saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 13/08/2009

Nikmati duku 250 tahun


Pokok duku tertua di Kampung Cerana, Kuala Terengganu ini masih mampu berbuah lebat.


KUALA TERENGGANU 12 Ogos - Buah duku atau nama saintifiknya, Lansium Domesticum merupakan sejenis buah daripada spesies yang sama dengan langsat, dokong dan duku langsat.

Namun yang membezakannya ialah ada sejarah di sebalik kewujudan buah duku ini di negeri Terengganu.

Percayakah anda, sebatang pokok buah duku yang berusia 250 tahun masih lagi berbuah dan isinya masih manis dan lazat?

Ini bukan cerita karut atau dongeng semata-mata kerana jika anda berkunjung ke negeri Terengganu jangan lupa untuk ke Kampung Cerana kerana terdapat sebatang pokok buah duku yang telah wujud sejak 250 tahun dahulu.

Apa yang menghairankan, pokok duku tersebut masih mengeluarkan buah yang lebat, namun bezanya ia tinggi dan saiznya besar seperti pokok kayu balak yang mana berbeza dengan pokok duku yang biasa bersaiz kecil dan rendang.

Menurut legenda cerita rakyat, pokok duku merupakan sejenis pokok liar telah ditemui oleh seorang penduduk di kampung tersebut.

Kemudian, penduduk berkenaan mempersembahkan buah itu kepada sultan kerana mendapati rasanya sangat manis dan lazat.

Selain itu, ada cerita yang menyatakan pokok duku berusia 250 tahun itu merupakan baka generasi kedua daripada pokok induk yang telah musnah akibat kebakaran hutan yang berlaku ketika perang Jepun dahulu.

Jadi, pokok itu dipercayai merupakan pokok duku yang tertua di negeri ini.

Begitulah asal-usul buah duku yang terdapat di Terengganu, maka tidak hairanlah mengapa buah duku amat terkenal di sini.

Salah sebuah kawasan yang amat terkenal dengan pengeluaran buah duku ialah di sekitar Kampung Beladau, Kepong dan Kampung Serada yang mana kampung itu berdekatan dengan pokok duku tertua itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir 50 buah gerai buah duku ditemui di sepanjang jalan perkampungan tersebut.

Bagaikan berada di kebun buah duku apabila melalui kawasan berkenaan apabila dapat melihat deretan pokok duku hampir di setiap rumah penduduk kampung.

Bagi penulis yang baru tiga minggu berpindah ke Terengganu, pemandangan tersebut amat menyeronokkan apabila dapat melihat gugusan buah duku bergantungan di dahan-dahan sepanjang menyusuri jalan tersebut. Pastinya di Kuala Lumpur kempunan melihat pemandangan begini.

Hampir semua ruang tanah kosong tidak kelihatan di kawasan ini kerana ia dipenuhi dengan lautan pokok duku yang sedang berbuah lebat dan masak ranum.

Seorang peniaga yang ditemui, Esah Embun, 55, berkata, dia yang telah menjalankan perniagaan menjual duku sejak 10 tahun lalu mengakui duku sekitar kawasan itu berbeza daripada tempat lain.

Jelas beliau, isinya yang jernih dan manis sering menjadi tumpuan pembekal duku untuk mendapatkan duku dari kawasan itu.

Katanya, setiap tahun, pada musim buah duku iaitu bulan Julai, Ogos, September dan Oktober, kawasan itu seperti ada keramaian kerana ramai peminat buah berkenaan dari seluruh negeri akan mengunjungi kampung tersebut.

"Lagipun, harga yang dijual hanya RM1 atau RM2 sekilo menyebabkan peminat buah ini tidak berfikir panjang untuk membeli sebagai buah tangan jika singgah ke sini.

"Selain berniaga di sini setiap hari, bekalan duku turut dihantar ke bandar-bandar lain untuk memenuhi permintaan luar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Beladau, Kepong baru-baru ini.

Bagi Mohd. Yatim A. Rahman, 55, musim buah duku membantu keluarganya menambah pendapatan.

Ujarnya, walaupun dia tidak mempunyai kebun buah duku, namun dia lebih selesa memajak kebun orang lain untuk menjual hasilnya.

"Kebanyakan orang di sini mempunyai kebun duku yang luas, jadi saya mengambil kesempatan memajak kebun mereka dengan mengupah individu yang berminat mengutip buah itu dengan bayaran RM10 untuk sebakul buah duku.

"Sehari kebiasaannya dapat memperoleh lebih tiga hingga lima tan buah duku untuk pasaran luar Terengganu," jelasnya.

Seorang penggemar buah duku berasal dari Kampung Binjai Berambu, Ahmad Sabri Awang, 52, mengakui dia amat menggemari buah duku dari sekitar ini.

"Jika saya melalui kawasan ini pastinya saya akan singgah untuk menikmati keenakan buah ini yang masih segar dan baru dikutip oleh peniaga," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.