saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 26/08/2009

Beng Hock buat banyak tuntutan

SHAH ALAM 25 Ogos – Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock sebenarnya telah membuat banyak tuntutan menggunakan peruntukan yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara bulan Mac 2008 dan Julai lalu.

Beng Hock juga kelihatan gelisah, tidak tenang dan dilihat mundar-mandir sewaktu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dijalankan di pejabatnya sehari sebelum dia ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

Berdasarkan siasatan tersebut, Beng Hock ialah individu yang bertanggungjawab menyedia dan mengesahkan kerja-kerja menggunakan tuntutan ADUN berkaitan yang diperuntukkan sebanyak RM500,000 setahun.

Ia antara keterangan yang dikemukakan oleh saksi inkues ke-16 iaitu pengawai penyiasat SPRM Selangor, Mohd. Anuar Ismail pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang masuk hari ke-14 hari ini ketika disoal oleh peguam pemerhati bagi suruhanjaya berkenaan, Datuk Abdul Razak Musa.

Bagi menyokong keterangan tersebut, Abdul Razak yang juga Ketua Unit Pendakwaan SPRM mengemukakan empat dokumen yang diperoleh daripada komputer riba Beng Hock ketika siasatan dijalankan.

Mengulas lanjut dokumen tersebut, Mohd. Anuar memberitahu, Beng Hock ketika disiasat tidak dapat memberikan penjelasan mengenai dokumen-dokumen terbabit.

‘‘Dokumen-dokumen yang perlu dibawa semula oleh Beng Hock adalah dokumen untuk menyokong kerja-kerja yang terdapat dalam komputer ribanya iaitu berbentuk resit dan baucar yang disebut dalam sebut harga.

‘‘Daripada siasatan, ia adalah syarikat bumiputera yang merupakan kontraktor Kelas F,’’ kata Mohd. Anuar.

Bukan itu sahaja, menurut Mohd. Anuar, SPRM malahan telah merampas berkotak-kotak dokumen tuntutan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Mohd. Anuar turut menceritakan keadaan Beng Hock ketika SPRM memeriksa komputer riba dan unit pemerosesan utama (CPU) miliknya daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada petang 15 Julai lalu.

‘‘Berdasarkan pemerhatian saya, Beng Hock nampak gelisah, tidak tenang dan mundar-mandir sambil memegang beg sandang serta telefon bimbitnya selain beberapa kali dilihat menghubungi seseorang dan bercakap dalam bahasa Cina,’’ ujarnya.

Terdahulu, Abdul Razak memohon kebenaran mahkamah untuk mengajukan soalan kepada saksi tersebut bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung siasatan yang dijalankan ke atas mendiang.

Beliau juga sebelum itu memohon izin untuk mengemukakan empat dokumen yang diperoleh daripada komputer riba Beng Hock sebagai bahan bukti inkues tersebut.

Bagi Abdul Razak, dokumen itu penting dalam usaha menunjuk dan membuktikan perkara yang difikirkan menghantui Beng Hock sebelum dia ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

Dalam masa yang sama, Mohd. Anuar dirujukkan dengan dua dokumen dan ditanya apakah penyelesaian Beng Hock ke atas dokumen tersebut.

Belum pun sempat Mohd. Anuar menghabiskan jawapan kepada pertanyaan tersebut, Gobind secara tiba-tiba mencelah dengan menyatakan, ia adalah keterangan dengar cakap.

Namun Abdul Razak menjelaskan tujuan SPRM adalah hendak menunjukkan Beng Hock sebenarnya berada dalam keadaan takut untuk berhadapan dengan realiti.

‘‘Kami hendak menunjukkan dokumen-dokumen hasil siasatan terdapat perkara-perkara yang tidak mengikut peraturan telah dilakukan. Atas alasan tersebut, saya ingin mengemukakan empat dokumen berkaitan.

‘‘Kami bukannya hendak membawa masuk keterangan dengar cakap seperti surat layang. Kami juga bukan hendak membawa masuk teori kerana sudah banyak teori dikemukakan di mahkamah ini.

‘‘Si mati telah disuruh balik tetapi membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian. Jadi dari situ kita tahu apa peranan si mati dan penjelasan beliau yang dikatakan membuat tuntutan palsu,’’ tegas Abdul Razak.

Koroner Azmil Muntapha Abas bagaimanapun mencelah, sekiranya SPRM berhasrat menggunakan rakaman percakapan Beng Hock, mahkamah belum lagi membuat keputusan mengenainya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.