saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 07/09/2009

Apa dah jadi... sampai sekarang kalut, tak selesai lagi

APA Dah Jadi. Itu nama salah satu lagu popular S.M. Salim. Jika lirik lagunya berbunyi Apa dah jadi, apa dah jadi, sampai sekarang tak kahwin lagi...

tetapi untuk kemelut yang berlaku di Selangor, bolehlah kita pinjam judul lagu itu dan tukarkan sedikit liriknya kepada Apa dah jadi, apa dah jadi, sampai sekarang tak selesai lagi...

Jika bab ‘kahwin’, perkara itu dah pun selesai. Cuma selepas ‘perkahwinan’, macam-macam hal berlaku dalam ‘rumah tangga’ yang dibina bersama DAP, Pas, PKR itu. Banyak idea pelik yang ditonjolkan tetapi ada juga idea menarik yang terpaksa dilakukan kerana janji sudah diberi. Maka kata mesti dikota...contohnya bil air dan beberapa perkara lain bagi menjaga kebajikan rakyat.

Tetapi kebajikan rakyat dalam bentuk wang ringgit bukanlah sesuatu yang sukar dilaksanakan. Asal ada wang semua boleh jadi. Tetapi kebajikan yang lebih besar perlu dilakukan ialah menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum. Soal ‘kebajikan’ kaum ini bukan boleh dibeli dengan wang ringgit. Sebaliknya tersilap langkah atau salah perhitungan, buruk padahnya.

Kemelut yang berlaku di Selangor terutama melibatkan isu kuil dan sebelum itu perihal jualan arak dan cadangan penggunaan wang zakat menimbulkan keresahan banyak pihak. Beberapa idea lain yang mencelarukan pemikiran kita juga dibangkitkan. Mujurlah ada pihak tertentu yang campur tangan. Maka idea ‘busuk lagi membusukkan’ itu akhirnya tidak terpakai.

Apa Dah Jadi juga mungkin boleh dirujuk kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang - juga merupakan kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas. Di Pulau Pinang, isu Kampung Buah Pala tidak menghadapi penyelesaian sepenuhnya. Kerajaan negeri tentunya masih pening kepala memikirkan apa lagi yang akan dituntut oleh penduduk Kampung Buah Pala. Sebelum ini, kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas di Pulau Pinang diasak hebat oleh penduduk kerana tidak menepati janji mereka pada pilihan raya umum lalu. Bak kata penyanyi Latif Ibrahim dalam lagunya Manis Kata Di Bibir Saja.... tapi hati lain bicara. Mungkin kerajaan negeri Pulau Pinang boleh menarik nafas lega apabila penduduk di perkampungan itu akhirnya menerima hakikat berpindah. Tetapi semalam, ada lagi cerita yang belum selesai. Nampaknya perjalanan ke arah penyelesaian perkampungan itu cukup mencabar, kecualilah kerajaan negeri menebalkan muka mereka sepanjang insiden itu.

Apakah suasana yang diwujudkan kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini?

Dulu tidak ada cerita seumpama ini. Kalau ada pun, yang sedikit akan diperbesarkan oleh mereka yang mencemburui BN dan ketika itu berlegarlah pelbagai tuduhan terhadap kerajaan BN.

Tetapi sekarang apa dah jadi? Meludah ke langit dah jatuh ke batang hidung sendiri. Nasib baik ketika wabak selesema babi atau influenza A H1N1 ini, ramai yang pakai penutup hidung dan mulut. Terselamatlah ludah tu daripada terkena batang hidung sendiri.

Begitulah putaran hidup ini. Dulu, sering salahkan kerajaan BN tetapi kini apabila sudah menjadi kerajaan, barulah mereka tahu langit tinggi rendah. Dulu golongan seperti mereka inilah yang begitu syok boo dan kutuk kerajaan BN tetapi sekarang giliran mereka pula. Mujurlah kerusi dan kasut tidak melayang ke arah Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim ketika isu kuil dibincangkan di Shah Alam kelmarin. Tetapi selipar sudah pun melayang di Pulau Pinang dan terkena pula ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari DAP. Puncanya apabila peniaga-peniaga tidak diberi lesen berniaga di kaki lima berdekatan Bazar Chowrasta, Jalan Penang. Khabarnya peniaga-peniaga itu sudah berniaga di sana sejak 24 tahun lalu (maknanya semasa 23 tahun diperintah oleh kerajaan BN dan setahun ketika tempoh bulan madu kemenangan pakatan) tetapi tidak ‘diganggu’. Malah semasa BN, bazar Ramadan mendapat promosi hebat untuk dijadikan produk pelancongan.

Kenapa isu-isu sebegini berlaku sekarang? Atau isu seumpama ini memang berlaku tetapi disebabkan sikap berhemah kerajaan terdahulu menyelesaikan masalah maka, ia tidak menonjol seperti sekarang?

Memang benarlah kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak semalam bahawa pakatan pembangkang perlu sedar bahawa bukanlah mudah mentadbir seperti mana mudahnya mereka menjanjikan sesuatu kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya umum.

‘‘Hakikatnya bila kita (mereka) mentadbir, tidak semudahnya seperti mana sewaktu mereka lakarkan sewaktu mereka jadi pembangkang. Beberapa kes yang berlaku ini (ketika ini) adalah disebabkan janji mereka buat sebelum pilihan raya dan juga kegagalan mereka untuk membuat keputusan yang tepat dalam keadaan setempat dan ambil kira masyarakat berkenaan,’’ kata Najib.

Begitulah kisah duka yang melanda kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas di Pulau Pinang dan Selangor.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor mesti ada sebab musababnya. Tidak perlu dihuraikan kerana rakyat Malaysia semuanya pandai belaka. Mereka boleh membuat pelbagai teori mengenai apa yang berlaku. Tetapi seingat penulis, sebelum ini isu seperti kuil dan perpindahan tidak banyak menimbulkan masalah.

Di kawasan kampung penulis sendiri, di Parlimen Permatang Pauh, sebelum ini ada juga kuil Hindu sedangkan penduduk India boleh dikira dengan jari. Majoriti penduduk adalah Melayu beragama Islam. Jarak kuil juga dekat dengan rumah orang Melayu. Tidak ada masalah. Tidak kecoh sebegini rupa. Kenapa penduduk boleh bertolak ansur? Mungkin ketika itu semangat perpaduan dalam erti kata yang sebenarnya amat tinggi. Tetapi keadaan kini sudah berubah. Rakyat - Melayu, Cina, India dan apa saja kaum semakin cerdik dan dalam kecerdikan itu, mereka terlupa ‘pantang larang’ kaum tertentu. Mungkin apabila hati telah retak, tolak ansur hilang. Mungkin mereka yang sering bertolak ansur semakin bimbang mereka akan ditolak beransur-ansur. Maka setiap daripada kita terutama orang politik, berhati-hatilah ketika bercakap dan bertindak. Janganlah dalam keghairahan untuk menjaga hati kaum tertentu, ada pihak yang terguris perasaan mereka apabila sesuatu dilihat melampaui batasan bertolak ansur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.