saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/09/2009

Meningkatkan Parlimen berkelas dunia

HARI ini genap 50 tahun sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di negara ini. Semuanya bermula daripada mesyuarat pertama, penggal pertama sidang Parlimen pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur (kini MATIC) pada pagi Jumaat, 50 tahun lalu.

Parlimen, satu institusi perundangan terunggul untuk negara demokrasi. Ia telah memperlihatkan kematangan Malaysia melalui transformasi demokrasi yang hebat.

Bermula daripada sebuah badan penasihat dengan 15 keanggotaan yang dilantik pada 1946, ia berkembang menjadi Dewan dengan 104 perwakilan.

Pada hari pertama persidangan, Pemasyhuran oleh Yang di-Pertuan Agong bagi pembukaan sulung Parlimen itu dibacakan oleh Setiausaha Dewan, diikuti dengan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Selepas mendapat mandat, Datuk Mohamed Noah Omar (Johor Bahru Timor) secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua.

Tunku Abdul Rahman mengucap tahniah dan mengalu-alukan pelantikan itu. Bagaimanapun, Datuk Onn Jaafar (Kuala Terengganu Selatan) selaku pembangkang bangkit menyatakan bantahan dengan menegaskan pembangkang juga perlu diberi peluang untuk mengucapkan tahniah.

Onn menyoal kenapa ucapan tahniah hanya dihadkan kepada sesetengah ahli Dewan sahaja. Malah beliau turut mengingatkan walaupun pembangkang sekadar mewakili satu pertiga kerusi, ia tidak bermakna peranan mereka boleh disisihkan.

Pandangan sebegini pernah disuarakan pakar undang-undang Perlembagaan Negara, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dalam buku bertajuk Politik Perlembagaan - Suatu Perbincangan Tentang Isu-isu Semasa dari Sudut Perlembagaan dan Undang-undang.

Beliau melihat peranan ketua pembangkang penting bagi memantau dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap segala dasar dan tindakannya. Ia selaras dengan tuntutan Perkara 43 (3) Perlembagaan.

Kalau dilihat di United Kingdom, ketua pembangkang di Parlimen turut mengambil bahagian dalam upacara-upacara rasmi negara. Dalam banyak hal, pembangkang memainkan peranan penting dalam menghidupkan perjalanan demokrasi, baik di Parlimen mahu pun dalam konteks negara.

Sejak sidang pertama 50 tahun lalu, wacana perbahasan telah dibangkitkan secara ilmiah dan kritikan membina walaupun ada selalunya perbahasan sepanjang tempoh lima dekad ini pernah mencatatkan keterlanjuran kata dan tingkah laku di kalangan ahli-ahli Parlimen.

Idris Zakaria dalam buku bertajuk Teori Politik Al-Farabi dan Masyarakat Melayu memetik kata-kata cendekiawan Islam, Al-Farabi bahawa pemimpin unggul terdiri daripada tiga kriteria utama iaitu ilmu dan kebijaksanaan, sempurna fizikal, akhlak mulia dan keberanian. Maksudnya ialah pemimpin atau ketua bukan manusia sembarangan.

Itulah yang cuba dibawa oleh kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dalam institusi Parlimen Malaysia.

Perbahasan yang bernas dan seiring dengan keperluan rakyat banyak dibangkitkan. Ahli Dewan kini berupaya memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan, melatih berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat dan teratur, menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.

Di samping itu, Ahli-ahli Dewan kerap mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan kreatif, melatih kemahiran mendengar, berhujah dan membidas.

Penganalisis politik tempatan yang juga pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, apabila berlaku suatu perbahasan yang sihat, maka perkembangan kebolehan berbahas dengan sendiri membawa kepada perkembangan kemahiran berbahasa.

Ia juga akan menjurus kepada perkembangan mental yang positif, peningkatan ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.

"Inilah faktor-faktor yang perlu ada kepada setiap ahli Parlimen. Saya melihat suasana dan mutu perbahasan sekarang berkualiti walaupun ada juga penggunaan bahasa atau kata yang tidak mengikut peraturan Dewan.

"Namun secara keseluruhan, tidak kira dulu dan sekarang, ahli-ahli Dewan bijak berbahas dan cukup berhemah. Mereka faham bahawa mereka ada di Dewan Rakyat kerana menjadi pilihan rakyat,'' katanya.

Menurut beliau, atas faktor itu, setiap yang diperkatakan dalam Dewan perlu dilakukan sebaik mungkin dan boleh memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negara.

Peranan pegawai penyelidik yang ditubuhkan pada Oktober 2005 juga banyak membantu meningkatkan mutu perbahasan di kalangan ahli-ahli Dewan.

"Ahli-ahli Dewan perlukan bantuan daripada pegawai penyelidik untuk memastikan Parlimen Malaysia mencapai kelas dunia. Setiap apa yang dibangkitkan mesti mempunyai maklumat dan fakta, di samping rantaian penyampaian yang berkesan dan boleh menarik perhatian kerajaan dan media untuk diambil tindakan segera.

"Unit Penyelidikan Parlimen sendiri perlu dikembangkan. Lihat sahaja di negara jiran seperti Thailand, mereka sudah mempunyai institusi penyelidikan yang dianggotai lebih 100 penyelidik pelbagai bidang, Kemboja (lebih 40 penyelidik) dan Filipina (lebih 60 penyelidik). Ia penting sebagai usaha memantapkan Parlimen,'' tegasnya lagi.

Kata beliau, sesi sidang Parlimen yang berlangsung sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun perlu dimanfaatkan kerana ia merupakan gelanggang terbaik untuk ahli Dewan menyuarakan pandangan dan kritikan supaya aliran urus tadbir kerajaan dapat dijalankan secara efektif.

Melihat kepada proses demokrasi yang pesat, Parlimen Malaysia khususnya Dewan Rakyat telah menerima kedatangan ahli-ahlinya melalui 12 proses pilihan raya umum iaitu pada 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008.

Maka sewajarnyalah institusi yang mendukung Demokrasi Berparlimen terus menjadi landasan untuk kemakmuran rakyat dengan bertunjangkan toleransi dan pemupukan perpaduan sempena Jubli Emas Parlimen Malaysia ini.

PENULIS ialah Penyelidik Parlimen Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.