraksi di layar perak.

Biarpun begitu, Kabir yang juga pengarah drama bersiri Nur Kasih yang sedang hangat ditayangkan di TV3 waktu ini berkata, dia tidak mahu cepat berasa puas hati walaupun menerima pujian melangit daripada karyawan seni lain serta masyarakat.

"Saya masih lagi baru dan setiap filem yang saya hasilkan adalah satu proses pembelajaran buat saya dalam menjadikan filem-filem saya sebagai wadah untuk masyarakat menikmati hiburan," katanya lagi.

Bagi Penerbit Eksekutif Kanan TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai pihaknya merasakan Setem merupakan karya yang mampu memberikan satu santapan baru kepada audiens tempatan.

Apatah lagi, Setem merupakan filem pertama terbitan TUSB yang menggunakan format High Definition (HD) serta menampilkan kesan khas yang mampu memberikan kepuasan maksimum kepada penonton.

Biarpun lewat ditayangkan selepas filem ini disiapkan tahun lalu, namun Gayatri optimis Setem mampu diterima dengan baik walaupun terpaksa bersaing dengan filem blockbuster Hollywood.

"Saya percaya produk yang berkualiti mampu diterima dengan baik dalam apa jua keadaan dan masa sekalipun.

"Mengikut perancangan awal, Setem sepatutnya ditayangkan tahun lalu tetapi kami mahu memperkemaskan lagi filem ini terutama teknik imejan penjanaan komputer (CGI).

"Semuanya demi penonton kerana sekarang mereka sudah bijak menilai karya yang berkualiti dan terbaik untuk mereka," jelasnya yang kagum dengan kreativiti Kabir dalam mewarnakan setiap filem arahannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.