saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 13/08/2009

H1N1 ancaman kepada ibu hamil


MINUM air dengan banyak mampu meningkat tahap kesihatan ibu mengandung.


KALI terakhir dunia diserang wabak pandemik influenza A ialah dalam tahun 1918. Wabak yang melanda selama lebih kurang dua tahun itu dikenali sebagai Spanish Flu telah menyebabkan kematian lebih 50 juta manusia di seluruh dunia.

Kini wabak daripada virus yang sama iaitu H1N1 daripada jenis influenza A kembali menjadi pandemik yang membimbangkan penduduk dunia.

Salah satu golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini ialah ibu mengandung.

Terdapat beberapa faktor mengapa ibu mengandung dikategorikan sebagai berisiko untuk terkena jangkitan virus H1N1.

Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, ketika mengandung lazimnya pernafasan wanita terbabit akan berubah berbanding wanita normal.

"Ketika mengandung, rahim akan mengembang dan meningkatkan tekanan pada bahagian usus sekali gus menyebabkan pengembangan diafram (bahagian antara paru-paru dan perut) terhad dan membuatkan nafas tersekat-sekat (pendek).

"Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika wanita hamil tersebut dijangkiti H1N1 yang lazimnya akan menyerang sistem pernafasan dengan memasuki bahagian kerongkong pesakit," jelasnya ketika ditemui di kliniknya yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain itu, menurut Dr. Silvam sistem imuniti (kekebalan tubuh) bagi ibu mengandung juga rendah menyebabkan mereka mudah terdedah dan mendapat jangkitan penyakit termasuk H1N1.

Jadi walaupun seorang ibu mengandung itu berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan mereka tetap berisiko untuk dijangkiti kuman kerana kuasa daya lawan penyakit kurang ketika mengandung.

Dr. Silvam berkata, apabila ibu mengandung berhadapan dengan masalah kesihatan, doktor yang merawat akan lebih berwaspada untuk memberi ubat-ubatan kerana takut mendatangkan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan.

"Dalam tiga peringkat mengandung, pertama, kedua dan ketiga trimester, peringkat pertama dan ketiga perlu diberi perhatian. Peringkat ketiga mengandung lebih berisiko untuk mendapat jangkitan dan kesannya sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Di Amerika Syarikat, setakat ini sudah lebih 300 kematian akibat H1N1 dan antara lima dan enam peratus mangsa adalah daripada kalangan ibu mengandung.

"Perlu diingatkan juga bahawa wabak ini masih belum menemui penawarnya justeru langkah pencegahan sebelum terkena amatlah penting," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ibu mengandung dinasihatkan jangan pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai orang kerana dikhuatiri akan mengalami jangkitan daripada orang yang tidak dikenali.

Sekiranya terdapat sedikit simptom seperti demam, selesema, sengal-sengal sendi dan sebagainya, sebaiknya mereka mengasingkan diri (kuarantin) di rumah dan pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menjangkiti ahli keluarga lain.

"Kurangkan mencium anak-anak lain dan mesti buang topeng, tisu bekas hingus dan batuk ke tempat yang tertutup," jelasnya.

Rawatan

Dr. Silvam menerangkan apa yang penting ialah setiap ibu mengandung tidak perlu panik apabila muncul simptom sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan tentang sama ada mereka telah terkena jangkitan.

"Pengesahan boleh dilakukan melalui ujian dengan mengambil sampel air liur untuk dihantar ke makmal.

"Rawatan profilaksis atau cara untuk mengelak daripada terkena jangkitan dengan menggunakan antiviral juga boleh diberi kepada ibu mengandung.

"Virus ini masih tiada ubatnya dan apa yang perlu dibuat ialah menjaga kebersihan diri sebaik mungkin," katanya.

Selain itu, Dr. Silvam menambah, apa yang perlu ditekankan ialah pentingnya pemahaman tentang penyakit ini.

Apabila simptom Influenza A H1N1 ini terjadi kepada wanita hamil, doktor akan memberikan rawatan secara simptomatik iaitu rawat satu persatu masalah mereka.

"Jika demam, maka doktor akan merawat demam hingga baik. Jika demam terlalu tinggi memang akan membahayakan ibu dan bayi tetapi ibu akan dirawat dengan memberikan beberapa dos paracetamol.

"Begitu juga jika selesema dan batuk. Jika simptom terjadi pada trimester pertama kandungan, doktor akan lebih berhati-hati dalam memberi ubat kerana khuatir risiko ubat kepada bayi.

"Tetapi kalau selesema si ibu agak teruk maka mereka perlu dirawat dengan ubat yang diberi nama Tamiflu dan Revenza," jelasnya lagi.

Sewaktu kelahiran dan penyusuan bayi

Dr. Silvam berkata, jika simptom H1N1 terjadi kepada ibu yang hendak bersalin perkara paling tidak digalakkan oleh doktor ialah memberi ubat mempercepat kelahiran (induce). Ini kerana induce akan menyebabkan bayi mudah dijangkiti virus.

"Sebaiknya ibu perlu melahirkan bayi secara normal apabila tiba masanya. Ketika meneran untuk bersalin sudah tentu ibu yang mempunyai simptom tidak boleh memakai topeng (penutup hidung dan mulut), jadi orang di sekeliling mestilah mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng dan basuh tangan dengan bersih.

"Dalam tempoh 72 jam selepas ibu melahirkan dan menerima rawatan, ibu tersebut dianggap tidak menyebarkan virus tetapi langkah pencegahan kebersihan masih perlu diikuti dengan teliti. Sebagai contoh menutup mulut ketika batuk dan cuci tangan dengan kerap," jelasnya.

Dr. Silvam berkata, sebaiknya ibu yang baru melahirkan memberikan susu badan kepada bayi mereka dan jangan berhenti kerana susu ibu banyak antibodi yang membantu menguatkan ketahanan bayi daripada dijangkiti penyakit.

"Virus H1N1 tidak akan berjangkit menerusi susu ibu. Yang penting amal langkah berjaga-jaga, jangan terlalu dekat dengan orang lain dan jika ada sentuhan pastikan tangan dicuci dengan bersih," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.