saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/09/2009

Ayah Mat prihatin masalah rakyat Kelantan


Mohamed Yaacob bergambar bersama Ratnam Muthiah dan Azizah Mohd Dun yang baru dilantik sebagai ahli Dewan Negara di bangunan Parlimen akhir 1990-an. BERNAMA


DALAM kalangan mereka yang agak sebaya, Tan Sri Mohamed Yaacob membahasakan dirinya sebagai 'Abe Mat' dan 'Ayah Mat' bila berdepan dengan mereka yang masih muda.

Ia gelaran yang dekat, akrab dan mesra dalam hubungan antara seorang pemimpin yang mencorakkan sebahagian wajah Kelantan dan kehidupan rakyat negeri itu.

Jika semua itu dilihat sebagai satu pembangunan fizikal dan minda yang mencorakkan budaya masyarakat, saham beliau tentunya cukup besar dalam era yang mencabar dan menyukarkan kemajuan digerakkan.

Abe Mat atau Ayah Mat itu dalam usia 85 tahun meninggalkan kita pada pukul 5.50 pagi semalam di Hospital Pantai, Kuala Lumpur akibat barah paru-paru yang dihidapinya sejak lebih setahun lalu.

Kalangan rakan dan lawan semasa beliau bergelumang dalam politik, ketika diminta mengulas tentang bekas pemimpin ini sekata dalam memberikan reaksi spontan.

Bagi mereka, seperti raut wajahnya - beliau dianggap sebagai pemimpin yang bersih dan tidak dipalit dengan lumpur politik yang sukar dibasuh.

Umum menyifatkan beliau seorang yang berpegang kepada amanah serta sentiasa merendah diri - meletakkan dirinya sebagai orang yang disegani sehingga kini.

Beliau bertanggungjawab mengukuhkan UMNO di Kelantan sehingga membawa parti itu menerajui negeri tersebut pada 1978 sehinggalah berlaku peralihan kerajaan pada tahun 1990.

Allahyarham yang berkelulusan undangundang, menceburi bidang politik sejak 1950 dengan menyertai UMNO.

Mohamed bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum 1969 dan memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan menganggotai Kabinet dengan memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, disusuli dengan Menteri Pelajaran dan Menteri Pembangunan Usahawan.

Pada Pilihan Raya Umum 1978, Allahyarham bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Panglima Bayu dan diberi kepercayaan sebagai Menteri Besar Kelantan setelah menguasai kerajaan.

Allahyarham yang dilahirkan di Palekbang, Tumpat juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 1996.

Sebelum menyertai politik, Allahyarham memegang pelbagai jawatan kerajaan termasuk sebagai setiausaha sulit kepada Almarhum Sultan Kelantan, majistret, timbalan pendakwa raya dan Penasihat Undang-undang di Terengganu dan Johor.

Pengerusi Majlis Veteran UMNO Kelantan, Datuk Rozali Isohak yang pernah menjadi setiausaha sulit Allahyarham semasa menjadi Menteri Besar berkata, komitmen Allahyarham terhadap tanggungjawab adalah tinggi.

"Biasalah jika pejabat beliau masih terang sehingga malam dan sudah mula dibuka awal pagi," ujar Rozali.

Katanya, Allahyarham bertanggungjawab mengukuhkan UMNO di Kelantan sehingga Barisan Nasional (BN) menewaskan Pas pada Pilihan Raya Umum 1978.

"Beliau adalah ayah bagi kami dalam UMNO ketika itu. Beliau antara tokoh yang tidak dapat ditandingi dan kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Kepulangan Allahyarham ke Rahmatullah amat dirasai kerana perjuangan dan semangat sayangkan UMNO tidak pernah luntur walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut tersentuh dengan pemergian Allahyarham dan menyifatkan Mohamed sebagai pemimpin yang sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk serta senang didekati.

"Siapa tidak kenal beliau yang telah 12 tahun menerajui Kelantan. Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata Allahyarham mempunyai sifat baik yang amat luar biasa.

"Saya mengenali Allahyarham sewaktu beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri sekitar awal 1970-an. Ketika itu saya masih menuntut dalam tingkatan enam dan merupakan Presiden Pelajar-Pelajar Islam Kelantan.

"Kalau nak cari pemimpin yang benar-benar jujur, amanah dan bersih, Allahyarhamlah orangnya," katanya.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Noor berkata, kehilangan Allahyarham pasti amat dirasai terutama bagi semua yang pernah bersamanya.

Katanya, Allahyarham amat 'cakna' terhadap kepentingan rakyat dan memberi fokus terhadap pemilikan tanah buat mereka sebagai asas memulakan kehidupan baru.

''Pada masa yang sama beliau memberi penekanan terhadap pendidikan dan lebih dua dekad lalu telah mengkhususkan tapak untuk kampus universiti di Kelantan.

''Penduduk yang terlibat ditempatkan di kawasan Tok Bali. Persekitarannya dirancang dengan pelbagai pendekatan," ujarnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Geting, Datuk Mat Nawawi Mat Jusoh pula berkata, komitmen Allahyarham terhadap tanggungjawabnya amat tinggi.

Dalam menjalankan tugas katanya, Allahyarham sering mengambil kesempatan untuk bertemu rakyat dan memulakan konsep turun padang dengan bermalam di rumah mereka sewaktu lawatannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.