saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 24/08/2009

Politik Pas dan PKR pada awal bulan Ramadan

SALAM Ramadan. Semoga umat Islam diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk meningkatkan ibadah pada bulan penuh barakah ini. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu.

Tidak perlulah dihuraikan di ruangan ini kerana masing-masing sedia maklum mengenai ‘pantang larang’ semasa berpuasa. Begitu juga apa yang digalakkan agama bagi meningkatkan ketakwaan kita pada bulan Ramadan Al Mubarak ini. Kecualilah apabila orang politik sanggup menghalalkan apa yang dilarang demi agenda politik mereka. Larangan agama diketepikan kononnya atas nama demokrasi, menegakkan kebenaran dan macam-macam lagi.

Maka dalam keghairahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir esok, apakah Pas akan terus ‘membantai’ peribadi calon Barisan Nasional (BN)?

Menurut saudara Mahfuz Omar, `panglima perang’ yang mengetuai jentera pilihan raya Pas, parti itu tidak akan berhenti daripada menggunakan kempen bersifat menyerang peribadi calon BN. Alasannya ‘kita kena bercakap benar’. Begitulah sifat pembangkang. Ada ketikanya orang sanggup bersumpah untuk membuktikan kebenaran tetapi masih dianggap dusta, memfitnah dan sebagainya. Justeru tidak hairanlah, mungkin sehingga ke saat akhir, peribadi calon BN akan terus diselak.

Selepas berbuka puasa, sesudah memberi salam solat sunat tarawih dan witir, tukang kempen akan terus ‘belasah’ orang di pentas ceramah. Pembangkang mungkin akan menyelak satu persatu kelemahan yang ada demi mempertahankan Permatang Pasir. Ketepikan soal budaya dan adab sopan asalkan matlamat tercapai. Kata orang, tujuannya kadangkala baik tetapi niatnya belum pasti. Bak kata orang ada udang di sebalik batu. Adakah pengundi Permatang Pasir akan terpengaruh dengan corak politik seumpama ini? Tentunya ada pengundi keliru ragam pemimpin seperti ini. Agenda pembangunan dan perjuangan untuk rakyat yang dibawa oleh parti ditolak ketepi sebaliknya agenda menjatuhkan peribadi diutamakan.

Mungkin wakil rakyat dan bakal calon wakil rakyat pada masa depan perlu bersiap sedia dengan trend kempen membuka kisah silam ini. Lebih-lebih lagi dalam era kebangkitan teknologi maklumat termasuk Facebook.

Berhati-hatilah...mana tahu 10 tahun lagi, anda bakal menjadi calon wakil rakyat tetapi ketika kempen sedang berjalan tiba-tiba gambar, peribadi anda dalam Facebook yang kurang elok dipertonton dan dibahaskan sebagai bahan kempen.

Itu masalah di Permatang Pasir yang penyelesaiannya akan diketahui lewat petang esok. Apakah Pas akan kekal di situ atau BN kembali menguasainya? Ketika ini Parlimen Permatang Pauh dan satu lagi kerusi DUN Penanti dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala satu lagi kerusi (Seberang Jaya) dimenangi BN.

Lain pula ceritanya di Kedah. Satu berita gempar semalam apabila Exco kerajaan negeri Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.

Alasan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu ialah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti. Pada masa yang sama keputusannya itu juga dipengaruhi dengan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai yang diumumkan Pemangku Ketua Bahagian, Jamaludin Abu Hassan yang turut mengisytiharkan keluar parti. Lebih menarik apabila beliau menyatakan sokongan kepada Kerajaan Pusat dan kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Apa sudah jadi dengan PKR?

Ketika orang politik sibuk menghitung satu persatu PRK sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008 malahan ada yang seperti mahu memaksa PRK diteruskan dari semasa ke semasa, sedar atau tidak, setakat ini sudah enam orang wakil rakyat PKR buat hal. Mereka sama ada meletak jawatan atau meninggalkan parti itu. Pertamanya apabila Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 1 Ogos 2008.

Tujuan peletakan jawatan itu adalah bagi membolehkan suaminya, Anwar Ibrahim mengisi kekosongan tersebut. Maka berlakulah PRK pertama selepas Mac 2008. Jika Wan Azizah mahu memberi laluan kepada suaminya tetapi lain pula ceritanya pada awal Februari lalu, apabila dua wakil rakyat PKR (juga Exco Kerajaan Negeri) di DUN Perak, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd. Radzi mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sebagai wakil Bebas. Mereka hilang kepercayaan kepada parti itu.

Tindakan mereka (termasuk seorang lagi wakil DAP) yang tidak mahu memberi laluan kepada PRK menyebabkan kerajaan negeri pakatan DAP-PKR-Pas tumbang. Ini diikuti tindakan V. Arumugam (PKR - Bukit Selambau) yang meletak jawatan pada 8 Februari 2009 disebabkan masalah peribadi.

Arumugam juga sebelum itu memegang jawatan Exco kerajaan negeri. Pada 19 Mac pula, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai ADUN Penanti.

Beliau yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Menteri I meletak jawatan atas alasan untuk belajar. Semalam, seorang lagi wakil rakyat PKR bertaraf Exco kerajaan negeri meninggalkan PKR.

Begitulah senario politik PKR. Ketika pemimpin utama parti itu mengharapkan pembentukan Kerajaan Pusat pada 16 September 2008 dan mungkin masih mengidamkannya pada 16 September 2009, keadaan dalam PKR sendiri nampak ada yang tidak kena. Kelam kabut juga.

Malahan di Selangor, ada usaha supaya wakil rakyat PKR, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan di DUN Pelabuhan Klang. Menurut Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim, wakil rakyat itu mengalami masalah kesihatan menyebabkan tugas wakil rakyat tidak dapat dijalankan dengan baik. Apakah kesudahan yang akan berlaku terhadap wakil rakyat PKR ini? Sama-samalah kita nantikan kesudahan episod ini kerana seperti ada kegusaran yang amat sangat kononnya kerajaan pakatan PKR-DAP-Pas di Selangor juga tidak mampu bertahan lebih lama.

Dan yang pasti, seperti yang ditulis pada minggu lalu, PRK dijangka tidak akan berhenti setakat Permatang Pasir. Ini disebabkan ada parti yang begitu suka dan ternanti-nantikan PRK ini sekalipun ia mampu dielakkan. Paling hampir ialah isu ADUN Kota Siputeh, Kedah apabila wakil rakyatnya dari BN, Abu Hasan Sarif seolah-olah mahu disingkirkan supaya siri PRK seterusnya kembali ke Kedah. Mungkinkah negara akan mencatatkan rekod PRK paling banyak selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.