saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 14/09/2009

Husien serasi membuat songkok


husien Salleh sedang tekun menyiapkan tempahan songkok.


MENGENAKAN sepersalinan baju Melayu tidak akan sempurna atau lengkap tanpa ada songkok yang menutup kepala.

Biarpun sesetengahnya memilih kopiah tetapi masih ramai yang lebih cenderung kepada songkok kerana penampilan nampak lebih segak dan bergaya terutama apabila dipakai pada majlis-majlis keraian seperti hari raya.

Justeru tidak hairanlah apabila pengusaha-pengusaha songkok antara orang paling sibuk menjelang Ramadan bagi menyiapkan tempahan yang meningkat secara tiba-tiba.

Bagi pasangan pembuat songkok, Husien Salleh, 48, dan isterinya, Nor Hayati Saleh, 44 , mereka tidak menang tangan untuk menyempurnakan tempahan daripada peniaga dan pelanggan tetapnya sepanjang Ramadan.

"Permintaan yang diterima sepanjang bulan Ramadan biasanya memang luar biasa hingga kadangkala di luar kemampuan.

"Tempahan yang diterima bukan sahaja memberi rezeki kepada kami bahkan ibarat penyambung nyawa bagi perusahaan tradisi warisan nenek moyang ini agar ia tidak pupus begitu saja,'' katanya ketika ditemui di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, di Kuala Lumpur sempena Promosi Kraf Aidilfitri 2009 baru-baru ini.

Bercerita tentang penglibatan awal dalam perusahaan itu, Husien memberitahu, segalanya bertitik tolak apabila dia diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi beberapa tahun lalu.

"Waktu itu macam-macam kerja saya buat tapi semuanya tidak serasi. Akhirnya saya memutuskan untuk belajar membuat songkok daripada seorang sahabat.

"Saya memang terhutang budi dan berterima kasih pada dia kerana bukan saja memberi tunjuk ajar bahkan meminjamkan mesin jahitnya untuk memulakan perusahaan sendiri," katanya yang memiliki kedai sendiri di Merlimau, Melaka.

Husien sedar menjual songkok merupakan perniagaan bermusim tapi dia berani mengambil risiko kerana tidak mahu kemahiran warisan Melayu itu lenyap begitu saja jika tidak ada yang berminat meneruskannya.

Bapa kepada tiga cahayamata ini mengakui pada hari-hari biasa permintaan terhadap songkok memang tidak seberapa tetapi tempahan akan berlipat kali ganda sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Begitupun dia bertuah kerana turut dibantu oleh isteri dan anak-anak memandangkan tugas sebagai pembuat songkok menuntut kesabaran dan ketekunan tinggi.

''Alhamdulillah setiap kali menjelang puasa rezeki kami semakin bertambah. Biasanya tiga bulan sebelum menyambut Ramadan saya sudah menerima tempahan daripada para pemborong dan penjual songkok .

''Malah ada sesetengah tempahan terpaksa ditolak kerana dibuat saat-saat akhir iaitu beberapa minggu sebelum raya.


pelbagai rekaan terbaru songkok dengan lilit daripada songket.


"Walaupun tempahan banyak saya tetap jaga kualiti kerana bagi saya kepuasan pelanggan harus diutamakan,'' ujarnya.

Bercerita mengenai kualiti produknya kata Husien, songkok yang cantik bergantung pada cara jahitan, konsep potongan kain dan bahan yang digunakan.

''Sebenarnya, membuat songkok memerlukan ketelitian dan masa pertukangan yang lama. Sebab itulah pada zaman sekarang, agak susah mencari songkok yang benar-benar berkualiti tinggi," katanya.

Proses paling sukar kata Husien ialah ketika memasang bahagian kepala songkok atau menampal 'bumbung' dan dinding songkok.

Ini kerana, ia memerlukan tenaga yang lebih bagi mendapat hasil yang kemas.

"Bahagian tersebut perlu menggunakan kertas yang tebal sebagai kerangka songkok, jadi sekiranya tidak dijahit dan disambung dengan betul ia akan mempengaruhi reka bentuk songkok serta boleh membuatkan jarum mesin mudah patah,'' ujarnya.

Menceritakan keunikan songkok, secara umum katanya, songkok dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang biasa dan songkok tinggi.

Songkok tinggi biasanya lebih mahal kerana ia menggunakan fabrik baldu hitam yang lebih bermutu.

Menariknya, setiap tahun Husien akan cuba membuat kelainan bagi membezakan dengan konsep rekaan tahun-tahun sebelumnya.

Misalnya dengan memperkenalkan lilitan songket tenun dan batik pada keliling songkok.

''Tahun ini, konsepnya lebih kepada kombinasi songkok tarbus iaitu bentuk bujur dan kuncup,'' ujarnya mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:32
Maghrib 7:05
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.