saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 07/08/2009

Shuryani berpuisi sejak remaja


BINGKAI gambar kenangan Shuryani Shuaib dan keluarga disusun rapi pada satu sudut dalam bilik bacaannya.


KEHADIRAN penulis bersama jurugambar ke banglo kediaman rasmi Datin Seri Shuryani Shuaib di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, sebagai memenuhi undangan beliau. Ada sesuatu yang ingin dikongsi katanya.

"Bukan apa saya cuma ingin memberitahu bahawa saya kini sedang dalam usaha membukukan himpunan puisi saya dan hasil jualannya nanti akan didermakan kepada golongan miskin menerusi Yayasan Semporna.

"Sekarang ini dalam peringkat mengumpulkan bahan dan insya-Allah mungkin akan ada di pasaran sebelum Hari Raya pada September ini.

"Himpunan puisi itu nanti akan diterbitkan dalam dua edisi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang disertakan dengan ilustrasi juga hasil lukisan saya sendiri," katanya ramah.

Selain untuk tujuan kebajikan, idea membukukan puisi tersebut sedikit sebanyak hasil galakan daripada rakan-rakan yang mengetahui kebolehan beliau.

"Lagi pun saya rasa tidak ada salahnya kalau saya gunakan kebolehan menulis yang dianugerah Allah untuk membantu orang lain.

"Setiap buku nanti akan mempunyai lebih 50 puisi yang saya tulis sejak 32 tahun lalu dan kebanyakannya menyentuh soal persahabatan, kehidupan dan kecintaan terhadap tuhan.

"Buku tersebut akan diberi tajuk Dirimu Diriku dan Reflection of Life. Ia juga didedikasikan kepada pencinta seni yang mahu berkongsi pengalaman yang saya lalui," jelas ibu kepada enam cahaya mata ini.

Siapa sangka di sebalik wajahnya yang lembut dan menggalas gelaran isteri seorang menteri, ada sisi seni yang tidak ramai diketahui orang lain kecuali mereka yang rapat dengan Shuryani.

Isteri Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, ini memilih puisi dan lukisan sebagai medium untuk meluah perasaan dan pemerhatian beliau terhadap pengalaman yang dilalui.

Nyata dalam kesibukan mengiringi suami dalam tugasan rasmi beliau masih sempat berkarya dengan mencatatkan tentang segenap ruang, pengalaman dan pemerhatian beliau secara peribadi.

Ia diluah dengan begitu indah pada bait-bait puisi sehingga membuai perasaan sesiapa yang membacanya waima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru-baru ini turut berkesempatan membaca catatan Shuyarni.

"Beliau juga yang menggalakkan saya untuk membukukan catatan-catatan saya itu," katanya jujur.

Bahkan pertemuan eksklusif petang itu penulis sifatkan sebagai satu peluang berharga kerana dapat melihat sendiri kehidupan Shuryani di sebalik apa yang sering dilihat di kaca televisyen dan media cetak sebelum ini.

Biarpun berstatus isteri menteri, ternyata wanita ini seorang yang mudah didekati bahkan beliau meletakkan rasa rendah dirinya sebagai pemacu dan pemangkin kepada semua usaha penulisannya setakat ini.

"Ibu saya seorang guru besar manakala ayah seorang pelawat (nazir) sekolah dan darah seni menulis ini sebenarnya diwarisi daripada mereka," ujarnya dalam nada ceria.

Shuryani menyifatkan apa yang dilakukannya sekarang adalah sebagai penyambung legasi bapanya.

"Sejak usia saya 15 tahun lagi bapa saya sudah menyuruh saya menjadi penulis. Ketika itu saya menuntut di Sekolah Menengah Convent Father Barre di Sungai Petani, Kedah, semua karya itu saya simpan dalam sebuah buku skrap yang saya jaga dengan baik hingga ke hari ini," ujarnya yang mengagumi tokoh sasterawan seperti Keris Mas dan Tan Sri A. Samad Ismail.

Beliau masih ingat, puisi pertama yang dibacanya adalah satu puisi romantis nukilan bapanya yang didedikasi kepada ibunya.

"Sejak dari itu saya rasa tidak pernah sekalipun timbul rasa penat dalam bidang penulisan.

"Bayangkan kalau sudah mula menulis saya boleh berjaga hingga pukul tiga atau empat pagi. Bagi saya bukan meja penulis kalau meja tak berselerak dengan buku dan kertas macam ini," ujarnya sambil membawa kami ke bilik kerjanya yang penuh koleksi buku dan nota catatan beliau.

Teman setia

Beliau juga mengakui sebahagian tulisannya dihasilkan ketika dalam penerbangan termasuk dari Kuala Lumpur ke Semporna atau sebaliknya ketika mengiringi suami melawat kawasan.

Malah beg tangannya sentiasa berat dengan buku nota yang menjadi 'teman setia' sejak sekian lama.

"Saya tulis apa saja yang terlintas bukan setakat puisi, esei dan ucapan pun saya tulis," katanya.

Tambah menyeronokkan kata Shuryani, kesemua anak-anaknya juga mempunyai bakat menulis. Jadi mereka boleh berkongsi idea dan pandangan di samping meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Selain puisi, Shuryani juga berbakat dalam lukisan selain menghargai kerja-kerja seni lain termasuk gubahan pengantin dan kraf tangan.

"Tak banyak koleksi seni terutama lukisan yang masih dalam simpanan kerana saya suka menghadiahkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah," ujarnya yang juga pengarah Yayasan Semporna.

Yayasan tersebut diilhamkan oleh suaminya pada 2005 bagi membantu golongan kurang bernasib baik di Semporna, Sabah.

Pelbagai aktiviti kebajikan dilakukan termasuk dalam memenuhi keperluan ibu tunggal, anak yatim dan orang miskin.

"Antara yang telah berjaya dilaksanakan memberi biasiswa kepada pelajar yang ibu bapanya berpendapatan RM1,000.

"Tahun lepas yayasan juga memberi sumbangan sempena Ramadan kepada lebih 600 penduduk miskin di kawasan itu," katanya yang mempunyai impian untuk membina rumah anak yatim di Kedah pula.

Kerja-kerja kebajikan sememangnya bukan sesuatu yang asing bagi wanita yang dilahirkan pada tanggal 14 Mac 1962 ini. Sememangnya sejak kecil sentiasa diingatkan oleh ibu bapanya agar menjadi insan yang prihatin terhadap kesusahan orang lain.

"Saya masih ingat sewaktu remaja dulu, saya dan kakak kembar, Shuryati (kini bertugas di Petronas) akan disuruh oleh bapa menjamu tetamu dan orang kampung makan.

"Sejak kecil saya juga dididik cintakan ilmu dan sentiasa memelihara jati diri. Sebab itu walaupun sudah 26 tahun berkahwin dengan orang Sabah, identiti sebagai orang Kedah masih kuat," katanya yang memilih mengamalkan kehidupan sederhana.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.