saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/09/2009

Laluan sukar Subra sebagai sahabat, seteru sepanjang 30 tahun lalu

JULAI 1977 S.Samy Vellu dan S.Subramaniam bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MIC. Dalam pertandingan itu, Samy menang. Bagaimanapun pada 1981, mereka berganding bahu sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MIC. Tetapi lapan tahun kemudian, iaitu pada 1989, mereka bertarung sesama sendiri bagi merebut jawatan Presiden MIC. Subra tewas. Sejak itu hubungan mereka dalam keadaan pasang surut atau lebih tepat tidak begitu baik. Sekejap okey dan sekejap tidak. Kemuncak perselisihan mereka terbukti pada 1990 apabila Subra digugurkan daripada senarai calon pilihan raya umum (PRU). Beliau kemudiannya meletak jawatan Timbalan Presiden MIC dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun beliau dilantik sebagai Senator dan terus memegang jawatan timbalan menteri. Cubaan Samy untuk menyingkirkan Subra ternyata gagal. Pada Julai 1991, beliau dipilih semula sebagai Timbalan Presiden. Pilihan raya umum 1995 pula, beliau disenaraikan bertanding di kawasan lamanya, Parlimen Segamat. Begitu juga pada 1999. Beliau juga mengekalkan jawatan No.2 dalam MIC pada 1997, 2000 dan 2003. Namun pada PRU 2004, beliau sekali lagi disingkirkan daripada senarai calon PRU. Strategi Samy kali ini mengena apabila tanpa jawatan sebagai ahli Parlimen, beliau lebih mudah untuk menyingkirkan Subra. Ternyata itu benar apabila pada pemilihan 2006, Samy menamakan G.Palanivel untuk mencabar Subra. Akhirnya Subra yang dikenali sebagai pemimpin masyarakat atau Makkal Thalaivar itu tewas. Ketika itu beliau mendapat 495 undi sementara Palanivel 933 undi. Cubaan Subra untuk bangkit semula pada pemilihan Sabtu lalu gagal. Beliau berjaya menambah undi berbanding 2006 iaitu 547 berbanding Palanivel mengalami kemerosotan dengan 629 undi sementara seorang lagi calon S.Sothinathan 280 undi. Begitulah senario perjuangan Subra dalam MIC yang sudah beberapa kali bagaikan mati hidup semula. Adakah keputusan Sabtu lalu sebagai pengakhiran karier politik Subra dalam MIC?

Melihat percaturan yang sedang dibuat oleh MIC ke atas Subra, bukanlah satu kejutan, politik Subra akan ditamatkan tidak lama lagi - bersama-sama Samy yang akan berundur sebagai Presiden selewat-lewatnya pada 2012. Samy akan pergi meninggalkan jawatan No.1 yang disandangnya selama 28 tahun dengan perasaan lega tanpa memberi laluan baru kepada Subra.

Mustahil, Samy akan memberi 'nyawa politik' lagi kepada Subra. Buktinya, jawatankuasa disiplin MIC akan 'membicarakan' Subra bagi dua tuduhan. Pertama berhubung satu kenyataan berkaitan pemilihan parti pada 1977 yang mendakwa Samy menang jawatan timbalan presiden melalui taktik kotor. Kenyataan itu dilihat boleh menjatuhkan imej parti.

Kedua apabila Subra didakwa membawa sekumpulan penyokong yang dikenal pasti cuba mewujudkan suasana tegang di kalangan perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC ke-63 kelmarin.

Kini Subra terpaksa menerima hakikat bahawa masa depannya dalam genggaman Samy dan 'nyawa politiknya' kini benar-benar di hujung tanduk.

Subra memiliki populariti di dalam dan di luar parti. Bukti beliau popular dalam parti ialah kerana masih menerima undi yang banyak sekalipun diasak oleh pasukan presiden. Di luar pula, ramai yang menghantar SMS keluh kesah, sedih dan dukacita apabila diberitahu Subra tewas.

Salah satu SMS yang diterima daripada seseorang yang mengaku sebagai ahli MIC semalam berbunyi: Adakah pemilihan semalam (Sabtu) mencerminkan aspirasi rakyat, perwakilan atau Presiden MIC? Kita tidak boleh menafikan undi yang diterima oleh Subra dan Sothi walaupun jurang undi antara Palani dan Subra amat kecil. Kita tidak boleh pandang ringan dengan undi yang diterima oleh mereka berdua. Tetapi, apakah masyarakat India dan rakyat Malaysia betul-betul gembira dengan keputusan semalam? Kita tidak mahu Palani dinobatkan sebagai pemenang melalui pengiktirafan pasukan Presiden. Palani perlu menang dan berdikari sendiri untuk membuktikan keupayaan beliau dan bukannya kerap kali mengharapkan sentuhan Samy. Ini kali kedua Palani menang kerana Samy. Palani tidak mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti dimiliki oleh Subra yang telah mendapat pengiktirafan daripada rakyat Malaysia''. Ini satu cabaran kepada Palani untuk membuktikan beliau mempunyai kekuatan sendiri.

Apa yang jelas, masa depan Subra tidak ada lagi dalam MIC. Ke mana arah haluan Subra selepas ini jika beliau disingkirkan MIC? Adakah beliau perlu menubuhkan parti baru? Atau menyertai mana-mana parti politik pembangkang?

Subra bukannya insan berjiwa pembangkang. Jiwanya tetap dalam BN walaupun dihadapkan dengan pelbagai dugaan. Beliau banyak bersabar dan tidak pernah beralih arah untuk meninggalkan BN. Jika prinsipnya tidak kuat, sudah lama Subra berhijrah ke parti pembangkang seperti IPF yang dipimpin oleh Pandithan sebelum ini.

Dalam MIC, antara pemimpin yang berani berhadapan dengan Samy tidak ramai. Antara mereka ialah tiga serangkai yang dianggap begitu rapat iaitu Subra, K. Pathmanaban dan M.G Pandithan. Tetapi orang kanan dan kiri Subra ini sudah tiada dan Subra terpaksa bergelut dengan sokongan saki baki akar umbinya yang masih ada. Namun pengaruh Samy lebih sukar dihadapi. Gerak langkah silambam politik Samy sukar dibaca.

Subra gagal membaca taktik Samy yang berbaik dengannya selepas pilihan raya umum lalu sehinggalah sampai ke tarikh pilihan raya Presiden. Banyak pihak berpendapat Subra sepatutnya mengulangi sejarah 1989 apabila mencabar Samy bagi jawatan Presiden tahun ini. Ramai yang menganggap kedudukan Samy ketika itu lemah disebabkan kekalahan teruk MIC pada pilihan raya umum 2008. Namun kerana masih menghormati Samy dan mahukan perpaduan yang lebih kukuh dalam MIC selepas tsunami politik, Subra teragak-agak untuk mencuba jawatan itu sebaliknya memutuskan memberi sokongan kepada Samy. Jika berlaku pertembungan semula Subra-Samy pada pemilihan jawatan Presiden Mac lalu, mungkinkah peluang Subra lebih baik? Apa pun semuanya sudah berlalu. Samy tetap gah di situ dan Subra pula mengalami kekalahan ke tiga dalam rebutan jawatan timbalan presiden.

Subra terpaksa menerima hakikat, peluangnya untuk menaiki takhta Presiden hanya akan datang dalam tahun 2012. Itu pun jika MIC tidak menyingkirkan beliau menjelang tahun tersebut.

Namun dalam tempoh terdekat ini menjelang 2012, apakah Palanivel akan diberi peranan lebih besar untuk mempersiapkan dirinya sebagai Presiden? Apakah kedudukan Dr. S. Subramaniam (salah seorang naib presiden) dalam Kabinet akan tergugat jika Palanivel perlu diberi tanggungjawab sebagai menteri? Ini perkembangan menarik yang sedang dinantikan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.